Selasa, 3 September 2013


Kecantikan Muslimaah bukan pada paras rupanya atau penampilannya .....



Setiap kecantikan bagi seseorang individu datangnya daripada Allah
Ta'ala.Tetapi ingatlah kecantikan paras rupa,indahnya pipi bak pauh
dilayang,bibir merah umpama delima merekah,hidung yang mancung bagai
seludang akan musnah jua akhirnya andai tidak dihiasi peribadi dirinya
dengan cahaya keimanan dan Islam.

Zaman dahulu,orang tidak pernah terfikir bahawa dengan teknologi
moden,manusia mampu merampingkan pinggang,menghilangkan kedut-kedut di
muka dan memancungkan hidung.Malah di era kemodenan ini,rupa paras boleh
diubah melalui pembedahan plastik dan tua boleh dilewatkan dengan memakan
hormon estrogen.Malah ada segelintirnya pula sanggup mati akibat penyakit
aneroxia nervosa.Ada pula yang rela bersenam berjam-jam sehari,tahan lapar
berhari-hari atau membelanjakan beribu-ribu ringgit untuk tujuan tersebut.

Dan tidak hairanlah,pertandingan ratu cantik yang diadakan mendapat
perhatian daripada masyarakat umum khususnya golongan remaja.Masing-masing
berlumba memperagakan maruah dan harga diri untuk dipertontonkan di
khalayak ramai semata-mata mengejar glamour dan nama.Dan ada pula yang
sanggup menggadaikan maruah keseluruhan negara,kononnya ingin menjadi
ratu cantik seluruh negara.

Semua permasalahan yang berlaku ini melibatkan maruah kaum
wanita.Tidak cukup dengan eksploitasi wanita di media-media massa dan
iklan-iklan tanahair,maruah wanita pula diperdagangkan untuk diimport
eksportkan ke pelusuk dunia.Tubuh badan yang sewajarnya ditutup litup
mengikut syariat Islam,kini bagi haiwan yang tidak terasa malu tanpa
berpakaian.Dan tidak mustahil suatu hari nanti,ada pertandingan'Raja
Kacak'.Kalau sekarang ada ratu cantik,mungkin menjelang tahun 2020,timbul
pula pertandingan baru untuk kaum lelaki.

Semua makhluk di muka bumi ini asal kejadiannya adalah dari setitis
air mani yang hina,bentuknya adalah semata-mata berasal dari tanah dan
kembali kepada tanah jua.Justeru itu,tiada perbezaan antara penilaian
Islam dalam menilai kecantikan setiap individu.Dan janganlah kita
menyalahkan takdir Ilahi seandainya rupa paras yang diciptakan oleh Allah
Ta'ala mempunyai kecacatan dan kurang menarik.Bersyukurlah dengan apa yang
Allah Ta'ala kurniakan.Islam tidak pernah membezakan manusia berdasarkan
hubungan darah,keturunan dan suku bangsa.Namun Islam membezakannya
berdasarkan taQwa kepada Allah Ta'ala.Itulah kemuliaan sebenar pada
manusia.

Islam meletakkan ukuran kecantikan bukan pada raut wajah yang
manis,pada putih kuning kulitnya,tubuh atau sorotan mata yang
menawan,tetapi biarlah hati dan juga akalnya juga cantik.Malah kecantikan
hati diletakkan paling utama,diikuti dengan kecantikan akal dan akhir
sekali barulah kecantikan paras rupa.Kecantikan paras rupa ini ada atau
tidak ada,sama sahaja di sisi Allah Ta'ala.Ini jelas digambarkan
berdasarkan sepotong hadis Nabi s.a.w:"Sesungguhnya Rasulullah s.a.w
berkata kepada Abu Zar:"Lihatlah sesungguhnya engkau tidak dinilai mulia
kerana kulit merah dan juga kerana hitam, sebaliknya mulianya kamu dengan
sebab taQwa"(Riwayat Ahmad).Bukan itu sahaja,malahan Islam mengukur
kecantikan dengan melihat kebersihan dari segala unsur yang bertepatan
dengan ketentuan Allah Ta'ala.

TaQwa itulah yang dimaksudkan kecantikan hati.hati yang cantik
adalah hati yang sangat sensitif terhadap Allah Ta'ala.Merasakan kehebatan
dan kebesaranNya sehingga merasakan diri sangat hina dan lemah.Perasaan
yang lahir inilah yang dapat menyingkir segala
sifat-sifat"kesyaitanan"dalam hati manusia seperti pemarah,ego,bangga
diri,sombong,rakus dan sebagainya.

Inilah falsafah kecantikan sebenar menurut Islam.Justeru itu,mereka
yang cacat fizikalnya atau tidak menarik dinilai,adalah orang yang
tercantik di dunia jika di dalam tubuhnya yang cacat itu bersemanyam megah
jiwa atau batin yang cemerlang dan sentiasa dicuci dengan Nur
Ilahi.Sedangkan orang yang memiliki tubuh badan yang sempurna,cantik dipandang mata dunia,sebaliknya di dalam jiwa mereka bersarang
istana-istana syaitan,mahligai iblis dan dipenuhi oleh kemusyrikan akidah
yang terpesong dari landasan Islam.Perkara ini diistilahkan oleh al-Quran
umpama mereka yang najis.

