Sabtu, 5 November 2011

BUNGA YANG TIADA BERNAMA


Di ruang tamu papan dua tingkat itu Ustaz Fadhil menyandarkan badan untuk menghilangkan penat seketika. Petang yang nyaman itu, di tambah dengan angin milir yang menyentuh pipinya, membuatkan otaknya membayangkan peristiwa lama. Dan setiap kali wajahnya tertusuk ke wajah isterinya, tiap kali itu juga wajah anak muridnya melapisi wajah isterinya.
Kenangan sesungguhnya mengusik jiwa Ustaz Fadil.

Ketika itu, dia sedang menaip fail-fail yang memuatkan biodata penuntut perempuan Asrama Lima Kenanga. Dia meneliti helai dami helai biodata di atas mejanya untuk mencari biodata seorang murid perempuan seperti yang telah diarahkan oleh Pengetua. Satu kerja yang mencabar, dan dia sendiri seperti tidak percaya pada diri sendiri. Apakah mampu dia menukar watak seorang yang sudah jauh terpesong untuk kembali kepada wataknya yang sebenar. Inilah tugas yang diamanahkan oleh Pengetua. Dan inilah juga amanah daripada Allah kepada dirinya selaku guru untuk membimbing anak-anak murid ke jalan yang diredhai.
Jantungnya berdegup bila terdengar ketukan yang agak kuat menerjah pintu biliknya. Dia beristighfar beberapa kali kerana dia tahu ketukan itu datangnya daripada orang yang ditunggu sejak pukul lapan pagi tadi.

"Assalamualaikum, Ustaz!" sapa suara murid perempuan yang terpampang di muka pintu bila sahaja pintu itu dikuak.

"Waalaikumussalam. Sila duduk, Nurul Aida." pelawa Ustaz Fadil sambil menutup fail di hadapannya. Zalma rakan sekelas Nurul Aida , turut masuk apabila diisyaratkan. Ustaz Fadil tidak ada apa-apa urusan dengan Zalma tetapi kehadirannya perlu bagi mengelakkan dari timbulnya fitnah.

"Nurul Aida sudah makan?" tanya Ustaz lembut sebaik sahaja kedua-dua anak muridnya itu melabuhkan punggung di atas kerusi di hadapannya.

"Dah!" jawab anak murid tingkatan lima itu tegas dan ringkas.

"Nurul Aida makan di kantin asrama?"

"Di kantin sekolah."

"Kenapa? makanan di asrama tak sedap?" Ustaz Fadil mencari kepastian. Tetapi suaranya tetap rendah demi mengambil hati tamu di hadapannya kini. Nurul Aida kelihatan resah dan wajahnya murung. Matanya di lemparkan tembus ke jerjak tingkap yang terbuka luas. Dia seakan ingin mencari kebebasan pandangan matanya dari disekat oleh pandangan mata Ustaz Fadil.

"Kenapa Nurul tak makan di kantin asrama?" ulang Ustaz Fadil lagi.
"Kucing pun tak selera nak makan kalau disogok dengan makanan yang sama setiap hari," jawab Nurul Aida agak keras. Matanya tiba-tiba bulat seakan melepaskan geram. Tapi masih tidak berani menentang mata Ustaz Fadil . Zamli di sebelahnya gusar dengan sikap temannya, sambil menanti riaksi sang guru.

Hati Ustaz Fadil sedikit pun tidak tercuit mendengar bantahan itu. Malah dia senang hati kini kerana luahan hati Nurul Aida itu sedikit sebanyak menyedarkannya mengenai tanggungjawab yang perlu diawasi berkaitan dengan makanan asrama. Aptah lagi dia baru sahaja diamanahkan oleh Pengetua untuk menjaga kebajikan penuntut-penuntut di asrama.

"Insya-Allah, saya akan ubah menu makanan asrama mengikut kemahuan penuntut. Beri saya masa untuk melakukan segala perubahan ini dan saya berharap Nurul akan berkerjasama dengan saya menyenaraikan jenis-jenis makanan yang halal dan berzat, Ok?" Ustaz Fadil cuba menyejukkan api kemarahan Nurul Aida.

"Maafkan saya Ustaz, saya tidak berhak untuk mengubah menu makanan di asrama ini. Saya tahu saya masih baru di sini. Belum pun sampai satu tahun saya bertukar ke sekolah ini. Tapi saya ada prinsip sendiri. Kalau saya tak suka makan di asrama, itu hak saya. Dan ustaz jangan bimbang, saya tidak akan mogok lapar kerana itu," kata Nurul Aida merenung tepat ke arah wajah ustaz muda di hadapannya dan membuatkan Ustaz Fadil terpaksa mengelak seketika daripada renungan tajam anak muridnya itu.

"Saya suka penuntut yang berfikiran tegas seperti Nurul..."
"Hanya itu saja yang hendak ustaz beritahu saya pagi-pagi ni?" suara Nurul Aida berdesing di teling Ustaz Fadil.
"Ada perkara lain yang lebih mustahak," kata Ustaz Fadil. Dia menyandarkan badan ke kerusi, mencari sedikit kekuatan jiwa.
"Hari ini hari Ahad ustaz, hari Ahad adalah hari kelepasan penuntut-penuntut asrama. Saya mahu basuh pakaian dan selepas itu keluar ke pekan mencari peralatan sekolah," terang Nurul Aida tanpa selindung-selindung.

Ustaz Fadil tersenyum bangga mendengar kejujuran Nurul Aida. Dia menghulurkan sekeping borang kebenaran keluar dari kawasan asrama yang siap ditandatanganinya ke arah Nurul Aida dan sekeping lagi disuakan kepada Zalma. Nurul Aida menundukkan muka memandang lantai simen. Dia terdiam sejurus seperti ada penyesalan menghantui fikirannya.

"Kita berbicara sebentar, lepas itu saya akan hantar Nurul ke pekan kerana saya ada sedikit urusan di sana. Zalma boleh ikut sama."
Nurul Aida masih lagi membisu.

"Sudah sebelas bulan Nurul menginap di asrama puteri ini. Saya dapati Nurul seorang murid yang baik dan pintar dalam pelajaran. Tapi tidak pernah minta untuk balik kampung walaupun di masa cuti persekolahan. Kenapa...?"

"Kenapa apa?" Mata Nurul Aida terkelip-kelip memandang Ustaz Fadil.

"Saya selalu balik kampung. Adakalanya setiap hujung minggu. Saya balik kerana rindukan ayah. Emak saya sudah meninggal tiga tahun lalu. Sebagai anak sulung dalam keluarga seramai lima orang, tanggungjawab menjaga ayah dan adik-adik terletak di bahu saya." Ustaz Fadil berhenti di situ. Dia sengaja berbuat demikian untuk melihat reaksi Nurul Aida.
Nurul Aida tunduk membisu.

"Nurul Aida beruntung karana masih ada ibu, masih ada ayah..."

"Saya hanya ada ibu. Ayah saya dah matiii!!.." jerit Nurul Aida tiba-tiba.

Ustaz Fadil tersenyum kerana kailnya sudah terbau oleh ikan. Dia perlu berhati-hati.
"Kalau sayang ibu, kenapa tak balik jugak kat kampung. Kesian ibu Nurul...sekurang-kurangnya terubat juga rindu si ibu kepada si anak yang jauh di mata."
"Saya benci ayah. Kalau saya balik saya akan jumpa ayah juga. Saya benci diaaa...!" bentak Nurul Aida.
"Nurul berbohong dengan saya..."
Nurul Aida terdiam. Mata bulat berwajah bujur sirih itu memandang geram kearah ustaz muda yang berusia dua puluh lima tahun itu. Namun dia hairan mengapa ustaz muda itu begitu mengambil berat tentang dirinya.

"Nurul juga ada kakak yang berkerja di bandar ini. Kenapa tak ziarahi dia. Tak baik memutuskan silaturrahim antara keluarga. Nurul tau tak, orang yang memutuskan persaudaraan sesama Islam itu tidak akan dapat masuk syurga." Kata-kata Ustaz Fadil menambahkan kebingungan Nurul Aida. Dia merasakan dirinya tercabar kini.

"Ustaz jangan suka ambil tahu hal diri saya tau. Saya benci!" bentak Nurul Aida. Serentak dengan itu dia meluru keluar tanpa mengharapkan penjelasan selanjutnya daripada Ustaz Fadil yang terkapai-kapai seketika. Zalma yang terkejut dengan sikap temannya terpaksa terburu-buru bangkit dan ikut keluar.

Ustaz Fadil melangkah ke jendela. Langsir warna biru laut dikuak dan dibiarkan terbuka luas. Untuk peredaran angin. Angin pagi sudah mula mengangkut panas, namun kepanasan itu bukan ukuran hatinya. Kerana ada sesuatu perasaan baru yang telah menyegarkan fikirannya kini.
Ustaz Fadil kembali ke meja tapi belum sempat dia melabuhkan punggung ke kerusi, satu ketukan bertalu-talu singgah ke daun pintu biliknya. Ustaz Fadil bergegas pula ke muka pintu.
"Ustaz, tolong kami ustaz!!!" suara Zalma bergema di ambang pintu. Di belakangnya Salwa dan Rosma tercegat dengan wajah yang pucat.
"Kenapa ni?" Ustaz Fadil kaget sekatika.
"Nurul Aida mengamuk, ustaz!" kata Rosma tersekat-sekat.
"Mengamuk? Di mana?"
"Bilik kami, bilik 22 Kenanga." Ujar Salwa pantas.
"Kamu bertiga ikut saya. Kalau kita bertemu sesiapa walaupun Pengetua, jangan beritahu apa-apa. Saya takut nanti keadaan akan lebih rumit kalau orang lain masuk campur. Saya akan cuba memujuknya, insya-Allah..." kata Ustaz Fadil lalu melangkah cepat dengan diekori oleh Zalma, Salwa dan Rosma yang dalam kebingungan.

Mereka menuju ke asrama Kenanga. Sebelum terus ka bilik 22, di anak tangga asrama Ustaz Fadil berhenti seketika. Dia memetik sekuntum bunga yang dia sendiri kurang pasti namanya. Namun bau haruman bunga tersebut menambahkan keyakinan hatinya untuk terus melangkah.
"Asalamualaikum, Nurul Aida..." Suara Ustaz Fadil menyelinap dari sebalik tabir pintu. Demi mendengar namanya disebut, Nurul Aida bengun lalu meluru ke almari.
Beberapa helai seluar dan beju T ditarik lalu dilemparkan membabi-buta ke lantai bilik.
"Campakkan ke sini. Saya rela menerimanya dengan hati yang terbuka.
Campakkan kesemuanya. Saya tidak marah, malah itulah yang perlu Nurul buat sekarang. Pakaian itu tidak berguna buat Nurul. Pakaian itu untuk lelaki, bukan untuk seorang perempuan." Lantang kata-kata Ustaz Fadil. Nurul Aida terhentak di birai katil. Dia merasakan dirinya mengalami proses mental yang maha berat untuk dipulihkan. Tapi...
"Saya benciiii...!!!" tempik Nurul Aida. Serentak dengan itu,dua helai seluar jeans terdampar di kaki Ustaz Fadil yang mesih tercegat di luar pintu.
"Saya juga benci. Saya akan bakar semua ini..." kata Ustaz Fadil tenang.
"Jangan! Itu hak saya. Ustaz tak ada hak apa-apa."
"Saya juga berhak seperti yang diamanahkan oleh Pengetua dan ibu bapa Nurul kepada saya."
"Apa untungnya ustaz mengawasi saya, harta saya, keselamatan saya dan apa pun juga hal-hal berkaitan dengan peribadi saya!?"
"Bukan untung yang saya cari tapi rasa kemanusiaan itu yang mendorong saya mengembalikan semula imej Nurul Aida sebagai seorang perempuan sejati dan anak yang solehah, yang mempunyai pegangan agama yang tinggi."
"Jangan masuk campur dalam urusan keluarga saya, ustaz!"
"Memang sepatutnya saya tidak boleh mencampuri urusan orang lain. Tapi, kerana desakan keluarga Nurul, saya terpaksa akur walaupun hati saya cuba membantah. Apakah salah tindakan saya ini setelah mendapat restu dari keluarga Nurul sendiri?"

