█▓┼┼┼┼┼┼┼┼┼┼┼┼┼┼┼┼┼┼┼┼┼┼┼┼┼┼▓█ █▓┼┼┼┼┼┼┼▄██▄┼┼┼▄██▄┼┼┼┼┼┼┼┼▓█ █▓┼┼┼┼┼┼██████┼██████┼┼┼┼┼┼┼▓█ █▓┼┼┼┼┼┼█████████████┼┼┼┼┼┼┼▓█ █▓┼┼┼┼┼┼█████████████┼┼┼┼┼┼┼▓█ █▓┼┼┼┼┼┼┼┼█████████┼┼┼┼┼┼┼┼┼▓█ █▓┼┼┼┼┼┼┼┼┼┼█████┼┼┼┼┼┼┼┼┼┼┼▓█ █▓┼┼┼┼┼┼┼┼┼┼┼███┼┼┼┼┼┼┼┼┼┼┼┼▓█ █▓┼┼┼┼┼┼┼┼┼┼┼┼█┼┼┼┼┼┼┼┼┼┼┼┼┼▓█ Cinta Dan Kasih Sayang MOHD SYAIFUL AZLAN dan Buat Semua ❤●•٠·
Jumaat, 18 November 2011
Manhaj Ahlus Sunnah Wal Jama’ah Dalam Isu Takfir
Budaya takfir (kafir mengkafir) adalah sesuatu yang membawa akibat yang amat buruk terhadap kesatuan umat Islam. Ianya menimbulkan perpecahan, fitnah dan musibah yang dahsyat sehingga boleh terjadinya pertumpahan darah antara sesama muslim. Di samping itu di sisi syari‘at Islam, terdapat beberapa perkara yang perlu diperhatikan:
Isterinya tidak dihalalkan lagi bagi dirinya (yang telah kafir), diharamkan untuk isterinya berada di sampingnya dan anak-anaknya berada dibawah penjagaannya.
Bagi yang telah dituduh kafir, maka seharusnya dia dibawa ke muka pengadilan dan dijatuhkan hukum murtad ke atasnya setelah diajukan hujjah dan bukti keterangan akan kekafirannya.
Bagi mereka yang telah jatuh kafir, apabila mereka meninggal dunia maka tidak berlaku lagi hukum-hukum yang diwajibkan ke atas seorang muslim seperti dimandikan jenazahnya, disembahyangkan jenazahnya, mayatnya tidak boleh dikuburkan di kawasan perkuburan Islam dan hartanya tidat dapat diwarisi oleh ahli keluarganya.
Sesiapa yang telah kafir maka dia layak untuk mendapat laknat Allah Subhanahu wa Ta'ala dan kekal selama-lamanya di dalam neraka jahannam.
Memandangkan betapa beratnya implikasi mengkafirkan seorang muslim yang lain, Islam melarang keras budaya takfir. Firman Allah Subhanahu wa Ta'ala:
Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah sesuatu puak (dari kaum lelaki) mencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah pula sesuatu puak dari kaum perempuan mencemuh dan merendah-rendahkan puak perempuan yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka;
Dan janganlah setengah kamu menyatakan keaiban setengahnya yang lain; dan janganlah pula kamu panggil-memanggil antara satu dengan yang lain dengan gelaran yang buruk. (Larangan-larangan yang tersebut menyebabkan orang yang melakukannya menjadi fasik, maka) amatlah buruknya sebutan nama fasik (kepada seseorang) sesudah ia beriman. Dan (ingatlah), sesiapa yang tidak bertaubat (daripada perbuatan fasiknya) maka merekalah orang-orang yang zalim.[1]
Apakah ada kata-kata cemuhan dan ejekan yang lebih buruk selain dari menggelarkan seseorang itu dengan panggilan kafir? Maka amalan pengkafiran bukan sahaja dilarang oleh syari‘at tapi ianya juga adalah satu tindakan yang amat zalim. Sesungguhnya semua umat Islam itu bersaudara dan tidak selayaknya bagi kita terjebak dalam perbuatan kafir-mengkafirkan terhadap saudara kita yang lain. Ini sebagaimana sabda Nabi Shalallahu 'alaihi wasallam:
Seorang muslim adalah saudara bagi Musim yang lain, tidak boleh dia menzaliminya dan menjerumuskannya ke dalam kebinasaan.[2]
Kezaliman yang paling melampau dan kebinasaan yang paling meranapkan adalah tatkala seorang Musim mengkafirkan saudaranya yang lain. Demi mengawal tindak tanduk seorang muslim dari bermudah-mudahan dalam mengkafirkan saudaranya yang lain, Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam telah bersabda :
Tidak boleh seseorang menuduh orang lain dengan kefasikan dan tidak pula dia menuduhnya dengan kekafiran, melainkan hal ini akan kembali kepadanya jika orang yang tertuduh tidak demikian.[3]
Apabila seseorang mengatakan kepada saudaranya, “Wahai Kafir!”, maka hal ini akan kembali kepada salah seorang daripada kedua-duanya.[4]
Dengan ini dapat kita fahami bahawa menuduh seorang muslim yang lain sebagai kafir mendatangkan risiko yang amat merbahaya iaitu boleh menyebabkan si penuduh jatuh kafir apabila yang tertuduh bebas daripada tuduhan tersebut. Oleh itu ulama’ Ahlus Sunnah Wal Jama’ah amat berwaspada serta tidak terburu-buru dalam isu pengkafiran.
Hujjat al-Islam Imam al-Ghazali rahimahullah telah berkata dalam kitabnya al-Iqtishad fi al-I’tiqad, ms. 269:
Sesuatu yang patut kita berhati-hati adalah masalah pengkafiran, selagi mana ada jalan untuk berhati-hati. Ini kerana menghalalkan darah dan harta orang yang sembahyang menghadap kiblat dan yang mengikrarkan kalimat “Tiada tuhan yang berhak disembah melainkan Allah dan Muhammad itu pesuruh Allah” adalah suatu kesalahan dan kesalahan membiarkan seribu orang kafir hidup adalah lebih ringan daripada kesalahan kerana menumpahkan darah seorang muslim.[5]
Mengkafirkan seorang muslim yang lain diumpamakan dengan membunuhnya. Ini sebagaimana dikatakan oleh al-‘Alla’ bin Ziyad, seorang tabi’in yang mulia,
“Tidak ada bezanya antara kamu mengkafirkan seorang muslim dengan membunuhnya.[6]
Oleh itu ulama’ Ahlus Sunnah Wal Jama’ah sentiasa berhati-hati dalam menjatuhkan hukuman kafir terhadap muslim yang lain. Persyaratan yang amat ketat telah digariskan sebagai langkah untuk mengelakkan amalan pengkafiran berlaku secara berleluasa tanpa kawalan.
Definisi kafir dan jenis-jenisnya.
Kafir menurut bahasa bermakna menutupi. Oleh itu seorang yang terkeluar dari agama Allah ini digelar kafir kerana dia telah menutupi kebenaran atau kerana kekafirannya itu, dia menutupi apa yang sepatutnya dia imani. Kafir menurut syari‘at terbahagi kepada dua iaitu kafir akbar (besar) dan kafir asghar (kecil).
Pertama: Kafir akbar
Ini adalah bentuk kekafiran yang menyebabkan pembuatnya kekal dalam neraka selama-lamanya. Kafir akbar terbahagi kepada 5 jenis:
a) Kafir Takzib (pendustaan) – Kekafiran jenis ini berbentuk mendustakan ajaran yang dibawa oleh para Rasul. Mereka mengingkari ajaran para Rasul dengan lidah dan hati mereka. Ini sebagaimana firman Allah Subhanahu wa Ta'ala :
Dan (ingatlah) hari Kami himpunkan dari tiap-tiap umat sekumpulan besar orang-orang yang mendustakan ayat-ayat keterangan Kami, lalu mereka dijaga serta diatur keadaan dan perjalanan masing-masing. Sehingga apabila mereka datang (ke tempat pengadilan), Allah Taala berfirman: "Adakah kamu mendustakan ayat-ayat keterangan-Ku dengan tidak lebih dahulu kamu mengetahuinya secara meliputi? Atau apakah yang kamu telah lakukan?”[7]
b) Kafir iba’ wal istikbar (keengganan dan kesombongan) – Ada sesetengah manusia yang sebenarnya hati mereka mengakui kebenaran ajaran yang dibawa oleh Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam, tetapi enggan untuk patuh kepadanya kerana kesombongan. Kekafiran ini adalah sama seperti kekafiran iblis. Iblis tidak menolak kebenaran Allah Subhanahu wa Ta'ala sebagai Rabb yang berhak disembah dan dipatuhi perintah-Nya. Namun penentangan iblis adalah disebabkan kesombongannya. Sikap iblis ini adalah sebagaimana yang telah dihuraikan dalam al-Qur’an:
Dan (ingatlah) ketika kami berfirman kepada malaikat: "Tunduklah (beri hormat) kepada Nabi Adam." Lalu mereka sekaliannya tunduk memberi hormat melainkan Iblis; ia enggan dan takbur dan menjadilah ia dari golongan yang kafir.[8]
c) Kafir I’radh – ertinya berpaling dengan pendengaran dan hatinya dari ajaran para Rasul, tidak membenarkan dan tidak pula mendustakannya, tidak mencintainya dan tidak pula memusuhinya serta sama sekali tidak mahu memperhatikan dan mendengar kepadanya. Perilaku ini adalah sebagaimana yang difirmankan oleh Allah ‘Azza wa Jalla:
Sebuah Kitab yang dijelaskan ayat-ayatnya satu persatu; iaitu Al-Quran yang diturunkan dalam bahasa Arab bagi faedah orang-orang yang mengambil tahu dan memahami kandungannya. Ia membawa berita yang mengembirakan (bagi orang-orang yang beriman) dan membawa amaran (kepada orang-orang yang ingkar); dalam pada itu kebanyakan mereka berpaling ingkar (tidak mahu mengetahui dan memahaminya), maka dengan sebab itu mereka tidak menerima dan tidak mematuhinya.[9]
d) Kafir Syak (keraguan) – Ini adalah golongan yang senantiasa di dalam keraguan akan kebenaran ajaran para Rasul.
e) Kafir Nifaq – Iaitu menampakkan keimanan dengan lisan dan perbuatan namun hatinya kafir (orang munafiq). Ini sebagaimana yang difirmankan oleh Allah Subhanahu wa Ta'ala:
Dan di antara manusia ada yang berkata: "Kami telah beriman kepada Allah dan kepada hari akhirat"; padahal mereka sebenarnya tidak beriman.[10]
Kedua: Kafir Asghar
Apabila seseorang itu tidak membuat sesuatu perintah agama, akan tetapi dia tetap menyakini akan kewajipan perintah tersebut, dia tidak dianggap kafir. Contohnya adalah orang yang menyakini akan kewajipan membayar zakat harta tahunan, akan tetapi kerana leka mengejar kehidupan duniawi dia tidak membayar zakar tersebut. Maka orang ini tidak dihukum kafir.
Demikian juga, apabila seseorang itu tidak meninggalkan sesuatu larangan agama, akan tetapi dia tetap menyakini akan keharaman perkara tersebut, dia tidak dianggap kafir. Contohnya adalah orang yang menyakini keharaman hukum minum arak, akan tetapi oleh kerana keterbiasaannya minum sekian lama, dia mendapati sukar untuk menukar tabiat tersebut melainkan bertahap-tahap. Maka orang ini tidak dihukum kafir.
Inilah yang dimaksudkan dengan kafir asghar. Kafir ini tidak mengeluarkan pembuatnya dari agama (masih termasuk dalam golongan yang beriman) dan tidak kekal dalam neraka. Berkata Imam Abu Hanifah rahimahullah dalam kitabnya Fiqh al-Akbar (ms. 102):
Kita tidak boleh mengkafirkan seorang muslim dengan setiap dosa, meskipun dosa besar. Kecuali ada unsur menganggap halal maksiat itu. Kita juga tidak menghilangkan akar iman darinya, dia masih disebut orang beriman secara hakiki atau seorang mukmin yang fasik (tetapi) tidak kafir.[11]
Menurut Imam Abu Ja’afar al-Thahawi rahimahullah:
Kita tidak mengkafirkan seorangpun ahlul kiblat kerana dosa-dosa yang dilakukan, selama dia tidak menghalalkan perbuatan dosa tersebut.”
Syaikh Abdul Aziz bin Baaz rahimahullah melanjutkan:
Maksud beliau (yakni Imam Abu Ja’afar al-Thahawi), sesungguhnya Ahlus Sunnnah Wal Jama’ah tidak mengkafirkan seorang Muslim yang bertauhid, beriman kepada Allah dan hari akhir. Mereka tidak dikafirkan kerana perbuatan yang mereka lakukan, iaitu dosa seperti zina, minum khamar (arak), riba’, derhaka kepada orang tua dan sejenisnya, selama pembuatnya tidak menganggap halal perbuatannya. Namun apabila pembuatnya menganggap halal perbuatannya, maka mereka termasuk kafir kerana statusnya telah mendustakan Allah dan Rasul-Nya serta keluar dari agama. Apabila mereka tidak menganggap halal perbuatan dosanya, maka mereka tidak dikafirkan menurut fahaman Ahlus Sunnah wal Jama’ah. Mereka dianggap seorang mukmin yang lemah imannya...[12]
Hal ini termasuklah tindakan kebanyakan pemerintah negara Islam pada zaman kini yang tidak melaksanakan hukum Allah. Berkata Imam Ibnu Abil ‘Izzi ‘Abdis Salaam dalam kitabnya Syarhul Aqidah ath-Thahawiyah (ms. 323-324):
Di sini wajib untuk kita berfikir (secara cemerlang) bahawa berhukum dengan selain yang diturunkan Allah kadang-kadang boleh menjadi kafir yang mengeluarkan pembuatnya dari Islam (kafir akbar) dan kadang-kadang boleh menjadi maksiat besar atau kecil atau boleh jadi kafir majazi atau kafir asghar (kecil), yang demikian sesuai dengan keadaan hakim/perlaksanaan hukum itu.
Apabila dia meyakini bahawa berhukum dengan selain yang diturunkan Allah adalah tidak wajib dan bahawa dia diberi kebebasan (untuk berhukum dengannya atau tidak) atau dia menghina hukum Allah bersamaan dengan keyakinannya bahawa ia adalah hukum Allah, maka ini adalah kafir akbar.
Apabila dia meyakini wajib berhukum dengan apa yang diturunkan Allah dan dia mengetahuinya tapi dia berpaling darinya, bersamaan dengan pengakuannya bahawa dia berhak mendapat hukuman (atas perbuatannya berpaling dari hukum Allah), maka orang ini telah berbuat maksiat dan ini dinamakan dengan kafir majazi atau kafir asghar.[13]
Beberapa syarat pengkafiran:
Seperti mana yang disebut di permulaan risalah ini, para ulama’ Ahlus Sunnah Wal Jama’ah amat berwaspada dalam menghukum kafir terhadap seseorang individu muslim. Mereka telah menggariskan beberapa syarat yang perlu diperhatikan terlebih dahulu sebelum menjatuhkan hukum kafir. Syarat-syarat tersebut adalah:
Pertama: Baligh dan berakal.
Orang yang belum baligh (kanak-kanak) dan orang yang tidak sempurna akalnya tidak dijatuhkan hukuman. Ini berdasarkan sabda Nabi shallallahu 'alaihi wasallam:
Diangkat pena (tidak dicatit kesalahan) dari tiga orang, anak kecil hingga baligh, orang tidur hingga terbangun dan orang gila hingga sedar.[14]
Ibnu Qudamah rahimahullah dalam kitabnya al-Mughni (jld. 12, ms. 266) berkata:
Hukum murtad tidak berlaku bagi orang yang tidak berakal seperti anak kecil, orang gila, atau orang yang hilang kesedaran akibat pengsan, tidur, sakit, dan minum ubat yang boleh diminum.[15]
Kedua: Perbuatan kafir dilakukan dengan sengaja.
Ucapan atau perbuatan yang membawa kepada kekafiran hendaklah dilakukan dengan kerelaan hati atau kehendak sendiri. Ia bukan satu perbuatan yang terpaksa, tak sengaja, terlanjur atau di luar kawalan seperti disebabkan oleh kegembiraan atau kesedihan yang amat sangat. Allah Subhanahu wa Ta'ala berfirman:
Dan kamu pula tidak dikira berdosa dalam perkara yang kamu tersilap melakukannya, tetapi (yang dikira berdosa itu ialah perbuatan) yang disengajakan oleh hati kamu untuk melakukannya. Dan (ingatlah Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.[16]
Sesiapa yang kafir kepada Allah sesudah ia beriman (maka baginya kemurkaan dan azab dari Allah), kecuali orang yang dipaksa (melakukan kafir) sedang hatinya tenang tenteram dengan iman.[17]
Sabda Nabi saw shallallahu ‘alaihi wasallam :
Allah sangat gembira tatkala hamba-Nya bertaubat, melebihi kegembiraan di antara kalian yang kehilangan kenderaannya di padang pasir yang membawa makanan dan minumannya. Maka apabila dia telah berputus asa darinya (mencari kenderaanya tunggangannya itu) lalu dia mendatangi sebuah pohon untuk berteduh, dalam keadaan putus asa tiba-tiba kenderaan itu berdiri di sisinya.
Maka langsung dia pegang talinya dengan rasa gembira lalu berkata : “Ya Allah, Engkau hambaku dan aku adalah tuhan Mu.” Dia salah dalam berkata kerana kegembiraan.[18]
Ketiga: Ditegakkan hujah ke atasnya.
Tidak boleh menghukum kafir ke atas seseorang selagi mana belum ditegakkan hujah ke atasnya bahawa perbuatannnya boleh mengakibatkan kekafiran. Lebih dari itu, hujah yang ditegakkan hendaklah dalam bentuk yang jelas dan padu, lengkap dengan dalil-dalilnya, sehingga dia dapat memahaminya dengan baik. Berkata Syaikh al-Islam Ibnu Taymiyah rahimahullah dalam Majmu’ al-Fatawa (jld. 12, ms. 501):
Ucapan (yang mengakibatkan) kafir mungkin saja datang dari orang yang belum sampai kepadanya nas (hujah dan dalil) untuk mengenali kebenaran. Atau boleh jadi telah sampai (nas tersebut) tetapi hujah tersebut dipandang tidak benar atau belum mungkin baginya untuk memahaminya atau ada syubhat dalam proses memahami kebenaran. Maka dalam kondisi seperti ini Allah memaafkan…… inilah manhaj para sahabat radhiallahu 'anhum dan para ulama’ sunnah.[19]
Beliau meneruskan (Jld. 12, ms. 523-524):
Sesiapa yang beriman kepada Allah dan Rasul-Nya secara mutlak dan tidak tahu kebenaran secara rinci, tidak boleh dihukum kafir sehingga telah ditegakkan hujah bahawa tindakannya tersebut kafir. Sebab banyak orang terkadang salah dalam memahami al-Qur’an atau salah tafsir, maka kesalahan dan lupa diangkat dari umat ini dan penghukuman kafir hanya terjadi setelah ada penjelasan.[20]
Allah Subhanahu wa Ta‘ala berfirman:
...Dan tiadalah Kami mengazabkan sesiapapun sebelum Kami mengutuskan seorang Rasul (untuk menerangkan yang benar dan yang salah).[21]
Rasul-rasul (yang Kami telah utuskan itu semuanya) pembawa khabar gembira (kepada orang-orang yang beriman), dan pembawa amaran (kepada orang-orang yang kafir dan yang berbuat maksiat), supaya tidak ada bagi manusia sesuatu hujah (atau sebarang alasan untuk berdalih pada hari kiamat kelak) terhadap Allah sesudah mengutuskan Rasul-rasul itu. Dan (ingatlah) Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.[22]
Abdullah bin Auf radhiallahu 'anh pernah menceritakan:
Tatkala Mu’adz datang dari Syam, beliau terus sujud kepada Nabi. Maka Nabi bertanya: “Apa yang kamu lakukan wahai Mu’adz?” Dia berkata: “(Apabila) saya sampai ke Syam, saya dapati mereka bersujud kepada para rahib dan pendeta mereka, (maka) saya suka bila seperti itu saya dapat lakukan untukmu.”
Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam menjawab: “Janganlah kamu lakukan sedemikian, sebab seandainya aku membenarkan orang sujud kepada selain Allah, nescaya aku akan suruh wanita sujud kepada suaminya.”[23]
Dalam hadis di atas, tindakan Mu’adz radhiallahu 'anh yang sujud kepada Nabi shallallahu 'alaihi wasallam adalah satu tindakan yang jelas salah. Akan tetapi baginda tidak menjatuhkan hukum kepada Mu’adz, sebaliknya menerangkan kepada beliau, yakni menegakkan hujah, bahawa tindakan tersebut tidak dibolehkan.
Syarat yang ketiga ini adalah penting, khasnya orang Islam minoriti yang tinggal di sebuah negara bukan Islam. Sukar bagi mereka mempelajari ilmu-ilmu Islam kerana berjauhan dari ulama’, sukar untuk mendapatkan sumber ilmiah tentang Islam dan masyarakat Islam di sekelilingya juga terdiri dari mereka yang kurang pengetahuannya dalam hal-hal agama. Maka orang Islam minoriti ini tidak dihukumkan kafir seandainya melakukan perbuatan yang pada asalnya boleh membawa kepada kekafiran.
Tidak ketinggalan ialah orang Islam yang duduk di dalam negara yang majoriti penduduknya adalah orang Islam. Akan tetapi mereka tetap terhindar daripada ilmu-ilmu agama yang sebenar disebabkan beberapa faktor penghalang seperti para ulama’ yang tidak jujur mahupun memiliki ilmu yang sahih. Mereka ini juga tidak dihukum kafir seandainya melakukan perbuatan yang pada asalnya boleh membawa kepada kekafiran.
Ini kerana Allah Subhanahu wa Ta‘ala telah berfirman:
Oleh itu bertaqwalah kamu kepada Allah sedaya supaya kamu; dan dengarlah (akan pengajaran-pengajaran-Nya) serta taatlah (akan perintah-perintah-Nya).[24]
Dan orang-orang yang beriman serta beramal soleh, Kami tidak memberati diri seseorang (dengan kewajipan) melainkan sekadar yang terdaya olehnya, - merekalah ahli Syurga, mereka kekal di dalamnya.[25]
Berdasarkan ayat-ayat di atas, Allah tidak membebani seseorang melainkan yang terdaya olehnya. Oleh itu seandainya seseorang itu telah berusaha sedaya upaya untuk mencari kebenaran dalam Islam namun masih terdapat kekurangan atau kesilapan tanpa disengajakan, sehingga dia melakukan perbuatan yang kafir, Allah tidak akan menghukumnya, malah mengampuni kesalahannya.
Keempat: Perbuatan diukur dari segi zahirnya.
Setiap orang Islam diadili berdasarkan apa yang terlihat pada zahir dirinya. Antara kaedah yang penting di sini adalah: “Sesungguhnya hukum-hukum itu dilihat dari zahirnya dan Allahlah yang akan menghukumi batinnya.” Ini sebagaimana firman Allah Subhanahu wa Ta'ala :
Wahai orang-orang yang beriman, apabila kamu pergi (berperang) pada jalan Allah (untuk membela Islam), maka hendaklah kamu menyelidik (apa jua perkara dengan sebaik-baiknya), dan janganlah kamu (terburu-buru) mengatakan kepada orang yang menunjukkan kepada kamu sikap damai (dengan memberi salam atau mengucap dua Kalimah Syahadat): "Engkau bukan orang yang beriman" (lalu kamu membunuhnya) dengan tujuan hendak (mendapat harta bendanya yang merupakan) harta benda kehidupan dunia (yang tidak kekal).[26]
Senada dengan ayat di atas adalah hadis berikut dari Usamah bin Zaid radhiallahu 'anh:
Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam pernah menghantar kami pada satu peperangan, pada pagi hari kami menyerbu al-Huraqaat (nama sebuah kabilah) dari kabilah Juhainah. Maka aku bertemu dengan seorang lelaki lalu dia berkata: “Laa ilaha illallah” kemudian aku menusuknya (membunuhnya).
Akan tetapi aku merasa ada sesuatu dalam hatiku dari kejadian itu, lalu aku menceritakannya kepada Rasuliullah shallallahu 'alaihi wasallam. Maka baginda berkata: “Apakah dia telah mengatakan Laa ilaha illallah kemudian kamu membunuhnya?” Aku menjawab: “Ya wahai Rasulullah, sesungguhnya dia mengatakan hal itu hanya kerana takut kepada pedangku.:
Baginda bertanya (menandakan kesalahan tindakan Usamah): “Tidakkah kamu membelah dadanya sehingga kamu mengetahui apakah benar-benar dia mengatakannya (dengan jujur) atau tidak?”[27]
Berdasarkan ayat dan hadis di atas, maka sewajarnya bagi kita tidak bermudah-mudah dalam mengkafirkan orang lain selagi mana zahirnya masih menunjukkan bahwa dia seorang muslim. Sebagai contoh, tidak sewajarnya kita mengkafirkan pemerintah yang tidak melaksanakan hukum hudud atau bertindak zalim selagi mana pada dirinya terdapat ciri-ciri orang Islam, khasnya ciri mendirikan sembahyang. Ini sebagaimana pesan Nabi shallallahu 'alaihi wasallam:
Akan ada sepeninggalku nanti pemimpin (yang) kalian mengenalnya dan mengingkari (kezalimannya), maka barangsiapa mengingkarinya (bererti) dia berlepas diri dan barangsiapa membencinya (bererti) dia selamat. Akan tetapi barangsiapa yang meredhainya (bererti) mengikutinya. Para sahabat bertanya: “Apakah tidak kita perangi mereka (pemimpin tersebut)?” Baginda menjawab: “Jangan, selagi mana mereka masih sembahyang.”[28]
Kelima: Kekafiran memiliki cabang-cabangnya.
Sebagaimana iman memiliki cabang-cabangnya, kekafiran juga memiliki cabang-cabangnya. Di antara cabang-cabang kekafiran ada yang boleh menyebabkan pelakunya terkeluar dari Islam dan ada yang tidak. Contohnya mengatakan Nabi Isa ‘alaihi salam adalah anak tuhan atau tuhan itu bertiga (Trinity) jelas mengeluarkan pelakunya dari agama Islam. Manakala peminum arak atau penzina hanya dihukum sebagai seorang yang fasiq (pelaku dosa besar), namun tidak mengeluarkannya dari Islam selagi mana dia tidak menghalalkan perbuatannya itu.
Oleh itu seseorang yang terdapat dalam dirinya beberapa perbuatan dari cabang-cabang kekafiran, dia tidak boleh dihukum kafir secara mutlak dan tidak pula boleh dinamakan mukmin secara mutlak walaupun dirinya beriman kepada Allah ’Azza wa Jalla. Yang benar dia masih seorang muslim. Ini sebagaimana Firman Allah Subhanahu wa Ta'ala:
Orang-orang "A'raab" berkata: "Kami telah beriman.” Katakanlah (wahai Muhammad): "Kamu belum beriman, akan tetapi berkatalah, ‘kami telah Islam’ kerana iman masih belum memasuki hati kamu.”[29]
Syaikh al-Islam Ibnu Taymiyyah rahimahullah berkata:
Asal kesesatan Mu’tazilah, Khawarij dan selain mereka adalah kerana mereka menyelisihi dasar ini, mereka menjadikan iman sebagai sesuatu yang satu, bila hilang sebahagiannya maka musnahlah seluruhnya. Oleh kerana itu mereka menghukumi pelaku dosa besar sebagai tidak memiliki iman sama sekali. Mereka tidak mengatakan ada sebahagian yang hilang dan sebahagian lain yang masih tersisa, sebagaimana sabda Nabi shallallahu 'alaihi wasallam: “Akan keluar dari Neraka barangsiapa yang hatinya ada sedikit keimanan.” Dengan demikian maka iman tidak hilang dengan hilangnya sebahagian amal.[30]
Kata Penutup.
Harapan penulis, risalah yang ringkas ini dapat menyedarkan kita semua akan sikap berhati-hati para ulama’ Ahlus Sunnah Wal Jama’ah dalam masalah takfir. Kekafiran itu sendiri terbahagi kepada dua kategori dan sebelum seseorang itu boleh dijatuhkan hukum kafir, terdapat beberapa syarat yang perlu diperhatikan terlebih dahulu.
Hendaklah kita menyedari bahawa mengkafirkan muslim yang lain merupakan satu isu yang amat serius, sebagaimana jelas Imam Ibnu Abil ‘Izzi ‘Abdis Salam al-Hanafi dalam Syarhul Aqidah ath-Thahawiyah (jld. 2, ms. 432 & 436):
Ketahuilah –semoga Allah merahmati kamu- bahawa masalah pengkafiran merupakan masalah yang sangat besar fitnah dan musibahnya, banyak perpecahan yang terjadi di dalamnya, berselisihnya hawa nafsu dan pendapat tentangnya dan telah terjadi pertentangan antara alasan-alasan mereka…… Sesungguhnya sebesar-besar bentuk kejahatan adalah menuduh individu tertentu bahawa Allah tidak akan mengampuninya dan tidak akan merahmatinya, bahkan Allah akan mengekalkannya dalam neraka (kerana yang sedemikian adalah) hukum bagi orang kafir setelah mati.[31]
Kesimpulannya, sekiranya dalam diri seseorang itu terdapat beberapa ciri kekafiran, sikap kita bukanlah mengkafirkannya tetapi berusaha mencari jalan agar dia menghindari ciri-ciri kekafiran tersebut. Berilah nasihat, tegakkan hujah dan bukalah ruang untuk dia berfikir dan berusaha mengubah diri sekalipun hanya secara bertahap-tahap. Firman Allah Subhanahu wa Ta'ala :
Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dia-lah jua yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalan-Nya, dan Dia-lah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk.[32]
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan