Isnin, 27 Disember 2010

SIHIR


Bolehkah ustaz terangkan perkara berikut?

1. Apakah pengertian sihir?

2. Adakah sihir wujud di alam nyata dan bolehkah kita mempercayainya?

3. Apakah hukum mempercayai bahawa sihir itu wujud?

4. Apakah hukumnya mempelajari, mengamalkan dan melaksanakannya?

Jawapan : Jawapan 1 : Dalam kitab-kitab yang ditulis oleh para ulama muktabar telah menjelaskan secara terperinci tentang pengertian sihir. Kesimpulannya sihir adalah suatu jampi mantera (biasanya berasosiasi) berurusan dengan makhluk halus (jahat) melalui proses atau amalan halus tertentu dengan tujuan jahat untuk mengganggu rohani dan jasmani mangsa.

Sihir ditujukan kepada fikiran atau tubuh badan seseorang bagi memaksa mengasihi sesuatu atau menyimpan kebencian yang menyebabkan berlaku porak peranda dalam hubungan insan yang sedang berkasih seperti suami isteri sehingga menyebabkan perceraian. Sihir juga mengganggu fizikal sehingga boleh menjadi penyebab kepada kematian dan sebagainya.

Berdasarkan pengertian umum di atas, jelaslah sihir itu ilmu yang dipelajari dan diamalkan bagi suatu tujuan jahat.

Pengertian atau pengenalan istilah sihir sudah menjadi sebutan umum. Penyakit yang berpunca daripada perbuatan orang atau dinamakan ilmu hitam (black magic) mempunyai hubungkait dengan amalan syaitan yang membantu manusia bagi melaksanakan tujuan jahat memuaskan kehendak nafsu jahat mereka.

Jawapan 2 : Sihir sememangnya wujud di alam nyata. Ia memang benar-benar berlaku dan kita wajib mempercayai kewujudannya. Dalam al-Quran, terdapat sekurang-kurangnya 67 ayat yang menyentuh tentang sihir. Nabi Musa AS memang terkenal dengan kisah sihir yang berlaku pada zamannya. Beliau terpaksa menghadapi golongan ahli sihir yang mahir pada zaman firaun bagi menentang dakwah yang dibawa. Para ahli sihir pada masa itu turut mendakwa bahawa Musa AS juga sebagai ahli sihir.

Sebelum zaman Nabi Musa AS, banyak berlaku fenomena sihir dalam kehidupan insan terdahlulu. Sejak zaman Nabi Sulaiman AS lagi sudah terdapat amalan sihir yang merosakkan ini.

Al-Quran mendedahkan banyak ayat tentang sihir untuk menjelaskan kepada manusia bahawa sihir itu wujud.

Firman Allah SWT dalam surah al-A'raf ayat 116 yang bermaksud:

"Nabi Musa menjawab "Campakkanlah kamu (dahulu)" maka apabila mereka mencampakkan (tongkat dan tali masing-masing), mereka menyilap mata orang ramai dan menjadikan orang-orang itu berasa gerun, serta mereka melakukan sihir yang besar (keadaan dan caranya)."

Firma Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 102 yang bermaksud:

"Mereka mengikut ajaran sihir yang dibacakan oleh puak-puak syaitan dalam masa pemerintahan Nabi Sulaiman, pada hal Nabi Sulaiman tidak mengamalkan sihir yang menyebabkan kekufuran itu, akan tetapi puak-puak syaitan itulah yang kafir (dengan amalan sihirnya), kerana merekalah yang mengajar manusia ilmu sihir dan apa sahaja yang diturunkan kepada dua malaikat; harut dan marut, di negeri Babil (Babylon), sedang mereka berdua tidak mengajar seorang pun melainkan setelah mereka menasihatinya dengan berkata "Sesungguhnya kami ini hanyalah cubaan (untuk menguji imanmu), oleh itu janganlah engkau menjadi kafir (dengan mempelajarinya)". Dalam pada itu, ada juga orang-orang mempelajari daripada mereka berdua; ilmu sihir yang boleh menceraikan antara seorang suami, padahal mereka tidak akan dapat sama sekali memberi mudarat (atau membahayakan) dengan sihir itu seorang pun melainkan dengan izin Allah. Dan sebenarnya mereka mempelajari perkara yang hanya membahayakan mereka dan tidak memberi manfaat kepada mereka. Dan demi sesungguhnya mereka (kaum Yahudi itu) telah pun mengetahui bahawa sesiapa yang memilih ilmu sihir itu tidaklah lagi mendapat bahagian yang baik di akhirat. Demi sesungguhnya amatlah buruk apa yang mereka pilih untuk diri mereka, kalaulah mereka mengetahui."

Dua ayat yang disebutkan di atas jelas menunjukkan bahawa sihir itu wujud dan berlaku di hadapan Nabi Musa AS dan Nabi Sulaiman AS. Perbuatan sihir tersebut boleh mempengaruhi manusia sehingga mereka tercengang kehairanan.

Dalam sahih Bukhari dan Muslim, yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA, Rasulullah s.a.w. menggesa umatnya menjauhi tujuh perkara yang membinasakan dan salah satu daripada tujuh perkara itu adalah perbuatan sihir;

"Jauhilah tujuh perkara yang membinasakan. Sahabat bertanya, apakah tujuh perkara itu? Baginda menjawab, syirik kepada Allah, mengamalkan sihir, membunuh nyawa tanpa haq, makan riba, makan harta anak yatim, lari dari medan perang, dan menuduh perempuan berzina."

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh al-Nasa'i daripada Abu Hurairah RA yang bermaksud;

"Sesiapa yang menyimpulkan ikatan (benang) dan meniupnya (menjampi manterakan untuk sesuatu tujuan jahat), maka sesungguhnya dia telah melakukan sihir. Sesiapa yang melakukan sihir, maka dia telah mensyirikkan Allah SWT."

Ini jelas menunjukkan kepada kita bahawa sihir memang wujud di alam nyata, bukan di alam khayalan dan kita terpaksa menghadapinya.

Jawapan 3 : Apabila dinyatakan oleh al-Quran bahawa sihir telah wujud sejak zaman dahulu kala sehingga kepada zaman Nabi Muhammad s.a.w., ia berlaku setiap zaman sehingga zaman kita. Kita wajib mempercayai perkara ini kerana ia turut diakui oleh al-Sunnah.

Jika kita menolak sihir dengan tidak mempercayainya, bermakna kita menolak kenyataan al-Quran dan hadis sahih. Sebagai seorang Muslim, wajib mempercayai al-Quran dan hadis bahawa sihir memang wujud dan masih ada yang mengamalkannya sehingga kini.

Jawapan 4 : Ulama telah bersepakat, haram hukumnya mempelajari ilmu sihir ini. Ini adalah berdasarkan kepada firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 102 seperti yang telah disebutkan di atas.

Ayat tersebut jelas menunjukkan bahawa ilmu sihir tidak memberikan sebarang kegunaan, tiada manfaat kepada manusia. Ilmu ini mengundang kemudaratan yang amat besar iaitu syirik kepada Allah SWT kerana mereka terpaksa melakukan penyembahan kepada syaitan. Ilmu sihir ini haram dipelajari dan tidak boleh diamalkan kerana sihir ialah ilmu untuk mengkhianati dan menggangu manusia. Wallahuaklam

Artikel :Tuan Guru Dato' Dr Harun Din

Tiada ulasan:

Catat Ulasan