"Tapi keluarga saya kejam , ustaz..."
Dan dengan tiba-tiba air mata Nurul Aida mengalir lesu. Selesu hatinya yang masih menyalahkan keluarga atas ketelanjurannya kini. Inilah kali pertama Nurul Aida mengalirkan air mata penyesalan.
"Ayah Nurul sudah menyesal atas tindak-tanduknya."
"Jangan diungkit cerita lama , ustaz! Tolonglah, saya benci mendengarnya! saya benciii...! Jangan marahkan saya jika saya berkasar pada ustaz nanti."
"Saya akan ceritakan perkara sebenarnya demi menyedarkan Nurul dari kebencian yang amat sangat terhadap ayah Nurul. Saya sedia menerima akibatnya. Tapi saya tahu, Nurul Aida yang berdiri dihadapan saya ini tidak akan berbuat sepertimana ayahnya dulu, memukul ibunya kerana menghalang dia berkahwin satu lagi...."
"Ayah saya kejam, ustaz!"

"Ayah Nurul tidak sekejam yang Nurul sangkakan. Dia seorang ayah yang baik dan bertanggungjawab. Cuma dia tersilap langkah mengikut nafsu mudanya tujuh belas tahun dahulu. Dia berkehendakan sangat seorang anak lelaki. Tapi, Allah memberikannya sepasang anak kembar yang cantik. Nurul Ain dan Nurul Aida. Entah dimana silapnya, Nurul Aida terdidik berwatakan seorang lelaki padahal jiwanya tetap perempuan..."
Suasana sepi beberapa ketika. Yang kedengaran hanyalah esak tangis Nurul Aida di dalam bilik itu.
"Bagaimana ustaz tahu semua ini?"
"Kaki saya ini sungguh bertuah. Bukan sekali dua kaki ini menjamah anak tangga rumah Nurul. Malah lebih dari itu. Malah rumah berdinding papan bercat kuning langsat itu sudah seperti rumah saya sendiri..."
"Jangan injakkan kaki ustaz ke rumah saya lagi. Kaki ustaz terlalu mulia untuk pergi ke situ. Kalau betul mereka sayang kepada saya, kenapa tidak datang menjenguk saya di sini...?"
"Ayah Nurul tak ada masa untuk datang ke sini. Sawah perlu dibajak. Padi sedang disemai dan air pula perlu diparitkan ke dalam sawah. Semua itu perlukan penjagaan rapi dan dikerjakan segera."
"Jadi, ustaz pula jadi orang tengah untuk selesaikan masalah saya?"
"Ada hikmahnya, Nurul."
"Saya tak faham."
"Nurul akan faham juga nanti, bila hati kita terlalu dekat dengan Allah. Hati akan berasa lapang, bersih dan tenang melalui pandangan hati. Ambil yang jernih dan perbaiki diri dari sekarang. Kembalilah mengikut syariat agama Islam. Berpakaianlah dengan cara yang sepatutnya. Pakaian adalah perkara-perkara lahiriah yang begitu penting dan perlu diambil perhatian berat. Pakaian mencerminkan peribadi seseorang." Ustaz Fadil berhenti seketika.
"Kebaikan dan perbuatan seseorang bukan tertaklik pada cara berpakaian sahaja, ustaz!" celah Nurul Aida menangkis kebenaran kata-kata Ustaz Fadil.
"Betul kata Nurul itu, tapi cara berpakaian yang tidak senonoh dan tidak sepatutnya dipakai, dedah sana, dedah sini, perempuan pakai baju lelaki atau lelaki pakai baju perempuan, tetap tidak boleh lari dari hukum Allah..."
"Yang penting adalah hati, ustaz. Allah tidak melihat peribadi atau kebaikan seseorang dari bentuk pakaian, tapi melihat apa yang tersirat di dalam hati hamba-Nya."
Ustaz Fadil tersenyum senang. Tahulah dia kini, bahawa Nurul Aida sebenarnya mengetahui apa yang dicakapkan tetapi masih belum boleh melakukan apa yang dikatakan tanpa bimbingan seseorang.
"Nurul Aida sudah dewasa. Telah dapat bezakan antara intan dan permata. Antara kebaikan yang disuruh dan kemungkaran yang ditegah. Apa yang hendak dimalukan lagi. Kembalilah ke asalmu. Ketahuilah, hukumnya haram bagi perempuan menyerupai lelaki. Allah laknat sepanjang hidup."
Nurul Aida terdiam. Ustaz Fadil juga terdiam. Bagai ada satu makhluk Allah yang menghalang bicara mereka dari berterusan.

"Janganlah merubah rupa bentuk kerana mengikut kehendak hati atau peredaran zaman," sambung Ustaz Fadil. "Bagi seorang gadis, bukan sahaja tidak boleh berpakaian saperti lelaki, malah akan hilang sifat-sifat keperempuanannya jika bercakap kasar, garang dan keras. Atau berjalan tegap dan tangkas seperti lelaki..."
Sesungguhnya suara itu sebenarnya meruntunkan hati Nurul Aida. Dia menyembamkan muka ke katil lalu menangis sepuas-puasnya. Penyesalan menghantui jiwanya. Rasa bersalah terhadap seluruh keluarga, terutama terhadap ayahnya, menjelma tiba-tiba.

"Pintu taubat masih terbuka, Nurul. Bertaubatlah dengan sepenuhnya dengan taubat nasuha. Saya sedia membimbing Nurul bila-bila masa," Ustaz Fadil bersuara lembut bagai seorang ayah menasihati anaknya.

Putaran kipas di dinding seakan membawa angin baru di air muka Nurul Aida. Wajah bujur sirih berkulit kuning langsat itu terkapai-kapai mencari persingahan yang kekal. Namun yang jelas, kekeruhan di muka Nurul Aida kini sudah hilang.

"Saya tidak akan bakar pakaian ini. Ia merupakan nostalgia pada diri saya. Izinkan saya untuk menyimpannya, dan saya akan gantikan dengan pakaian yang sepatutnya diwajibkan untuk wanita-wanita Islam," ucap Ustaz Fadil lalu mencampakkan kuntuman bunga yang agak lama dalam genggamannya menerusi tabir pintu.

Nurul Aida yang terduduk di sisi katil bangun perlahan-lahan. Walaupun ada gerak di tangannya untuk mengutip bunga itu, tetapi gerak tangan itu mati sebaik sahaja tubuhnya longlai ke lantai.
Zalma, Rosma dan Salwa segera memberi bantuan.

"Mengelamun jauh nampaknya, bang!" sapa satu wajah bermini telekung hitam sambil meletakkan secawan teh dan bubur pulut hitam di atas meja kecil da hadapan suaminya.
"Teringat kisah-kisah lama.." jelas Ustaz Fadil sambil ketawa kecil.
"Tak elok mengelamun sendirian, nanti terikut-ikut oleh anak murid."

"Hai, anak murid dah jadi isteri..." kata Ustaz Fadil. Nurul Aida ketawa senang melihat gelagat suaminya.


HABIS...

Tiada ulasan:

Catat Ulasan