Sabtu, 5 November 2011

AR RAZI HASILKAN BUKU PEMBEDAHAN


KETOKOHAN ilmuwan Islam Al-Razi atau nama sebenarnya Muhammad bin Zakaria dalam dunia perubatan tiada bandingan dalam dunia perubatan.

Al-Razi adalah orang pertama membuat jahitan pada perut dengan benang diperbuat daripada serat. Beliau juga orang pertama yang berjaya membezakan antara penyakit cacar dengan campak.
Tokoh perubatan agung dari Parsi (Iran) pada abad pertengahan ini adalah guru kepada tokoh perubatan terkenal, Ibnu Sina.
Beliau pernah diberi gelaran Jalinus Arab (Galen of the Arab) kerana ketokohannya sebagai pengarah di Hospital Baghdad dan menghasilkan 224 buku, 140 daripadanya dalam bidang perubatan.
Sepuluh buku ilmu perubatannya diterjemahkan ke dalam bahasa Latin. Buku karya Al-Razi yang termasyhur ialah Al-Hawi Fi ‘Ilm Al-Tadawi yang mengandungi 30 jilid dan dibahagikan kepada 12 bahagian.
Di antaranya ialah berkaitan penyembuhan pesakit serta jenis penyakit; penjagaan kesihatan; punggung dan tengkuk (yang patah); ubat-ubatan dan makanan; pembuatan ubat-ubatan; industri kedoktoran; farmasi; tubuh; pembedahan dan pengawetan anggota.
Buku beliau diterjemahkan ke dalam pelbagai bahasa dan menjadi bahan rujukan serta panduan doktor di Eropah hingga abad ke-17.
Sebuah buku lagi bertajuk Al-Mansuri mengandungi keterangan pembedahan seluruh tubuh manusia.


Beliau juga membuat beberapa pengkelasan bahan galian serta peralatan dan radas yang digunakan lengkap dengan arahan terperinci.
Ilmunya yang mendalam berkaitan tatacara terbukti melalui usaha pencarian ubat daripada tumbuhan dan haiwan serta cara yang berkesan untuk digunakan dalam rawatan.

Ini termasuk ilmu dan tatacara kimia yang membabitkan pemprosesan raksa, belerang (sulfur), arsenik serta logam lain seperti emas, perak, tembaga, plumbum dan besi.

Sebagai seorang ilmuwan Islam dalam bidang perubatan, ketokohan beliau tidak terhad dalam menimba ilmu dan mengarang buku semata-mata, malah membabitkan pemikiran yang kritikal dalam membuat rumusan keputusan.

Ketika penguasa kerajaan meminta Al-Razi membina sebuah hospital di Baghdad, beliau menggunakan satu kaedah yang sangat baik untuk memilih tapak hospital berkenaan.

Al-Razi meletakkan ketulan daging di tempat yang berasingan di Baghdad dan daging itu dibiarkan sehingga menjadi busuk.

Kemudian beliau membina hospital di tempat yang dagingnya paling lambat busuk berdasarkan teori bahawa tempat itu mempunyai udara bersih, sedikit pencemaran dan lokasi sesuai untuk tapak hospital.

Sumbangan beliau dalam bidang falsafah juga tidak dapat diketepikan dan di antara unsur yang menjadi pilihan ialah mengenai pencipta, jiwa manusia, hakikat, angkasa dan masa.

Kira-kira 40 manuskrip beliau masih tersimpan di muzium dan perpustakaan di Iran, Paris, Britain, Rampur dan Bankipur.

PROFIL
NAMA: Abu Bakar Muhammad bin Zakaria Al-Razi
GELARAN: Ibnu al-Razi
TARIKH LAHIR: Tahun 240 Hijrah bersamaan 854 Masihi
TEMPAT LAHIR: Ray, Iran
MENINGGAL DUNIA: Tahun 320 Hijrah bersamaan 932 Masihi
SUMBANGAN: Ilmuwan yang berjaya mengembangkan ilmu kimia dan orang pertama membuat jahitan di perut dengan benang diperbuat daripada serat

Tiada ulasan:

Catat Ulasan