Ingatlah,setiap individu tidak akan merasakan sebarang kerugian
andaikan kecantikan hati menjadi buruan setiap wanita. Bukannya Allah
Ta'ala yang akan mendapat keuntungan tersebut,tetapi manusia itu
sendiri.Lihatlah,betapa banyak manfaatnya bila kecantikan hati menjadi
buruan utama setiap wanita.Antaranya ialah;

1) Dihindari Dari Bahaya

Setiap wanita berperanan melindungi kecantikan paras rupanya
daripada dipertontonkan di khalayak umum,lebih terselamat dari bahaya
fitnah dan gangguan.Umpama intan berlian,seandainya dipertunjuk-
tunjukkan,akan menarik perhatian pencuri,dan begitulah sebaliknya.

2) Mengelakkan Pembaziran

Memburu kecantikan paras rupa memakan kos yang sangat
tinggi.Berbagai-bagai usaha yang dilakukan untuk mencari alat-alat
kecantikan wajah,"make up",membesarkan sanggul dan bahagian-bahagian yang
tertentu yang mungkin boleh menarik perhatian orang kepadanya untuk
menutup keburukan yang dialaminya itu.Akan tetapi,memburu kecantikan hati
tidak memerlukan belanja yang tinggi.Sewajarnya wang yang digunakan untuk
membeli alat kecantikan wajah dipergunakan untuk soal-soal yang lebih
penting seperti mendapat pendidikan yang baik,menolong faQir
miskin,kerja-kerja yang bermanfaat untuk agama,masyarakat,bangsa dan
negara.

3) Membina Kasih sayang Yang Hakiki

Kecantikan yang dinilai pada hati,ia akan lebih
berkekalan,berbanding dengan kecantikan yang dinilai pada paras
rupa.Kecantikan hati tidak akan luput.Umpamanya,kasih sayang seorang suami
terhadap isterinya kerana hati atau akhlaknya akan kekal lama.Kunci kasih
sayang dalam sesebuah keluarga ataupun masyarakat adalah ikatan hati yang
sentiasa berpaut antara satu sama lain.

4) Melahirkan Masyarakat Yang Harmoni

Hati yang terdidik dalam mengejar kecantikan yang sebenar akan dapat
menyuburkan sifat-sifat terpuji seperti pemurah,sabar, pemaaf, bertolak
ansur,lemah lembut,redha atas segala pemberian Allah Ta'ala,cintakan
akhirat,cintakan Allah Ta'ala dan sebagainya.akan selesai dan hilanglah
perasaan buruk sangka,umpat dan kata,menipu dan pecah belah dalam
rumahtangga serta sebagainya.

Begitulah besarnya hikmah mengapa Allah Ta'ala meletakkan kecantikan
hati sebagai buruan utama setiap wanita.Tidak hairanlah,mengapa para
hukama' yang mengatakan:"Bila baik wanita dalam sesebuah negara,baiklah
negara tersebut".Oleh yang demikian.wanita yang benar-benar menginginkan
lebih hak membangunkan negara,perlulah dia memperjuangkan diri dalam
memburu kecantikan hati.

Sesungguhnya ukuran kecantikan wanita muslimah yang dapat dinilai
dari kaca mata Islam yang sebenar ialah;

- Dengan imannya yang mendalam,yang memakmurkan hatinya dan melapangkan
dadanya serta menggerakkan syiarnya.

- Dengan akalnya yang bijak sana dan fikiran yang bercahaya serta
berpandangan yang luas.

- Dengan tingkahlaku dan akhlaknya yang mulia serta amalannya yang soleh.

- Dengan kecintaannya terhadap Allah Ta'ala,sentiasa mengingatinya,
melaksanakan segala perintahnya danmeninggalkan segala larangannya dan
mengikut sunnah Rasulullah s.a.w

- Dengan ikhlas kepada suaminya dan memuliakannya serta bersolek
untuknya,mentadbir dan mentarbiah anak-anak menjadi generasi yang
cemerlang.

- Mempunyai sifat-sifat mahmudah seperti lemah lembut,kasih
sayang,peramah,pemurah,dermawan dan sebagainya.

Sifat-sifat inilah yang sepatutnya menjadi dasar pilihan muslimin
dalam membina dan membentuk sebuah mahligai kebahagiaan untuk mendirikan
rumahtangga kepada muslimat.Nabi Muhammad s.a.w pernah berpesan dalam
hadisnya:"Apabila datang(meminang)kepada kamu seorang lelaki yang kamu
sukai akan akhlaknya dan agamanya,maka kahwinilah dia.Kalau kamu tidak
berbuat demikian,kelak akan berlaku fitnah di atas muka bumi,kerosakan
yang merata"

Maksud kerosakan yang merata itu ialah kalaulah lelaki yang baik
agamanya tidak menjadi pilihan kepada seorang wanita itu dan tidak
mengambil kesempatan untuk berkahwin dengannya,maka sudah tentu dia akan
memilih lelaki yang sebaliknya.Pilihan ini akan membawa kepada fitnah
dalam hidupnya lantaran agamalah yang menjaga kedamaian rumahtangga.

Kerana dirimu wahai muslimaah terlalu berharga .... Jangan lupa tu .... Allah dah tinggikan martabat kalian .... Jangan kembali merendahkan apa yang Allah angkat kemuliaan sebagai muslimaah ........ Taqabballallahu minna wa minkum ..... 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan