Isnin, 27 Disember 2010

RAHSIA DISEBALIK KEJADIAN LALAT...



“Bila musim panas ja lalat bukan main banyak lagi ya..” Saya membuka cerita petang itu. Mata kami memerhati sekumpulan lalat yang liar hinggap di permukaan tikar plastik. Sengaja kami hamparkan tikar di atas sutuh rumah baru Hasbul Nizal usai membantu proses perpindahan.

Beliau dah zaujahnya baru sahaja mendirikan rumah tangga. Lalu imarah kosong tinggalan arab itu disewakan buat tumpangan mereka berdua melayari bahtera.

“Tula, banyak ya lalat..” Balas Sulaiman.

“Ana pelik juga ya, waktu musim sejuk lalat pi mana habis..tak dak pulak.” Saya menyambung.

“Lalat dia simpan benih siap-siap kot..”

“Ka pakat lari dok dalam selimut sebab sejuk..hehe.” Sambung saya serentak suara Sulaiman dihujung. Kami ketawa memecah sunyi hening petang. Sesekali bayu senja berputar menerobos celah rekahan bangunan berbatu.

Hikmah Pertama

Pernahkah kita berfikir sejenak hikmah penciptaan seekor lalat yang dianggap jijik oleh manusia?

Cerita lalat bukan suatu hikayat baru, lalat pernah mewarnai kisah sejarah yang tercatit dalam lembaran Al-Quran mulia. Buktinya? Ayuh perhatikan kalam Agung ini:



“Hai manusia, telah dibuat perumpamaan, maka dengarkanlah olehmu perumpamaan itu. Sesungguhnya segala yang kamu seru selain Allah sekali-kali tidak dapat menciptakan seekor lalatpun, walaupun mereka bersatu menciptakannya. Dan jika lalat itu merampas sesuatu dari mereka, tiadalah mereka dapat merebutnya kembali dari lalat itu. Amat lemahlah yang menyembah dan amat lemah (pulalah) yang disembah.” (Al-Hajj: 73)

Gambaran yang dilukis dalam ayat Al-Quran ini menunjukkan pengajaran yang berguna untuk difikirkan secara teliti. Ini kerana, Allah SWT telah mendatangkan perbandingan yang ringkas tetapi kesannya cukup besar kepada manusia khususnya kepada golongan kafir.

Kesan besar yang dimaksudkan ialah kerana ia melibatkan soal Aqidah. Dakwaan golongan kafir yang mengatakan patung-patung ukiran tangan mereka adalah Tuhan harus disembah telah dijawab oleh Allah SWT dengan sindiran tajam yang menyucuk jiwa-jiwa mereka. Allah SWT telah menghina golongan yang menyembah patung dengan suatu penghinaan yang melumpuhkan daya fikir mereka secara logikal.

Dalam membicarakan berkenaan konsep ketuhanan ianya tidak dapat lari daripada membincangkan konsep penciptaan. Oleh yang demikian itu, Allah SWT telah menyuruh golongan ini menciptakan seekor lalat seandainya mereka mengaku mempunyai kekuatan dan kekuasaan yang diberikan patung sembahan mereka.

Lalu, kehinaan ini terus menerus menusuk ke ulu hati mereka memandangkan patung keras tidak bernyawa itu mana mungkin mampu menciptakan serangga sekecil lalat bahkan tidak memberikan sebarang kelebihan apapun kepada mereka yang menyembah.

Tidak cukup dengan itu, Allah SWT mendatangkan lagi suruhan dengan gaya bahasa dan uslub yang cukup berbekas iaitu seandainya patung itu berkuasa maka halaulah lalat yang hinggap dihidung ukiran itu tanpa bantuan sesiapapun.

Ternyata patung itu tidak berkemampuan. Malah tidak langsung memberikan sebarang reaksi tindak balas.

Begitu juga Allah SWT turut menyuruh agar golongan kafir memohon kepada patung mereka menghapuskan segala macam penyakit berbahaya yang dibawa oleh lalat. Juga tidak mampu!

Uslub Balaghah

Di dalam ayat di atas, Allah SWT menyeru kepada manusia dengan seruan يا أيها الناس bermaksud “Wahai sekalian manusia!” dan ia adalah seruan berbentuk umum. Menurut pengertian bahasa arab, seruan itu seolah-olah suatu panggilan yang jauh. Apa yang dimaksudkan dengan suatu panggilan jauh pula? Maksud firman Allah SWT dalam ayat ini adalah suatu seruan kepada semua manusia semenjak dahulu sehinggalah datangnya hari pengakhiran iaitu hari kiamat.

Apakah rahsia Allah SWT menyebut perkataan lalat, bukan gajah atau unta?

Ini kerana ayat ini seolah-seolah menempelak orang kafir yang berkata Tuhan mereka mampu melakukan segala-galanya. Oleh itu didatang suruhan untuk mencipta lalat yang jijik agar mereka berfikir dan terus berfikir. Hatta mencipta benda sekecil lalat juga tidak mampu inikan pula haiwan sebesar gajah dan unta.

Apakah pula hikmah Allah SWT memilih lalat untuk dijadikan contoh?

Seperti yang manusia sedia maklum bahawa lalat merupakan serangga yang kecil, lemah dan hina bahkan mampu memberi kemudharatan kepada manusia dengan di datangkan bermacam penyakit yang berbahaya sehingga membawa kepada hilangnya nyawa manusia.

Menurut Kitab Jaulah fi Dauhah Al-Adab, di antara penyakit berbahaya yang dibawa oleh lalat ialah jangkitan Tuberculosis (Jarsumah As-sel), Salmonella typhi (At-Taifud), Amebiasis (Ad-Dusnataria) dan Pink Eye (Ar-Ramd).

Selain itu, saya juga terbaca info yang ditulis oleh seorang pelajar perubatan Kaherah berkenaan penyakit bawaan lalat. Anda boleh terus klik untuk ke blognya.

Hikmah Kedua

“Apabila lalat terjatuh ke dalam bekas minuman salah seorang di antara kamu, celuplah dan kemudian buanglah ia kerana pada sebelah sayapnya mengandungi penawar dan di sebelah sayapnya yang lain mempunyai penyakit.” (Hadis riwayat Bukhari, Imam Ahmad, Abu Daud dan Ibn Majah)

Betapa hebat mukjizat kurniaan Allah SWT kepada kekasihnya Nabi Muhammad SAW yang mengetahui perkara-perkara ghaib. Sedangkan jikalau menurut logik akal tidak relevan untuk mencelup lalat yang kotor kali kedua di dalam bekas air minuman. Namun kajian saintifik kini membuktikan kebenaran kata-kata baginda Rasulullah SAW. Menurut Dr Danial Zainal Abidin dari petikan buku Perubatan Islam dan Bukti Sains Moden:

Secara dasarnya, hadis ini memperkenalkan konsep vektor dalam penyebaran penyakit. Vektor ialah haiwan dan serangga tertentu, contohnya lalat yang membawa kuman-kuman keapda makhluk lain, contohnya manusia. Dalam konteks lalat, konsep vektor ini hanya baru difahami pada abad kesembilan belas sedangkan Nabi Muhammmad menyebut mengenainya pada abad ketujuh lagi.

Hikmah Ketiga

Saya tertarik bila membaca artikel sebuah blog mengatakan bahawa di negara-negara Eropah serangga-serangga kecil misalnya seperti lalat jarang ditemui. Ini berbeza jika mahu dibandingkan dengan negara-negara timur tengah dan beriklim khatulistiwa.

Seperti yang saya sebutkan di permulaan artikel, apabila iklim bertukar ke musim panas maka kehadiran lalat yang beribu-ribu itu akan memenuhi ruang udara negara Mesir.

Umumnya masyarakat mengetahui lalat ialah sejenis serangga yang hidup di persekitaran kotor dan menjijikkan. Malah lalat terus aktif membiak jika kawasan tersebut dibiarkan tanpa seliaan yang bersistematik.

Justeru, saya melihat ini adalah merupakan hikmah mengapa Allah SWT mendatangkan serangga lalat kepada manusia. Bukankah Islam mengajar bahawa menjaga kebersihan itu adalah suatu perkara yang dituntut oleh umatnya? Nah, lihat dan fikirlah hikmahnya.

Masakan lalat mahu hidup ditempat yang bersih dan tiada sebarang pencemaran yang menjijikkan bukan?

SubhanALLAH!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan