Sabtu, 10 Disember 2011

BUAT KAMU YANG CANTIK ...


Saudari, kamu cantik sekali

Tapi hanya di mata manusia. Sedangkan yang Maha Kuasa tak pernah memandang rupa atau pun bentuk tubuh kita. Namun Dia melihat pada hati dan amal-amal yang dilakukan hamba-Nya.

Saudari, kamu cantik sekali

Tapi cantik luaran tak akan pernah abadi. Saat ini kita boleh berbangga dengan kemolekan wajah ataupun bentuk tubuh. Namun beberapa waktu nanti, saat wajah telah keriput, rambut pun kusut dan berubah warna putih, tubuh tak lagi tegap, membongkok dimakan usia, tak akan ada lagi yang boleh dibanggakan. Lebih-lebih jika telah memasuki liang lahad, tentu tiada manusia yang mahu mendekat.

Saudari, kamu cantik sekali

Tapi kecantikan hanyalah pemberian dan untuk apa dibangga-banggakan? Sesungguhnya kecantikan patut disyukuri dengan cara yang baik. Mensyukuri kecantikan bukanlah dengan cara mempamerkan gambar atau membandingkan rupa, sedangkan hakikatnya wajah itu bukan milik kita.

Tidakkah engkau rimas bila banyak mata lelaki yang memandang berhari-hari? Tidakkah engkau malu ketika wajahmu dinikmati tanpa kebenaran engkau sendiri yang menayang gambar. Ataukah rasa malu itu telah punah musnah? Betapa sayangnya jika demikian sedangkan ia sebahagian dari keimanan.

Saudari, kamu cantik sekali

Tapi apa manfaat pujian dan kekaguman seseorang? Adakah ia akan menambah pahala dari-Nya? Adakah darjatmu akan meninggi di sisi Ilahi setelah dipuji? Tiada yang menjamin wahai ukhti. Mungkin malah sebaliknya, wajah cantik itu menjadikanmu tiada harga di hadapan-Nya, kerana kamu tak mampu memelihara sesuai dengan ketentuan-Nya.

Saudari, kamu cantik sekali

Kecantikan itu harta berharga bukan barang murah yang boleh dinikmati dengan mudah. Dimana nilainya jika setiap mata begitu leluasa memandang cantiknya rupa. Dimana harganya dan kehormatan sebagai hamba Tuhan jika setiap orang, baik ia seorang kafir, musyrik atau munafik begitu mudah menikmati wajah para muslimah?

Saudari, kamu cantik sekali

Alangkah indah jika kecantikan luaran itu dipadu dengan kecantikan hatimu. Apalah erti cantik rupawan bila tak memiliki keimanan. Apalah guna tubuh molek memikat bila tiada rasa malu yang lekat. Cantikkan dirimu dengan cahayaNya. Cahaya yang bersinar dari hati benderang penuh keimanan. Hati yang taat sentiasa patuh pada syariat. Hati yang taqwa, yang selalu menjalankan perintah dan menjauhi larangan-Nya. Hati yang sederhana, yang tak berlebihan dalam segala urusan dunia.

Maka tampillah cantik di hadapan Penciptamu kerana itu lebih bererti daripada menampilkan kecantikan pada manusia yang bukan muhrimmu. Tampillah cantik di hadapan suamimu, kerana itu adalah sebahagian dari jihadmu. Mengabdi pada manusia yang kamu kasihi demi keredhaan Ilahi.
Tampillah cantik, cantik iman, cantik batin, cantik hati, kerana itu lebih abadi.

LAKUKAN SEMUANYA KERANA ALLAH....


Cinta itu indah..
jika cinta itu kerana ALLAH.. kerana cinta itu akan sampai kepada ALLAH dahulu, kemudian barulah kepada sesiapa sahaja yang kamu cintai..

Rindu itu indah…
jika rindu itu kerana ALLAH… kerana rindu itu akan sampai kepada ALLAH dahulu, kemudian barulah kepada sesiapa sahaja yang kamu rindui…

Kegembiraan itu indah..
jika gembira itu kerana ALLAH… kerana gembira itu akan sampai kepada ALLAH dahulu, kemudian barulah kepada apa sahaja yang membuat kamu gembira…
.
Sedih itu indah..
jika sedih itu kerana ALLAH.. kerana sedih itu akan sampai kepada ALLAH dahulu, kemudian barulah kepada apa sahaja yang membuat kamu sedih…
.
Bosan itu indah..
jika bosan itu kerana ALLAH.. kerana bosan itu akan sampai kepada ALLAH dahulu, kemudian barulah kepada apa sahaja yang kamu bosankan…
.
Kesibukan itu indah..
jika sibuk itu kerana ALLAH.. kerana kesibukan itu akan sampai kepada ALLAH dahulu, kemudian barulah kepada apa sahaja yang kamu sibukkan…
.
Sakit itu indah..
jika sakit itu kerana ALLAH.. kerana kesakitan itu akan sampai kepada ALLAH dahulu, kemudian barulah kepada apa sahaja yang menyakitkan kamu…
.
Benci itu indah..
jika benci itu kerana ALLAH.. kerana kebencian itu akan sampai kepada ALLAH dahulu, kemudian barulah kepada apa sahaja yang membuat kamu benci…
.

Kesusahan dan derita itu indah..
jika ia kerana ALLAH.. kerana derita dan kesusahan itu akan sampai kepada ALLAH dahulu, kemudian barulah kepada apa sahaja yang membuat kamu susah dan derita..

maka, niatlah segala perasaan kita hanya untuk Allah.. hanya untuk mendapatkan keredhaan Allah…
jujurlah kepada Allah.. atas segala yang menimpa kamu… atas segala yang diperbuatkan oleh kamu.. dan kembalikanlah segala perasaan itu kepada Allah kembali.. kerana Allah jua lah yang memberi segala perasaan itu..

jika ia memberi kebaikan dan menghapuskan dosa-dosa untuk kamu, menyempunakan diri kamu di kemudian hari, maka redhalah dengan perasaan itu..mohonlah, berdoalah agar Allah perbaiki diri kamu… dan berusaha lah untuk muhasabah diri..cari di mana kelalaian kamu selama ini… dan berusahalah memperbaiki diri.

jika perasaan itu menambahkan dosa-dosa kamu, maka mohonlah dihilangkan . hanya kerana takut akan murka, azab allah di ‘sana’ nanti..

serahlah diri kepada Allah dalam apa sahaja yang berlaku kepada kamu. insyaallah, Allah akan mengembalikan kembali perasaan-perasaan kamu itu mengikut apa yang terbaik untuk kamu.

percayalah, Allah tidak pernah menyiksa kamu, kerana bukan itu tujuan kamu diciptakan. Allah sentiasa merindui dan mencintai kamu, hamba-hambanya ,lebih dari segala manusia yang ada di muka bumi ini…

Allah memberi perasaan-perasaan itu untuk memberi ‘isyarat’ cinta dan kasih sayangnya untuk kamu kembali kepada nya… kembali tenang hanya jika bersamanya.

jika masih belum ketemui ‘keindahan’ itu, sekurang-kurangnya kamu mendapat redha Allah.. kerana kamu mengingati dia dan berniat hanya kerana dia di setiap apa sahaja yang menimpa kamu...

Apakah yang lebih bernilai dari REDHA ALLAH? dari RAHMAT ALLAH? dari KETENANGAN daripada ALLAH? dari perasaan KEINDAHAN hanya dengan ‘BERSAMA’ ALLAH?
InsyaALLAH, kamu, kita semua akan ketemu ‘keindahan’ itu…jika kerana ALLAH…percayalah…

DAPUR MEMBAWAMU KE SYURGA WAHAI WANITA....


Salah satu pesan orang tua kepada anak perempuannya adalah “Cinta suami bermula dari perut”.
Ketelitian seorang wanita dalam memberikan hidangan yang memanjakan lidah suaminya, memang tidak hanya berhasil memikat kasih sayang dan perhatiannya, namun juga terbukti berjaya menghidangkan kebahagiaan untuk rumah tangga mereka.

Suami mana yang tidak akansenang melihat isteri yang begitu serius melayaninya, serta mengambil berat soal makan minumnya. Bagi suami yang bijak menghargai, perkara ini membuatkan kekurangan wanita yang menjadi isterinya seolah – olah tertutup oleh perbuatannya yang menjaga cita rasa lidah suami. Dan tentunya untuk si isteri, kebahagiaan sudah pasti diperolehinya kerana redha suami memang menjadi tujuan dari perjuangan seorang wanita muslimah.

Maka, betapa ruginya jika masih ada beberapa orang yang berfikir bahawa dapur bukanlah tempat wanita moden dalam `berkarier`. Bahkan ada sebahagian dari mereka dengan ikhlasnya berbahagi pahala dengan pembantu rumah, malah menyerahkan semuanya kepada pembantu. Beribu alasan kesibukan dan ketidakmampuan diberikannya, termasuk alasan bahawa zaman sekarang pekerjaan rumah hanya mengikat perkembangan kreativiti wanita.

Hanya orang- orang yang belum mengerti kedamaian melayani, yang akan berfikiran bahawa pekerjaan dapur hanya merendahkan wanita. Begitulah pendapat kebanyakan mereka – Selalu di dapur, maka masa depan wanita tamat.
Namun hal ini berbeza dengan fikiran wanita yang menjunjung tinggi sebuah keikhlasan. Melayani suami bukan bererti memasrahkan diri menjadi pelayan. Melayani bererti meningkatkan darjat diri, dari yang hanya berfikir tentang diri sendiri, dia tanggalkan ego demi untuk membahagiakan orang lain.

MasyaAllah, ini bukanlah perkara yang mudah untuk dilakukan, tetapi juga tidak mustahil dijalankan. Wanita ajaib bagaimana yang dapat buat seperti ini, kecuali akan menjadi berkat untuk pasangannya. apa – apa pekerjaan rumah yang begitu berat, betapa banyak kesibukan diluar yang menyita waktu mereka, namun seorang wanita solehah akan tetap memfokuskan bahawa keluarga adalah nombor satu, dan kerana memang itulah tanggungjawab untuknya, dari Allah sang maha penguasa.

Fikirannya selalu terfikir untuk menyiapkan apa yang dia boleh hidangkan untuk suami tercinta. Pahala untuknya akan mengalir dengan deras dan tiket untuk masuk ke dalam syurga Allah insyaallah akan digenggaman.

Memang masih banyak cara untuk membahagiakan suami kita selain dengan memasak makanan kesenangannya. Namun, adakah cara yang lebih baik untuk memenuhi selera makan mereka selain dengan memenuhinya dengan tangan kita sendiri. Pastilah sebuah kebanggaan bagi kita dapat merawat suami sebagai sebahagian dari amanah kita yang kita lakukan dengan tangan kita sendiri, dan menjadikan kita peribadi yang dapat dipercayai dalam menjaga amanah.
Maka jangan pernah melecehkan ketentuan Allah, dan jangan menunggu sampai hak itu diambil Allah barulah kita menyedari kekeliruan kita. Maka sebaiknya kita mulai menumbuhkan rasa malu, saat mengetahui bahawa sang suami cenderung menyukai makanan di luar dan atau buatan orang lain. Manfaatkan waktu sebaik mungkin, kerana sungguhnya Allah menyediakan syurga untuk hambanya yang bersungguh- sungguh dalam belajar.
Siapa pun anda, apa pun kedudukan dan pekerjaan serta kesibukan saat ini, jangan pernah menganggap remeh hasil tangan kasih sayang dari sebuah ruangan kecil yang bernama dapur. kebahagiaan suami, perhatian dan kasih sayangnya dapat anda ikat dari sana. so, mengapa tidak buru- buru memulainya sekarang?
Selamat memburu pahala..

PALING BEST DAPAT MASAK BERSAMA ISTERI ...LIKE AKAK AKU HOK PALING CANTIK KAK NORAFZAN ...KELAS GITU KALAU LELAKI RAJIN TURUN DAPOQ .... BUKAN TENGOK JE...TOLONG ISTERI POTONG BAWANG KAN...TOLONG MASAK..PASTU TOLONG LAP PELUH ....HEHE TAK GITU AKAKKU ....

ANAK YANG BERNILAI KEPADA KEDUA IBUBAPA...


Ibubapa Adalah Jalan Pintas Ke Syurga

Suatu hari Nabi Musa telah bertanya kepada Allah. ” Ya Allah, siapakah orang di syurga nanti yang akan berjiran dengan aku ? “

Allah pun menjawab dengan mengatakan nama orang itu, kampung serta tempat tinggalnya. Setelah mendapat jawapan, Nabi Musa turun dari Bukit Tursina dan terus berjalan mengikut tempat yang diberitahu. Setelah beberapa hari di dalam perjalanan akhirnya sampai juga Nabi Musa ke tempat berkenaan.

Alangkah terkejutnya baginda kerana mendapati pemuda tersebut memandikan sepasang babi jantan dan betina, serta dipeluk dan diciumnya babi tersebut. Ya, sebenarnya babi itu adalah ibubapa kepada kepada pemuda tersebut, tetapi pemuda itu langsung tidak menyisihkan orang tuanya. Bahkan terus berkhidmat dan sentiasa mendoakan agar dosa ibubapanya diampunkan.

Nampak? Betapa tingginya nilai ibubapa kita walaupun bagaimana keadaan mereka. Orang beriman tidak akan mengabaikan ibubapanya kerana untuk mendapatkan redha Allah, mereka haruslah mendapat redha orang tua mereka dahulu.

Rasulullah SAW bersabda: Dari Abdullah bin Amr, dia berkata: seorang lelaki datang kepada Rasulullah, lalu berkata: “Wahai Rasulullah, aku datang untuk berjihad bersama baginda kerana aku ingin mencari redha Allah dan hari akhirat. Tetapi aku datang kesini dengan meninggalkan ibu bapaku dalam keadaan menangis”.

Lalu sabda baginda: “Pulanglah kepada mereka. Jadikanlah mereka tertawa seperti tadi engkau jadikan mereka menangis”. (Riwayat Ibnu Majah)

Lihat, betapa besarnya keredhaan ibubapa dalam kehidupan kita. Dan syarat inilah perlu dicapai untuk memperoleh syurga.

Penutup : Menjadi Anak Yang Bernilai
Di sekolah dahulu, kita semua pasti pernah terdengar perkataan anak emas bukan? anak emas bermaksud anak yang paling disayangi dan dimanja ibubapa. Tapi hari ini saya akan tafsir maksud anak emas yang sebenarnya.
Jika diberi pilihan, untuk memilih antara batu dan emas, yang manakah akan anda pilih?

Jika dibanding, emas mempunyai nilai yang sangat berharga dan nilainya sentiasa meningkat. Sejak berzaman, manusia sanggup melakukan apa sahaja untuk mendapatkannya. Oleh kerana nilainya yang tinggi, emas diletakkan ditempatkan ditempat yang sempurna dan selamat.

Manakala batu, langsung tiada nilai kepada manusia. Jika ada orang mengutip batu dihalaman rumah anda, tiada siapa akan marah. Malah batu digunakan pula untuk menghalau anjing, bahkan salah satu bahan bakar api neraka adalah batu.

Jika begitu, pastilah semua akan memilih emas kerana nilai yang terdapat padanya. Begitulah juga anak yang soleh, nilainya ibarat emas yang berkilauan, dan bernilai disisi Allah SWT. Dan diantara janji Allah, harta yang paling BERNILAI dan tidak putus kebaikannya walaupun selepas mati adalah doa ANAK yang soleh.

Cerminlah diri kita dimanakah status kita sekarang. Dimanakah status kita? Adakah kita emas atau batu tersebut..
Marilah kita menjadi “anak emas” yang bernilai, kerana hanya benda yang tinggi nilainya layak untuk syurga Allah.

Hindarilah dari menjadi “anak batu” seperti si Tanggang kerana batu itu bahan bakar api neraka.

Ingatlah pepatah “What goes around comes around” kerana kita semua bakal menjadi ibubapa dan bakal menjadi tua..
Semoga menjadi renungan bersama..

BIAR AKU DIHUKUM DI DUNIA ..DARI MERANA DI AKHIRAT....


Semasa pemerintahan Sayidina Umar Al Khattab r.a., ada seorang lelaki bernama Hassan. Suatu hari dia keluar dari kampungnya dengan menunggang seekor unta untuk membuat satu perjalanan yang jauh. Setelah lama menunggang, dia keletihan lalu turun dari untanya dan bersandar di sebatang pokok lalu tertidur.

Setelah sedar dari tidurnya didapatinya untanya tidak ada. Dia terburu-buru mencari untanya itu. Dalam keadaan cemas dan bimbang itu, Hassan terjumpa untanya, tetapi telah mati. Alangkah terkejutnya Hassan.
“Pakcik yang membunuhnya,” kata seorang tua yang berada di situ.
“Tetapi bukan sengaja. Unta ini memakan tanaman pakcik, jadi pakcik lontar dengan batu kecil. Kena betul-betul di kepalanya. Tiba-tiba unta ini rebah lalu mati.”
Hassan dalam keadaan bingung kerana terkejut dari tidur, tiba-tiba mencabut pedangnya dan dihayun ke arah orang itu dan terpenggallah leher dari badan.

Hassan seakan-akan baru tersedar dari mimpi dan menyesal yang amat sangat. Hassan lalu mencari keluarga si mati dan menceritakan segala-galanya.

Dua orang anak lelaki kepada orang tua itu terus membawa Hassan kepada Amirul Mukminin hari itu juga. Hassan pun dihadapkan ke mahkamah pengadilan. Dengan dihadiri oleh beberapa orang Sahabat, pembicaraan pun dijalankan.
Setelah mendengar pengakuan Hassan sendiri, Sayidina Umar selaku hakim telah menjatuhkan hukuman bunuh ke atas Hassan. Mendengar itu Hassan berkata:

“Demi Allah, saya lebih sanggup dibunuh di dunia daripada mendapat hukuman Neraka di Akhirat. Tapi, wahai Amirul Mukminin, saya minta ditangguhkan hukuman itu beberapa hari kerana saya hendak pulang memberitahu keluarga saya tentang perkara ini. Mereka semua belum tahu dan kerana jauhnya dari sini tentu mereka tidak akan tahu kalau saya tidak memberitahunya.”
Sayidina Umar tidak dapat memperkenannya kalau tidak ada penjamin. Walaupun Hassan merayu, tetapi Sayidina Umar tetap bertegas.
Akhirnya seorang Sahabat bernama Abu Zar bangun dan berkata, “Sekalipun saya tidak kenal saudara Hassan, namun atas nama Sahabat Rasulullah, saya minta tuan hakim memperkenankan permohonan Hassan. Jika sekiranya Hassan tidak datang pada hari akan dijatuhkan hukuman, maka biarlah saya yang dihukum.”
Dengan jaminan itu, maka Hassan pun dibenarkan pulang ke kampungnya. Sesampai di rumah, Hassan terus memberitahu keluarganya tentang apa yang berlaku dan berkata, “Biarlah saya jalani hukuman di dunia dari hukuman di Akhirat.”

Menangislah ibu bapa dan anak isterinya. Tetapi Hassan tidak lemah semangat, terus dipacunya kuda menuju ke tempat pengadilan. Dia lebih takut kepada Allah dan cintakan Akhirat lebih daripada anak isteri.

Di pertengahan jalan, tiba-tiba tali pacu kudanya putus. Hassan cemas kalau-kalau dengan itu dia terlewat sampai. Bagaimanapun dengan susah payah, Hassan dapat membetulkan tali kekang kudanya dan akhirnya dapat meneruskan perjalanannya, tetapi sudah lewat.

Di padang tempat hukuman hendak dijatuhkan kerana kelewatan Hassan, semua yang menanti sangat cemas. Mereka cemaskan Abu Zar yang terpaksa menggantikan tempat Hassan.

Dalam suasana kecemasan yang memuncak, tiba-tiba berbalam-balam di kejauhan semua yang hadir nampak kuda pacuan berlari kencang menuju ke tempat itu. Setelah yakin Hassan yang datang mereka bertempik, “Allahu Akbar!
Allahu Akbar!”

Suasana tiba-tiba bertukar menjadi sedih dan terharu. Betapa jujurnya anak muda Hassan memegang janjinya sekalipun nyawanya akan melayang.

Sebaik turun dari kudanya, Hassan mengadap tuan hakim dan berkata, “Demi Allah, saya tidak berniat untuk menempah kelewatan ini. Tali kuda saya putus di tengah padang pasir. Puas saya usahakan mencari tali untuk menyambungnya. Alhamdulillah, saya dapat dan selamat tiba ke sini, tuan hakim.” Kemudian katanya lagi, “Sebelum saya dibunuh, izinkan saya bersembahyang dua rakaat.”

Sayidina Umar pun membenarkan. Dalam doa akhirnya, Hassan berdoa: “Ya Allah, ampunkan keterlanjuranku di dunia dan di Akhirat.”

Selesai menyapu muka, Hassan pun mengadap menyerahkan dirinya untuk menjalani hukuman bunuh. Tetapi pada saat genting itu, tiba-tiba kedua-dua beradik anak si mati mengadap tuan hakim dan berkata,

“Kami telah menyaksikan kejujuran dan keikhlasan saudara Hassan dan telah kami saksikan juga keberanian dan kasih sayang saudara Abu Zar. Juga telah kami saksikan ketegasan dan keadilan Amirul Mukminin menjalankan hukuman Tuhan. Hasilnya, kami memperolehi kekuatan untuk meredhakan kematian ayah kami dengan memaafkan saudara kami Hassan. Lepaskanlah saudara Hassan daripada hukuman, wahai Amirul Mukminin.”


Mendengar itu sekali lagi padang itu bergema dengan laungan,

“Allahu Akbar! Allahu Akbar!”

Mereka semua bersyukur kerana terampunnya seorang saudara mereka dari hukuman di dunia dan di Akhirat, insya-Allah.

Banyak yang dapat kita pelajari dari peristiwa bersejarah itu. Dari seorang tua yang berani mengaku salah hingga menemui kematian, kemudian Hassan yang lebih berani mengakui kesalahannya dan menyerahkan diri untuk dibunuh. Kemudian Abu Zar yang berjiwa `sahabat` dan sanggup mati kerananya. Tuan hakim yang tegas dan adil. Akhir sekali dua beradik yang berhati mulia merela dan memaafkan pembunuh ayah mereka.

Dengan hati yang beriman dan berkasih sayang, manusia di zaman Sahabat telah menempa satu sejarah yang agung. Dan dengan hati-hati yang beriman, mereka telah berjaya mengangkat Islam setinggi-tingginya sesuai dengan sifatnya.

Dengan itu mereka bukan sahaja telah menguasai dunia, tetapi sedang menikmati kesenangan dan kerehatan di Alam Barzakh dan akan Allah anugerahkan Syurga. Itulah nasib orang yang bernama mukmin yang sebenar. Sekarang Allah taqdirkan giliran kita untuk menentukan nasib dan maruah diri. Semoga kita menggunakan peluang ini sebaik-baiknya menuruti jejak langkah mereka yang mulia lagi diredhai.

BER USWAH(TELADAN) DENGAN NABI MUHAMMAD SAW


Sahabatku, kita punya cara untuk mengenang orang paling mulia di dunia, Nabi Muhammad SAW. Catatan ringkas ini semoga menjadi renungan buat kita. Berteladan kepada Nabi SAW. Baginda sejatinya uswah, pasti tidak akan membuat kita kecewa!

1) Kalau ada pakaian yang koyak, Nabi SAW menampalnya sendiri tanpa perlu menyuruh isterinya. Baginda juga memerah susu kambing untuk keperluan keluarga mahupun untuk dijual.

2) Setiap kali pulang ke rumah, bila belum tersaji makanan karena masih dimasak, sambil tersenyum baginda menyingsingkan lengan bajunya untuk membantu isterinya di dapur. Aisyah menceritakan bahwa kalau Nabi berada di rumah, baginda selalu membantu urusan rumahtangga.
3) Jika mendengar azan, baginda cepat-cepat berangkat ke masjid, dan cepat-cepat pula kembali sesudahnya.

4) Pernah baginda pulang menjelang pagi hari. Tentulah baginda teramat lapar waktu itu. Namun dilihatnya tiada apa pun yang tersedia untuk sarapan. Bahkan bahan mentah pun tidak ada kerana ‘Aisyah belum ke pasar. Maka Nabi bertanya, “Belum ada sarapan ya Humaira?” Aisyah menjawab dengan agak serba salah, “Belum ada apa-apa wahai Rasulullah.” Rasulullah lantas berkata, “Jika begitu aku puasa saja hari ini.” tanpa sedikit tergambar rasa kesal di raut wajah baginda.

5) Sebaliknya Nabi saw sangat marah tatkala melihat seorang suami sedang memukul isterinya. Rasulullah menegur, “Mengapa engkau memukul isterimu?” Lantas lelaki itu menjawab dengan gementar, “Isteriku sangat keras kepala! Sudah diberi nasihat dia tetap membangkang juga, jadi aku pukul dia.” Jelas lelaki itu.

“Aku tidak bertanya alasanmu,” sahut Nabi SAW.

“Aku menanyakan mengapa engkau memukul teman tidurmu dan ibu dari anak-anakmu?”

6) Kemudian Nabi SAW bersabda, “Sebaik-baik suami adalah yang paling baik, kasih dan lemah-lembut terhadap isterinya.” Prihatin, sabar dan tawadhu’nya beliau dalam posisinya sebagai kepala keluarga langsung tidak sedikitpun mengubah kedudukannya sebagai pemimpin umat.

7) Pada suatu ketika Nabi saw menjadi imam solat. Dilihat oleh para sahabat, pergerakan Nabi antara satu rukun ke rukun yang lain agak melambat dan terlihat sukar sekali. Dan mereka mendengar bunyi gemeretak seakan sendi-sendi di tubuh Nabi mulia itu bergeser antara satu dengan yang lain. Lalu Umar RA tidak tahan melihat keadaan Nabi yang seperti itu langsung bertanya setelah solat.

“Ya Rasulullah, kami melihat sepertinya engkau menanggung penderitaan yang amat berat. Sakitkah engkau ya Rasulullah?”

“Tidak, ya Umar. Alhamdulillah, aku sehat wal ‘afiat.”

“Ya Rasulullah.. .mengapa setiap kali engkau menggerakkan tubuh, kami mendengar suara gemeretak pada sendi-sendi tulangmu? Kami yakin engkau sedang sakit…” desak Umar penuh cemas.

Akhirnya Rasulullah mengangkat jubahnya. Para sahabat amat terkejut. Ternyata perut beliau yang kempis, kelihatan dililit sehelai kain yang berisi batu kerikil, untuk menahan rasa lapar beliau. Batu-batu kecil itulah yang menimbulkan bunyi gemeretak setiap kali bergeraknya tubuh beliau.

“Ya Rasulullah! Apakah saat engkau menyatakan lapar dan tidak punya makanan, kemudian kami tidak akan mengusahakannya buat engkau?’

Lalu Nabi SAW menjawab dengan lembut, “Tidak para sahabatku. Aku tahu, apa pun akan engkau korbankan demi Rasulmu. Tetapi apakah akan aku jawab di hadapan ALLAH nanti, apabila aku sebagai pemimpin, menjadi beban kepada umatnya?

Biarlah kelaparan ini
sebagai hadiah ALLAH buatku, agar umatku kelak tidak ada yang kelaparan di dunia ini lebih-lebih lagi tiada yang kelaparan di Akhirat kelak.”

8) Nabi SAW pernah tanpa rasa canggung sedikitpun makan di sebelah seorang tua yang dipenuhi kudis, miskin dan kotor.

9) Bagindapun hanya diam dan bersabar ketika kain serbannya ditarik dengan kasar oleh seorang Arab Badwi hingga berbekas merah di lehernya. Begitupun dengan penuh rasa kehambaan beliau membersihkan tempat seorang arab Badwi membuang air kecil di dalam masjid sebelum beliau tegur dengan lembut perbuatan itu.

10) Kecintaannya yang tinggi terhadap ALLAH SWT dan rasa penghambaan yang sudah menghunjam dalam diri Rasulullah SAW menolak sama sekali rasa ingin diistimewakan (dipertuan).
11) Seolah-olah anugerah kemuliaan dari ALLAH langsung tidak dijadikan sebab untuk baginda merasa lebih dari yang lain, ketika di depan keramaian (publik) mahupun saat seorang diri.

12) Pintu Syurga terbuka seluas-luasnya untuk Nabi, namun beliau masih tetap berdiri di sepinya malam, terus-menerus beribadah hingga pernah beliau terjatuh lantaran kakinya bengkak-bengkak.

13) Fizikalnya sudah tidak mampu menanggung kemahuan jiwanya yang tinggi. Bila ditanya oleh ‘Aisyah, “Ya Rasulullah, bukankah engaku telah dijamin Syurga? Mengapa engkau masih bersusah payah begini?” Jawab baginda dengan lembut, “Ya ‘Aisyah, bukankah aku ini hanyalah seorang hamba? Sesungguhnya aku ingin menjadi hamba-Nya yang bersyukur.”

DUNIA ITU JAMBATAN KE AKHIRAT


Diciptakan sebagai khalifah, insan hasil cantuman sperma dan ovum sememangnya adalah makhluk yang lemah. Ditambah dengan galasan ujian untuk mengesahkan imannya, tertapislah manusia itu kepada dua golongan; yang sabar lantas beriman dan yang gusar lantas ingkar. Hari-hari yang dilalui sering diselangi dengan kegembiraan dan kedukaan, tanda bahawa turun naik roda kehidupan itu bertujuan mendidik manusia. Agar bersyukur dalam kesenangan dan bersabar tika kesulitan. Itulah definisi iman yang dimanifestasi melalui perbuatan.

Mengetahui dan meyakini bahawa akhirat adalah kehidupan abadi adalah dua perkara yang berbeza. Tahu sahaja tidak cukup, andai tidak diterjemah melalui perbuatan. Realitinya hari ini kita hidup pada bayangan impian yang dikejar untuk hari esok. Cita-cita melangit pada hari depan yang belum pasti tidak sepatutnya menghalang kita daripada mengingati tarikh kembali ke negeri akhirat yang abadi. Kerana itu Rasulullah SAW menyarankan agar kita menyikapi kehidupan umpama seorang seorang musafir. Bersegera di waktu pagi tanpa menanti waktu petang, beramal di waktu petang tanpa bertangguh ke esok paginya!

Malang apabila yang terjadi hari ini adalah kita melanggani nikmat sihat dengan melengahkan ibadat. Hingga ketika sakit datang barulah nikmat itu diratapi pemergiannya. Begitu juga ketika tua tidak bergigi dan sendi lemah di sana-sini, usia muda mula dirindui. Parah apabila mati yang tidak mungkin akan kembali itu tiba sebelum sempat beramal ketika hayatnya!

Seharusnya dunia ini dijadikan jambatan ke akhirat sana, yang tanpanya tidak mungkin negeri akhirat akan dijejaki. Dunia inilah ladang untuk bercucuk tanam, agar seorang Muslim itu mengerti tempat kembalinya bukan di sini. Masing-masing menyiapkan jambatannya untuk menuju ke seberang. Matlamat kita yang pasti adalah berkejar ke akhirat! Mukmin yang bijak tidak akan terpedaya dengan kesenangan dunia, tidak merasa tenang dengannya dan menyiapkan diri meninggalkannya; selaras pesanan Allah ‘azza wajalla:

“Sesungguhnya kehidupan dunia ini hanyalah kesenangan (untuk sementara waktu sahaja) dan sesungguhnya hari akhirat itulah sahaja negeri yang kekal”
(Ghaafir:39)

Bukanlah bermaksud dengan berkejar ke akhirat itu kita meninggalkan dunia seluruhnya. Sebagai jambatan yang seharusnya dijadikan senjata untuk menyeberang ke akhirat sana, dunia harus dilayan sebagai kenderaan sebelum tiba ke negeri abadi. Apa jua yang diusahakan di dunia ini tujuannya adalah untuk dijadikan tukaran balasan baik di akhirat nanti. Dengan itu tidak mungkin seorang mukmin membuang hayatnya pada perbuatan tidak berfaedah, dengan kata lain yang tidak punya nilai saham di akhirat sana. Perkara ini hanya mampu dicapai mereka yang yakin bahawa akhirat itu lebih baik dan kekal selamanya. Perbuatan lebih berhak menterjemah kefahaman.

Mukmin yang merindui akhirat, makan dan tidurnya untuk akhirat. Mukmin yang mencintai syurga, pekerjaan dan ibadahnya untuk Allah semata. Mukmin yang mengharapkan ganjaran pahala akan mengelakkan diri dari aktiviti yang tidak berfaedah. Semuanya kerana mereka seakan tidak punya masa, lantaran dunia ini sementara cuma dan harus dimanfaatkan demi meraih akhirat yang selamanya.

Ingatlah ketika Adam dan Siti Hawa dijadikan di syurga kemudian diturunkan ke bumi, Allah menjanjikan manusia yang beramal soleh untuk dikembalikan semula ke syurga. Seharusnya tanah air asal manusia iaitu syurga adalah tempat yang dirindui oleh mukmin yang berakal, laksana ingin pulang ke kampung halamannya. Tetapi kebanyakan daripada kita lupa, dek kerana hasutan syaitan yang menjadi musuh yang nyata.

Pulanglah mukmin yang dijanjikan syurga, akhirat yang mewah sudah menanti sekian lama.