Isnin, 13 Disember 2010

MASJIDIL NABAWI


Masjid an-Nabawi (Arab: المسجد النبوي‎ al-Masjid al-Nabawīy) atau Masjid Nabi merupakan masjid kedua paling suci mengikut kepercayaan umat Islam. Di sini juga terdapat Makam Rasullullah S.A.W. Masjidil Haram merupakan masjid paling suci dan Masjid Al Aqsa merupakan masjid ketiga paling suci dalam Islam.

Masjid ini asalnya dibina sendiri oleh Rasullullah sendiri, bersebelahan dengan rumah yang baginda diami selepas peristiwa Hijrah pada tahun 622 Masihi. Masjid pertama yang didirikan oleh Rasullullah semasa peristiwa Hijrah ialah Masjid Quba.

Ketika zaman Rasulullah SAW dan Khalifah Ar-Rasyidin, Masjid Nabawi tidaklah memiliki sebarang bentuk menara. Orang yang pertama sekali membina menara Masjid Nabawi ialah Umar bin Abdul Aziz pada tahun 93 Hijrah, iaitu dengan mendirikan empat menara masjid yang berketinggian lebih kurang 27.5 meter pada empat sudut. Kemudian diikuti Qaitbay dengan membangunkan menara kelima di Babur Rahmah.

Kelima-lima menara Masjid Nabawi ini terus dipertahankan sehinggalah tiga buah menaranya diruntuhkan untuk memberi laluan kepada projek Perluasan Saudi Pertama. Kemudiannya tiga menara yang diruntuhkan telah diganti dengan dua buah menara baru setinggi 72 meter.

Lalu pada Projek Perluasan Saudi Kedua ditambah lagi dengan 6 buah menara Masjid yang setiap satunya berketinggian 104 meter, tinggi hilal 6 meter dan beratnya mencecah 4.5 tan. Sehingga kini Masjid Nabawi mempunyai 10 buah menara masjid. Perlu juga diketahui bahawa tinggi menara Masjid utama ialah 44.53 meter, sedangkan menara di Pintu Salam (Babus Salam) adalah setinggi 38.85 meter.

Kerja-kerja pembaikan dan perluasan masjid itu juga dilakukan pada zaman pemerintahan Walid bin Abdul Malik (705-715 M) dan Umar bin Abdul Aziz (717-720 M), khalifah Bani Umaiyah. Pada zaman al-Mahdi (775-785 M), khalifah Abbasiah, berlakunya penambahan atau perluasan 100 hasta lagi. Sultan Malik az-Zahir (m. 1277 M – penguasa Mamluk) memperbaiki atap yang terbakar dan menambah menara. Salim II (1566-1674 M), sultan Uthmaniah, mula menggunakan marmar. Pembangunan dan pembaikan besar-besaran dilakukan oleh Sultan Abdul Majid (1839-1861 M). Dinding, tiang serta mihrab diukir dan dihiasi dengan kaligrafi. Hingga ke zaman Uthmaniah, keluasan Masjid Nabawi telah mencapai 10,303 meter persegi. Kerajaan Arab Saudi meneruskan perluasan masjid tersebut sehingga 16,500 meter persegi.

Di Masjid Nabawi terdapat beberapa mihrab: Mihrab Nabawi (di timur mimbar), tempat pertama kali Nabi Muhammad s.a.w mengimami solat berjemaah; Mihrab Sulaiman (di sebelah mimbar), hadiah Sultan Sulaiman bin Salim (Turki); Mihrab Uthmani (di tengah kiblat); Mihrab Tahajjud (di sebelah utara), tempat Nabi s.a.w sering melakukan solat tahajjud; dan Mihrab al-Majidi (di sebelah utara), tempat berkumpul ahl as-suffah, Muhajirin yang kehabisan bekalan ketika hijrah ke Madinah.

Kronologi Masjid Nabawi

622 (Masihi) – Didirikan oleh Nabi Muhammad s.a.w.
629 – Diperluas oleh Nabi s.a.w.
638 – Diperluas oleh Saidina Umar al-Khattab.
650 – Saidina Uthman Affan menggantikan tiang dan atap serta memperluas bahagian lantai.
707 – Diperbaiki oleh Walid bin Abd Malik dan Umar bin Abd Aziz (Bani Umaiyah).
778 – Diperluas oleh al-Mahdi (Bani Abbasiah).
1247 – Terbakar.
1256 – Malik az-Zahir (Mamluk) menambah menara serta lantai bahagian hadapan.
1468 – Diperbaiki oleh Asyraf Qaitbay (Penguasa Mamluk).
1481 – Terbakar lagi.
1574 - Salim I (Uthmaniah) menggunakan marmar.
1818 – Diperbesar oleh Mahmud II (Uthmaniah). Kubah dicat hijau.
1849 – Dibangun besar-besaran oleh Sultan Abdul Majid (Uthmaniah).
1952 – Diperluas oleh Raja Abd Aziz ibnu Sa’ud (Arab Saudi).
1984 – Diperluas dan diperbaiki oleh Raja Fahd (Arab Saudi).

Tiada ulasan:

Catat Ulasan