Selasa, 8 November 2011

JIN ASYIK


“Jin asyik” dikategorikan sebagai jin yang menyukai, menyintai dan menjadikan manusia-manusia tertentu sebagai idola atau pujaan atau kekasih mereka. Ada diantara kes-kes yang serius sehingga jin-jin itu bersetubuh atau berkahwin dengan manusia sehingga melahirkan anak-anak jin.

Mangsa-mangsa terdiri dari pelbagai latarbelakang, ada diantara mangsa ialah mereka-mereka yang terkenal seperti artis-artis pujaan, wanita-wanita yang suka bersolek berlebih-lebihan dan yang suka mendedahkan aurat, ada mangsa dikalangan orang biasa yang mempunyai sejarah bersaka, ada juga dikalangan orang-orang yang rajin beramal ibadat tanpa berguru.

Jangan terperanjat jika saya katakan ahli-ahli thoreqat juga perlu berhati-hati, kerana ada diantara jin-jin asyik meminati mereka yang kuat berzikir, apatah lagi mereka yang mengaku sebagai ahli hakikat atau ahli ma'rifat, kita perlu banyak mengislah diri dan berwaspada, kerana apa jua pengalaman rohani dan kedapatan didalam zikir perlu dirujuk kepada guru yang mursyid, dikhuatiri jin-jin yang suka “menolong” ini mengelirukan anda dialam ghaib dan alam rasa, apatah lagi alam rahsia.

Perawat-perawat juga tidak ketinggalan berkemungkinan menjadi idola kepada puak-puak jin yang kagum dengan kejantanan anda bertarung dengan jin-jin gangguan, apatah lagi jika anda suka bersifat ria’ dan ‘ujub. Kesimpulannya sesiapa sahaja boleh terdedah kepada masalah ini.

Kebiasaannya tahap-tahap gangguan yang dihadapi adalah bergantung kepada individu-individu itu sendiri. Kekuatan diri seseorang tidak sama diantara satu sama lain, ada yang lemah dan ada yang kuat. Kekuatan rohani yang lemah, menyebabkan jin-jin yang samseng ini membuli individu-individu tersebut, sehingga ketahap menodai mangsa. Mereka boleh tinggal dan mempengaruhi diri mangsa didalam kehidupan seharian sehingga kadar tujuh puluh peratus malahan boleh mencapai hingga sembilan puluh peratus.

Jika kekuatan diri bertahap sederhana, kemungkinan jin-jin asyik ini dapat mempengaruhi mental dan emosional. Ini boleh menyebabkan kehidupan seharian kadangkala terganggu, apabila fizikal anda lemah emosi menjadi tidak stabil, fikiran kusut dan tidak dapat fokus. Kadangkala jin-jin ini berjaya juga bermastautin didalam tubuh badan mangsa, seperti di kepala, dada, perut, belikat dan lain-lain tempat yang berkemungkinan.

Jika kekuatan diri atau rohani seseorang itu tinggi, berkemungkinan jin-jin asyik yang meminati mereka adalah dikalangan jin-jin yang beretika dan memahami hak-hak asasi manusia, oleh itu jin-jin ini hanya memerhati dari jauh atau mengekori sahaja tanpa mengganggu kehidupan mangsa.

Kebanyakan kes-kes gangguan jin asyik tidak disedari oleh pesakit sehinggalah mereka datang untuk mendapatkan rawatan pemeriksaan. Dan kebiasaannya ini disedari setelah pesakit sudah mula merasakan bahang-bahang masalah dan gangguan yang menimpa mereka.

Diantara sintom-sintom gangguan jin asyik yang biasa ialah, berat jodoh, sentiasa ada halangan didalam perhubungan cinta, pertunangan dan perkahwinan, kerap sakit kepala, kerap mimpi bersama (bersetubuh), kerap mimpi berkahwin, kerap letih lesu dan malas, kerap memarahi dan membenci pasangan, kerap mimpi kanak-kanak atau bayi, bagi yang perempuan kerap mimpi melahirkan anak, ada juga sampai ketahap mangsa dirogol dan dinodai jin, kebiasaannya yang menjadi mangsa adalah kaum wanita.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan