Khamis, 3 November 2011

MEDIA KELAWAR

Sementara malam masih gelap, kelawar akan terus bebas bertebangan. Namun bila matahari mula bersinar, kelawar tidak akan berani menjenguk muka. Begitulah perumpamaannya dalam masyarakat kita, sementara kefahaman dan penghayatan Islam di kalangan orang ramai masih rendah, bermaharajalelalah ‘media kelawar’ merosakkan masyarakat dengan idea-idea karat dorongan nafsu.

Media ini akan terus berusaha membunuh nilai-nilai akhlak dan roh Islamiah dengan menyiarkan berita, rencana, kartun dan apa jua tulisan yang putus daripada petunjuk agama benar. Walaupun ada kalanya, media ini masih menyiarkan tulisan-tulisan yang kononnya berunsur Islam – tetapi semuanya diolah dan telah diubahsuaikan mengikut selera nafsu.

Neraca keadilan, ketepatan dan kebenaran yang sepatutnya menjadi etika dan pegangan sewenang-wenangnya dicemari. Unsur-unsur fitnah, mengadu-domba dan kepincangan akhlak, menjadi sajian untuk tatapan umum setiap hari. Mereka tidak lagi menjadi juru damai dalam sesuatu krisis, sebaliknya telah menjadi batu api yang menghangatkan lagi pertelingkahan yang sedia ada.
Kekadang menyokong tanpa bersikap adil. Ada kalanya menghentam secara kasar dengan membelakangkan nilai akhlak. Tidak keterlaluan jika dikatakan, media kadangkala menjadi punca keruntuhan akhlak, perpecahan ummah dan kejadian maksiat yang semakin menjadi-jadi. Kisah hidup para pendosa yang tidak senonoh dieksploitasi. Kisah misteri, seks, gosip menjadi bahan sensasi..
Tersebar dan meluas-nya sesuatu krisis biasanya hasil campur tangan akhbar. Aktivis media sepatutnya menghayati sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud:
“Damaikanlah dua saudara kamu yang bergaduh.”
Namun, apa yang berlaku adalah sebalik-nya. Berita-berita yang menghangatkan lagi krisis muncul satu demi satu, hari demi hari. Semacam tidak suka pula jika pihak yang berkrisis itu berdamai.

Lebih besar dan hebat sesuatu krisis yang berlaku, lebih besar ‘nilai’ beritanya. Lebih banyak pergaduhan dan krisis yang berlaku, lebih banyak keuntungan yang diraih. Ironinya, perdamaian pula yang dianggap merugikan.

Namun, tunggulah… media kelawar akan mula tertekan dengan penghayatan masyarakat tentang ayat Quran ini:

“Wahai orang-orang beriman, apabila datang orang-orang fasik membawa berita maka hendaklah kamu periksa.”

Masyarakat kini telah kian terbuka kepada sumber berita yang sudah pelbagai. Kita tidak boleh menipu semua orang, pada semua masa dan di semua keadaan.
Penentang kebangkitan Islam pasti musnah. Zaman cerah pasti datang bersama naiknya Islam dengan kemajuan dan pembangunan yang dibina sendiri. Tanpa bersandar kepada timur dan barat. Ketika itu tempat sandar akhbar-akhbar kelawar pasti roboh untuk diganti oleh akhbar dan media-masa Islam yang membawa berita baik kepada seluruh isi dunia!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan