Sabtu, 5 November 2011

MENGIRA SEPERTIGA MALAM


Allah s.w.t menyeru orang yang berselimut untuk bangun menunaikan solat malam (Tahajjud dan lain-lain) walaupun yang dimaksudkan orang yang berselimut itu ialah nabi Muhammad s.a.w, tapi dalam konteks yang lebih luas ia bererti orang yang dirundung malang, kegelisahan, kecemasan, kekhuatiran atau kengerian, kerana menghadapi pelbagai kesusahan dan kemungkinan yang menimpa dirinya.

Al-quran melalui surah al-Muzzammil ayat 2 menawarkan penyelesaian bagi menghilangkan segala perasaan yang negatif itu, dengan mengarahkan supaya bangun melakukan solat pada malam hari kecuali sedikit daripadanya.

Wahai orang yang ditimpa kesusahan! Buanglah selimutmu itu, dengan cara mengambil wuduk kemudian solatlah, kamu pasti mendapat kekuatan dan bebas daripada rasa sedih dan bimbang.

Bangunlah pada separuh malam atau boleh dikurangi sedikit atau dilebihkan sedikit. Dikurangi sedikit ertinya pada waktu 2/3 malam, dilebihkan sedikit ertinya 1/3 malam. Ini jelas dalam firman Allah s.w.t di penghujung surah;


Firman Allah s.w.t : al-Muzzammil :20

“Sesungguhnya Tuhanmu (Wahai Muhammad) mengetahui bahawasanya Engkau bangun (sembahyang Tahajjud) selama kurang dari dua pertiga malam, dan selama satu perduanya, dan selama satu pertiganya….”.

Untuk mengira 2/3 malam, ½ malam dan 1/3 akhir malam adalah berbeza antara negara, negeri dan tempat. Di sini saya turunkan contoh pengiraan sebagai panduan kita bersama;


Untuk mengira ½ malam atau pertengahan malam

1- pastikan waktu terbenam matahari dan waktu terbit fajar

2- kira berapa jam antara waktu terbenam matahari dan terbit fajar

3- kemudian bahagi dengan dua

4- seterusnya tambahkan jumlah tersebut ke atas waktu terbenam matahari


contoh pengiraan

katakan waktu terbenam matahari pukul 6 malam dan waktu subuh pukul 5 pagi.

Tempoh antara keduanya ialah 11 jam.

11 jam bahagi dua samajuga 5 jam setengah.

5 jam setengah ditambah ke atas waktu terbenam matahari (6 tambah 5 setengah)

Ertinya separuh malam bagi tempat tersebut ialah bermula pukul 11.30 malam.


Untuk mengira 1/3 akhir malam

1- pastikan waktu terbenam matahari dan waktu terbit fajar

2- kira berapa jam antara waktu terbenam matahari dan terbit fajar

3- kemudian bahagi dengan tiga

4- seterusnya tolak jumlah tersebut daripada waktu terbit fajar


contoh pengiraan

katakan waktu terbenam matahari pukul 6 malam dan waktu subuh pukul 5 pagi.

Tempoh antara keduanya ialah 11 jam.

11 jam bahagi tiga samajuga 3 jam 40 minit

3 jam 40 minit ditolak daripada waktu terbit fajar (pukul 5 pagi tolak 3 jam 40 minit)

Ertinya 1/3 akhir malam bagi tempat tersebut ialah bermula pukul 12.20 pagi.


Untuk mengira 2/3 malam


1- pastikan waktu terbenam matahari dan waktu terbit fajar

2- kira berapa jam antara waktu terbenam matahari dan terbit fajar

3- kemudian bahagi dengan tiga

4- waktu dua bahagian pertama ialah 2/3 malam


contoh pengiraan

katakan waktu terbenam matahari pukul 6 malam dan waktu subuh pukul 5 pagi.

Tempoh antara keduanya ialah 11 jam.

11 jam bahagi tiga samajuga 3 jam 40 minit (dua bahagian pertama 3 jam 40 x 2 =7 jam 20 minit)

Ertinya antara pukul 6 malam hingga 1.30 pagi adalah waktu 2/3 malam)


Dari sini kita dapat buat kesimpulan bahawa solat kurang daripada 2/3 malam ertinya ialah antara maghrib hingga 11 malam, solat separuh malam ialah antara pukul 11 malam hingga pukul 12 malam dan solat 1/3 akhir malam ialah antara 12.30 hingga waktu subuh.

Waktu paling utama untuk melakukan qiyamullail ialah 1/3 akhir malam, mungkin kita lakukan pada jam 3 pagi atau 4 pagi atau sebelum sedikit daripada waktu subuh. Ini kerana sabit daripada hadis riwayat imam Bukhari dan imam Muslim yang bermaksud;

‘ Tuhan kita (Allah s.w.t) turun setiap malam kelangit dunia ketika 1/3 malam yang terakhir sambil berkata; “sesiapa yang memohon kepadaku, pasti aku perkenankan, sesiapa meminta kepadaku pasti aku berikan dan sesiapa yang meminta ampun dariku pasti aku ampunkan”.

Oleh itu, setiap muslim dan muslimah perlu merebut peluang beribadah di akhir malam ini untuk mendapatkan kelebihan segala permintaan akan diperkenankan oleh Allah s.w.t di samping dapat menghampirkan diri kepada Allah s.w.t.

Tetapi waktu beginilah kita sentiasa lalai dan diulit mimpi indah sehingga kadang-kadang subuh pun terlepas, tetapi yang peliknya kita sanggup bangun waktu-waktu 1/3 malam begini untuk menonton piala eropah atau piala dunia khususnya kita di Malaysia.kenapa kita sanggup menghabiskan masa dua tiga jam di hadapan TV tapi tidak sanggup untuk menggunakan masa tersebut untuk rukuk dan sujud kepada Allah s.w.t , berdoa dan meminta keampunan kepada Allah s.w.t yang sentiasa bersedia untuk memberi keampunan kepada kita. Jawapannya kita termasuk dalam kumpulan manusia lalai dan lupa kepada Allah s.w.t. walaubagaimanapun tidak menjadi kesalahan kepada kita untuk menonton perlawanan bolasepak jika kita sering bangun malam untuk beribadah dan menonton hanya kebetulan sahaja setelah kita menunaikan solat-solat sunat.

Ayuh wahai saudara-saudaraku! kita tidak lepas daripada masalah dalam kehidupan, sepanjang waktu siang kita bekerja dan melakukan urusan dunia, dalam masa itu kita akan menghadapi pelbagai masalah samada kecil ataupun besar, apa salahnya pada waktu akhir malam kita bangun dan bermunajat kepada Allah s.w.t mengadu segala kelemahan diri dan mudah-mudahan mendapat kekuatan dari Allah s.w.t.


Firman Allah s.w.t :al-Muzzammil :7-8

7. (Kami galakkan Engkau dan umatmu beribadat pada waktu malam), kerana Sesungguhnya Engkau pada siang hari mempunyai urusan-urusan Yang panjang kira bicaranya;


8. dan sebutlah (dengan lidah dan hati) akan nama Tuhanmu (terus menerus siang dan malam), serta tumpukanlah (amal ibadatmu) kepadanya Dengan sebulat-bulat tumpuan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan