Jumaat, 4 November 2011

HIJAB MENDATANGKAN KEBAIKAN DAN KEBAHAGIAAN ABADI


1) Hijab tidak menyembunyikan kecantikan wanita- Sebaliknya ia menyembunyikan bahagian-bahagian yang menaikkan nafsu seksual mereka yang memandangnya. Bahkan hijab lebih menambahkan kecantikan wanita. Ini kerana dengan menutup aurat, cahaya/nur akan wujud pada diri wanita tersebut [Saya: Ia bergantung kepada apa yang kita fahami dengan kecantikan, dan saya setuju dengan penulis, perempuan menutup aurat lebih cantik walau pakaian mereka ‘simple’, tidak bersolek dan sebagainya]

2) Isu maruah disentuh di dalam surah an-Nur/Cahaya- ‘Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram) dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka; sesungguhnya Allah Amat Mendalam PengetahuanNya tentang apa yang mereka kerjakan.’ (30) Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram) dan memelihara kehormatan mereka serta janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya’ (31)

Menjaga maruah adalah sesuatu yang membawa cahaya kepada diri kita. Penulis menyatakan tidak ada satu pun retorik tentang hijab yang membuatkannya untuk menutup aurat melainkan ‘cahaya’ yang dapat beliau lihat pada wajah-wajah yang menutup aurat.

3) Hijab adalah identiti akidah Islam- Hai Nabi, katakanlah kepada isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu dan isteri-isteri orang mukmin : “Hendaklah mereka menghulurkan jilbabnya ke seluruh tubuh mereka”. Yang demikian itu supaya mereka lebih mudah untuk dikenal, kerana itu mereka tidak diganggu. Dan Allah adalah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. (al-Ahzab : 59)

Berdasarkan ayat di atas, ‘sister’ berpandangan bahawa adalah tidak tepat menyatakan bahawa hijab disyariatkan agar orang tidak tertarik kepada kita. Hakikatnya, di alam realiti, dengan menutup aurat hatta dengan menutup seluruh tubuh kecuali mata, dan berpakaian serba hitam (seperti wanita-wanita di Arab Saudi) ia akan tetap menarik perhatian manusia. Perbezaannya ialah, ia tidak melahirkan tarikan seksual, sebaliknya ia menarik manusia untuk seketika berfikir tentang Deen Islam, Allah, maruah, dan ‘kecantikan dalaman’.

Al-Quran merekodkan bahawa dengan menutup aurat, kita akan dikenali sebagai wanita beriman, dan bukan wanita ‘biasa-biasa’ yang boleh dipergunakan begitu sahaja. Ia sesuatu yang patut kita banggakan, bahkan ia adalah peluang untuk kita keindahan Islam melalui tingkah laku yang baik dengan menampilkan diri sebagai seorang Muslim.

4) Maruah hanya untuk orang beriman- Di dalam surah an-Nur 30-31 (sila lihat ‘point’ no 2) Allah tidak menujukan arahan menundukkan pandangan kepada semua manusia, sebaliknya Allah menyebutkan ‘lelaki-lelaki beriman’ dan ‘wanita-wanita beriman’. Ini kerana isu maruah diri hanya dihargai oleh manusia-manusia beriman, dan ia hanya dihormati selepas seseorang beriman kepada Pencipta mereka, dan hanya muncul tatkala manusia itu berkeyakinan bahawa mereka akan diperhitungkan untul hal tersebut.

5) Maruah itu hadir dari hati- Di dalam surah an-Nur 30-31 Allah mengajar manusia bagaimana mahu menjaga hati mereka. Langkah pertama untuk menjaga hati daripada tercemar ialah dengan menundukkan pandangan daripada melihat perkara-perkara yang dilarang. Formula mudahnya menundukkan pandangan = menjaga maruah. Contoh mudahnya, jika kita menjaga pandangan daripada melihat perkara-perkara keji, sama ada secara terus atau di televisyen, kita sebenarnya telah berjaya mencegah pelbagai pemikiran atau imaginasi yang keji dan lucah, yang mana semua ini merosakkan akhlak sesebuah masyarakat.

Isu maruah di dalam Islam lebih memfokuskan kepada isu hati berbanding hukum menutup aurat itu sendiri. Menutup aurat adalah salah satu daripada aspek sifat malu, maruah. Oleh kerana itu, menundukkan pandangan bukan hanya dengan lawan jantina, bahkan sesama jantina. Apatah lagi dengan gejala homoseksual yang semakin meningkat.

6) Men from mars, Women from venus- Suruhan menundukkan pandangan dikemukakan terlebih dahulu kepada lelaki berbanding wanita. Bahkan Allah mengulangi dengan frasa amaran bahawa Allah Mengetahui apa yang mereka lakukan.

Boleh jadi ini kerana lelaki lebih sukar untuk menjaga pandangannya berbanding wanita. Selepas itu baru Allah memfokuskan pula kepada wanita, tetapi tidak menyebutkan frasa amaran bahawa Dia Mengetahui apa yang mereka lakukan. Sebahagian manusia berpendapat wanita jarang terlibat dalam ‘memerhati’ golongan lelaki, tetapi ayat ini menunjukkan memang ada wanita terlibat dalam hal ini, cuma boleh jadi kurang berbanding lelaki.

7) Kenapa aurat rambut kurang ditekankan di dalam al-Quran?- Al-Quran memfokuskan kepada melabuhkan tudung di atas dada dan bahagian bawah tubuh berbanding arahan menutup kepala sendiri. Hikmahnya kerana boleh jadi disebabkan segelintir wanita Islam menghadapi kesulitan untuk menutup aurat dengan sempurna iaitu dengan bertudung. Ada yang disebabkan masalah kewangan, masalah kerja apatah lagi yang duduk di negara non-Muslim (note: Jangan salah faham, penulis bukan menyatakan tak wajib pakai tutup kepala). Allah dengan ilmuNya mengetahui kesukaran yang dihadapi oleh hamba-hambaNya. Akan tetapi tiada alasan yang munasabah untuk tidak menutup dada, atau memakai pakaian yang ketat membentuk tubuh yang panjang sehingga ke hujung kaki. Wanita yang memilih untuk menunjuk-nunjuk tubuh mereka sangat berusaha kerasa untuk membuatkan manusia lain gembira atau memuaskan nafsu sendiri, berbanding berusaha untuk mentaati Penciptanya.

8) Apa hikmah arahan wanita agar lebih tertutup?- Kita boleh melihat bagaimana di dalam al-Quran, Allah menekankan sesuatu isu bergantung dengan kelemahan yang ada pada setiap insan, termasuk mengambir kira faktor perbezaan jantina. Realitinya, kita melihat memang kaum lelaki hatta yang bukan Islam sudah sedia tertutup. Pergilah ke mana-mana majlis, kita akan melihat lelaki lebih tertutup tubuhnya dari leher sampai ke kaki. Bahkan di pantai sekalipun. Sedangkan wanita lebih sering memakai pakai yang mendedahkan tubuh, apatah lagi kalau di pantai.

Umumnya, lelaki hatta bukan Islam lebih sopan pakaiannya berbanding wanita. Jadi untuk apa menekankan sesuatu yang mereka memang sudah sedia melakukannya. Tetapi kelemahan lelaki ialah mereka suka ‘berseronok’ dengan melihat wanita.

Wanita kurang terlibat jenayah ‘menghendap’ lelaki, akan tetapi mereka sering terjebak dalam kegilaan fesyen dan sering pula cuba menarik perhatian manusia dengan tubuh mereka. Oleh kerana itu, di dalam al-Quran ditekankan untuk lelaki menjaga pandangan dan untuk wanita menutup tubuh mereka. Gabungan kedua-dua ini memudahkan mereka untuk menjaga maruah masing-masing.

9) Tiada warna khas- Penulis menyatakan bahawa al-Quran tidak pernah menspesifikkan warna yang boleh dan tidak boleh dipakai oleh wanita [note: Benar, cuma perlu dilihat kepada isu hukum wanita berhias-hias/tabarruj. Warna mungkin berbeza bagi setiap masyarakat].

10) Wanita berpakaian tapi telanjang- Ada riwayat menyebutkan wanita yang berpakaian tapi telanjang, dan di atas kepalanya seperti bonggol unta. Hadis tersebut mungkin boleh dikaitkan dengan gerakan awal feminism yang muncul di era 60 an. Gerakan inilah yang membawa budaya pakaian yang singkat seperti mini-skirt dan budaya tidak sopan. Sebelum itu, hatta bukan Muslim, mereka tetap berpakaian sopan. Ini boleh dilihat di dalam filem-filem Inggeris yang lama. Ketika itu wanita digambarkan berpakaian yang sopan, menutup tubuh dari leher hingga ke buku lali. Bahkan sebahagian daripada mereka memakai skaf atau topi. Di dalam Islam, wanita perlu juga menutup kepalanya, tetapi yang lebih utama ialah dia perlu menutup bahagian tubuhnya bermula dari leher hingga ke bawah [note: Jangan terpengaruh sebahagian fesyen, pakai tudung, tapi bentuk dada kelihatan, kain singkat, baju kebaya sendat]

11) Hijab: Sumber kegembiraan- Ayat surah an-Nur 31 yang menceritakan tentang aurat berakhir dengar perkataan “bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya.’’ Di sini Allah menunjukkan bahawa menutup aurat adalah kunci kepada kegembiraan dan kehormatan.

‘Sister’ menyatakan beliau tidak menemui mana-mana ayat al-Quran yang mengancam wanita-wanita yang gagal menutup aurat dengan sempurna, bahkan yang sering dipaparkan ialah keampunan Allah.

Boleh jadi hikmah di sebaliknya ialah kerana Allah Mengetahui bahawa hamba-hambaNya berbeza di dalam tahap keimanan mereka, yang mana menutup aurat dengan sempurna mungkin sukar bagi sesetengah individu, mengikut situasi mereka, dalam masa yang sama Allah tetap mewajibkannya untuk menjaga maruah dan kesucian wanita. Diskusi yang terlalu mendalam dan menekankan dosa membuka aurat menyebabkan wanita merasakan ia satu dosa yang teramat besar. Sedangkan, di dalam al-Quran Allah mengisytiharkan bahawa sesiapa yang memakan riba, mereka telah melancarkan perang ke atas Allah dan RasulNya. Akan tetapi di alam realiti, terlalu sedikit diskusi atau khutbah yang menyentuh isu riba dan member amaran kepada orang beriman untuk tidak memakan riba samaada melalui kredit kad, atau pelaburan di dalam syarikat berasaskan riba. Oleh kerana itu, menyedihkan, komuniti Muslim di barat kelihatan mengambil ringan isu riba dalam masa yang sama kelihatan terlalu keras dalam bab aurat, sedangkan al-Quran menunjukkan sebaliknya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan