Jumaat, 18 November 2011

JANGAN EGO DALAM MEMIMPIN


Assalamualaikum...

Segala pujian bagi Allah SWT, Tuhan sekalian alam semesta. Selawat dan salam buat kekasih hati, Junjungan Mulia Nabi Muhammad SAW, Rasul ikutan sepanjang zaman.

Saya mengambil kesempatan pada kali ini untuk membincangkan masalah ego yang ada pada pimpinan. Samada sikap tersebut merupakan anjakan paradigma bagi golongan ini atau pun ia merupakan pemusnah hidup masyarakat.

Pada hakikatnya sikap ego memang ada dalam setiap diri manusia sama ada kaum adam mahupun hawa. Tambahan pula bagi mereka yang bergelar pimpinan dan lelaki.

Pantang kalau ditegur oleh kaum hawa.
Pantang sekali diminta berubah sikap oleh adik-adik yang masih muda.
Pantang sekiranya didahului oleh AJK atau orang bawahannya.
Setiap sesuatu yang dianugerahkan oleh Allah SWT kepada makhlukNya ada baik dan buruknya. Begitu juga dengan sikap ego. Kalaulah sikap ini dipandu oleh ilmu tasawuf, maka hasilnya ia akan memberikan impak maksima pada seseorang. Lebih-lebih lagi pimpinan.

Tetapi kalaulah sikap ini dipandu oleh nafsu, maka tunggulah saat kebinasaan wahai pimpinan sekalian.

Saya datangkan contoh, bagaimanakah sikap ego ini akan memberikan anjakan paradigma yang baik buat pimpinan.

Sikap ego yang ada dalam diri akan menyebabkan seseorang pimpinan itu lebih yakin dengan ucapannya di hadapan orang ramai. Ucapan yang ilmiah dan berisi akan menarik minat pendengar untuk memberi perhatian yang sepenuhnya.

Sikap ego yang ada dalam diri akan menyebabkan seseorang pimpinan itu tidak akan kalah dengan orang bawahannya. Apa yang saya maksudkan di sini ialah seseorang itu akan melangkah 10 kali lebih jauh berbanding dengan orang yang berada di sekeliling. Langkah tersebut disusun rapi demi memastikan strategi yang dirancang akan berjalan dengan lancar.

Sikap ego yang ada dalam diri akan menyebabkan seseorang pimpinan itu bersifat dengan lebih matang. Bukan hanya sekadar sikapnya yang matang, bahkan kematangan tersebut jelas pada ucapannya, pemikiran fikrahnya, tindakan yang dilakukan dan pandangan idea yang dilontarkan.

Ego yang saya maksudkan di atas ialah ego yang dipandu oleh ilmu tasawuf yang dipelajari daripada sikap para alim ulama'. Ego tersebut bukanlah ego lakonan di hadapan masyarakat.

Tetapi sekiranya ego yang dicanai dengan angkara nafsu, tunggulah bahawa kebinasaan akan muncul tidak lama lagi.

Ego yang berjalan tanpa diiringi ilmu tasawuf, akan dikelilingi oleh segala sifat mazmumah yang dikeji. Sifat riya', 'ujub, sum'ah dan takabbur akan menyelinap masuk. Akhir sekali ia akan mengundang kemurkaan Allah SWT.

Saya ingin datangkan kisah yang dirakamkan oleh Allah SWT di dalam surah al-'Araf ayat 11-18.

Allah berfirman
Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu wahai nabi Adam AS. Oleh itu Kami perintahkan kepada para malaikat dan iblis, sujudlah (tanda hormat) kepada ciptaan Kami ini.
Malaikat
Baiklah, kami akan ikut perintah-Mu wahai Allah.
Iblis Kami tidak akan sujud (tanda hormat) kepada ciptaan-Mu ini.
Allah berfirman Sebenarnya apa yang menghalang kamu wahai iblis untuk ikut perintah Kami?
Iblis Kenapa kami perlu sujud pada ciptaan-Mu ini padahal, kami lebih baik dan mulia jika dibandingkan dengan manusia. Kami diciptakan daripada api padahal dia ini diciptakan daripada tanah. Bukankah api itu lebih mulia daripada tanah?
Allah berfirman Baiklah, kalau begitu keluarlah kamu wahai iblis daripada syurga Kami ini. Kamu tergolong dalam golongan orang yang sesat.
Iblis Kami mohon kepada-Mu ya Allah sebelum kami keluar daripada syurga ini. Kami mohon supaya kami tidak dimatikan hinggalah hari kiamat.
Allah berfirman Baiklah, Kami perkenankan.
Iblis Disebabkan kami dihukum sesat, maka kami akan pastikan anak cucu Adam AS tidak akan mengikuti jalan-Mu yang benar.
Allah berfirman Kami akan masukkan kamu dan orang-orang yang mengikut kamu ke dalam api neraka Jahannam kelak.
Ini merupakan sikap ego tidak berilmu yang ditunjukkan oleh Iblis Laknatullah. Tidak lama selepas sikap tersebut ditunjukkan, datanglah laknat Allah SWT kepada mereka.

Kadang-kadang sikap ego ini ditunjukkan oleh orang-orang yang lebih tua. Cukup susah untuk mereka menerima pandangan dan nasihat daripada golongan muda atau pun yang bergelar adik. Tambahan pula kalau orang yang lebih muda tadi memberi arahan kepadanya. Hal seperti inilah yang sering berlaku dalam perjuangan Islam iaitu Virus Ego.

Sikap pimpinan yang selalu menidakkan pandangan ahli dan AJK juga perlu dinilai semula. Sikap menerima pandangan semua orang kemudian mengkaji buah fikiran tersebut merupakan sikap yang dianjurkan oleh agama Islam. Nabi SAW juga mengambil pandangan sahabatnya sebelum membuat sebarang keputusan.

Golongan lelaki yang selalu meremehkan pandangan dan buah fikiran wanita juga perlu dihindarkan. Berkemungkinan idea yang dilontarkan oleh kaum hawa tadi lebih teratur dan tersusun berbanding kaum lelaki.

Sebab itulah kalau dilihat dalam satu kata-kata yang dikeluarkan oleh seorang hukama' ketika beliau menjelaskan tentang perbezaan antara maksiat nafsu dan maksiat takabbur.

"Maksiat yang dilakukan oleh sebab nafsu mempunyai harapan untuk diampunkan oleh Allah SWT. Kerana maksiat yang dilakukan oleh Nabi Adam AS adalah maksiat yang berpunca daripada nafsu. Manakala maksiat yang dilakukan oleh sebab takabbur dan ego, tidak akan diampunkan oleh Allah SWT. Kerana maksiat yang dilakukan oleh Iblis Laknatullah adalah maksiat yang berpunca daripada sifat takabbur dan ego".

Kita memohon kepada Allah SWT supaya menjadikan kita golongan pimpinan yang mampu memandu masyarakat ke arah memperjuangkan Islam berdasarkan semangat, ilmu dan kefahaman dalam diri. Dan kita juga memohon semoga Allah SWT menjadikan kita tergolong dalam golongan yang diganjarkan syurga di hari akhirat kelak. Amin.

Wallahu'alam...

Tiada ulasan:

Catat Ulasan