Isnin, 13 Disember 2010

CIRI-CIRI DAN KRITERIA IMAM MASJID


Kedudukan Imam bererti kedudukan umat yang agong. Tanggungjawab yang diamanahkan Allah SWT kepada mereka merangkumi tugas-tugas khalifah di zaman Rasulullah SAW, ulama', raja, penghulu, pendidik dan bapa.

Keistimewaan mereka lebih ketara lagi kerana tugas mereka secara langsung dikaitkan dengan usaha menghidupkan (al-haya') dan memakmurkan masjid-masjid (baitullah) yang merupakan bangunan suci yang menjadi markas pergerakan dakwah Islam serta pusat pembangunan umat seluruhnya. Firman Allah SWT dalam surah At-Taubah ayat 18 kira-kira bermaksud: Sesungguhnya yang akan mengimarahkan masjid-masjid Allah ialah mereka yang beriman dengan Allah dan hari akhirat, mendirikan solat, mengeluarkan zakat dan tidak takut kecuali kepada Allah, mudah-mudahan mereka dari golongan yang mendapat petunjuk Allah.

Risalah al-Islam yang didakwahkan oleh Rasulullah SAW adalah berlandaskan kepada ajaran wahyu dan sunnah nabinya. Tujuannya untuk menyelamatkan penganut-penganutnya dari segi agama, roh, maruah diri dan lainnya. Bagi mencapai matlamat ini, manusia memerlukan pimpinan agama di samping memerlukan tunjuk ajar atau bimbingan dari ketua yang beriman terutama dalam melakukan amal ibadat secara langsung kepada Allah atau dalam menjalani khidmat bakti terhadap masyarakat. Ini bermakna, peranan ketua di dalam menentukan sebahagian hidup kumpulan yang dipimpin adalah tersangat penting. Mereka dianggap sebagai rujukan kepada umum bagi kesejahteraan hidup di dunia serta akhirat.

Bagi menjayakan amanah yang ditaklifkan oleh agama, kualiti dan keupayaan imam seharusnya jelas meyakinkan dan tidak dipertikaikan baik dari segi fizikal atau rohani. Imam adalah imam dalam semua hal yang bercorak amal soleh. Tanggungjawab mereka merangkumi dua sudut besar:

* Di dalam masjid (dan sekelilingnya).
* Di luar masjid (dalam masyarakat umum)

Tugas di dalam masjid merangkumi:

1. Menjadi imam pada setiap waktu solat.
2. Menyampaikan khutbah dalam solat Jumaat dan sunat dua hari raya.
3. Menjadi ketua kepada pegawai-pegawai syarak yang lain.
4. Bertanggungjawab dengan perjalanan kelas takmir bersama-sama pegawai syarak yang lain.
5. Menjadi guru agama atau pendakwah.
6. Mengawas kebersihan di dalam dan sekitar masjid.

Peranan di luar masjid merangkumi:


1. Mengurus jenazah.
2. Membangunkan masyarakat bersama-sama dengan pihak-pihak lain.
3. Melaksanakan kehendak amar ma'ruf dan nahi mungkar.

Dari senarai tugas di atas difahamkan bahawabahawa fungsi imam sangat luas, bukan sahaja dalam urusan keagamaan, bahkan juga dalam urusan-urusan pembangunan yang kesemuanya bertujuan meluhurkan prestasi kehidupan ummah.

Tanggungjawab seorang imam yang baik, tidak akan berjalan dengan kemas sekiranya tidak melengkapi diri dengan sahsiah atau keperibadian yang unggul selaku seorang pemimpin yang akan mendukung kehendak syariah Islamiah. Di antara sifat-sifat utama yang harus dihayati para imam yang bertindak sebagai ketua umat Islam, meliputi sifat-sifat yang diamalkan oleh para rasul iaitu siddiq, amanah, tabligh dan fatanah, di samping sifat-sifat mahmudah seperti berhemah tinggi, menunaikan janji dan mudah bersimpati dengan penderitaan orang lain.

Apabila sifat-sifat mulia ini telah diamalkan, akan lahirlah satu keperibadian yang baik kepada para imam untuk membina disiplin atau etika yang murni dalam menjalankan amanah setiap hari. Di antara etika yang dimaksudkan itu termasuklah:

1. Berkhidmat semata-mata untuk mendapatkan keredhaan Allah kerana balasan hakiki hanya di sisi Allah sahaja.
2. Mampu memberi nasihat dan bersedia menerima nasihat dari pihak lain atau golongan yang dipimpinnya.
3. Sanggup bertugas bila-bila masa dan di mana sahaja.
4. Berusaha meningkatkan prestasi perkhidmatan dengan menambah ilmu pengetahuan atau kemahiran dari masa ke semasa.
5. Berlapang dada dan tidak terlalu berprotokol.

Sekiranya mereka dapat berpegang kepada etika yang dinyatakan ini, segala pimpinan mereka akan berjalan dengan lancar dan mendapat kerjasama yang erat dari kalangan makmum yang dipimpin. Maju atau mundur masyarakat bergantung kepada pimpinan ketua yang diibaratkan sebagai arkitek atau pemangkin satu-satu keadaan. Ketua pemerintah menjalankan tugas dengan adil dan bijaksana. Penyelewengan pemimpin membawa bencana kepada makmum yang dipimpin. Ketua yang memimpin mengikut ajaran Allah dan Rasul wajib ditaati dan diberi sokongan sepenuhnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan