Selasa, 3 September 2013


Menguruskan Jenazah Tanggungjawab Kita Bersama


Menguruskan jenazah orang Islam, merupakan fardhu kifayah, yakni apabila sudah dikerjakan oleh sebahagian dari orang Islam yang lain, maka yang lainnya tidak berdosa, akan tetapi apabila tidak seorang pun yang mengerjakan kewajipan tersebut, maka semua orang Islam dalam satu kampung atau kawasan tersebut akan berdosa.

Orang Yang Berhak Menguruskan Jenazah 

Orang yang berhak dan lebih afdal untuk menguruskan jenazah ialah dari kalangan keluarganya atau warisnya yang terdekat misalnya ; anaknya sendiri kalau simati bapanya. Kalau warisnya tidak ada kemampuan atau pengalaman, bolehlah diminta Imam atau Bilal di kawasan tersebut untuk menguruskannya.

Perkara Yang Perlu Diuruskan Oleh Warisnya 

Waris yang tertua hendaklah berpakat/berbincang berhubung dengan kematian. Di antara perkara yang perlu diuruskan oleh warisnya ialah :

Urusan di Balai Polis bagi melaporkan kematian. Nota : Sekiranya jenazah itu meninggal di Hospital cukup dengan surat kebenaran atau pengesahan dari doktor.

Membeli keperluan untuk urusan memandi dan mengkafankan mayat. 

Menentukan bilal untuk memandikan mayat. 

Urusan menggali kubur. 

Menentukan Imam untuk sembahyang mayat.

Menguruskan kenderaan untuk jenazah. 

Ucapan takziah.

Syarat Mandi (ke atas mayat)

Beragama Islam.

Ada bersifat manusia.

Ada tubuh manusia walaupun sebahagian daripadanya (ada mayat).

Bukan mati syahid yang menegakkan kesucian Islam.


Syarat Ke atas Orang Hendak Memandikan Mayat

Beragama Islam.

Bukan musuh.

Orang dewasa.

Merdeka.

Mempunyai kemahiran dan ilmu yang cukup. 

Sabar.

Tabah dan berani.

Beramanah.


Rasulullah saw bersabda :

“Barang siapa yang memandikan mayat dan ia menyembunyikan ke atas apa yang dilihatnya, diampunkan oleh Allah swt empat puluh kali”.

Peralatan Dan Persiapan Mandi

Tempat mandi/bilik mandi/tabir.

Kain basahan dan tuala mandi.

Air sabun – 1 baldi.

Air cendana dan air kapur barus – 1 ceret.

Sarung tangan.

Kain sugi – 5 & 6 helai.

Kain sugi – 7 & 9 gulung.

Air daun bidara – 1 baldi.

Kemeyan/setanggi sekiranya diperlukan.

Pencebok atau gayung secukupnya.

Tanah untuk tayammum.

Cara Memandikan Jenazah

Pada asasnya, mandi mayat sama dengan mandi wajib yang lain. Iaitu mengandungi 2 rukun. Pertamanya niat mandi dan keduanya meratakan air keseluruhan badan termasuklah bulu-bulu rambut dan umbi rambut. Cara-caranya ialah :

Mayat diletakkan di tempat yang di khaskan.

Dimandikan dalam sehelai kain yang boleh menyerapkan air serta menutup aurat. “Sesungguhnya Nabi saw telah dimandikan di dalam gamisnya (baju labuh)”. Maksud hadis.

Bersihkan najis-najis pada tubuh dan kemaluannya. Kemudian diurut serta menekan perutnya supaya mengeluarkan najis atau kotoran yang ada dan membersihkannya. Niat beristinjak : “Sahaja aku beristinjak ke atas mayat ini kerana Allah taala”.

Wudukkan mayat sepertimana orang hidup. Niat wuduk : “Sahaja aku mengambil wuduk yang sunat bagi mayat ini kerana Allah taala”.

Mulakan mandi dengan air bersih. Disertai niat memandikan jenazah (hukum niat adalah sunat) (mandi adalah wajib). Lafaz niat : “Sahaja aku mandikan ke atas jenazah ini kerana Allah taala”.

Setiap anggota mulakan disebelah kanan dahulu, dari Ummu Athiyah mengatakan ketika kami memandikan puteri Rasulullah saw, Zainab. Rasulullah bersabda mafhumnya : “Mulakan dengan memandikan bahagian anggota-anggota yang kanan dan anggota wuduk”. (Riwayat Al-Bukhari).

Setelah dimandikan dengan air sabun, air daun bidara dan air mutlak sebanyak 3 kali, sekiranya tidak cukup memuaskan, maka lebihkan mandian menjadi 5 atau 7 kali. Rasulullah saw bersabda : “Mandikanlah jenazah-jenazah itu secara ganjil tiga, lima, tujuh kali atau lebih jika kamu pandang perlu”.

Akhirnya mandikan dengan air kapur barus dan air cendana.


Beberapa Peringatan

Ketika membasuh di sebelah kanan. “Ampunkanlah dia wahai tuhan dan kepada Engkaulah tempat kembali”.

Ketika membasuh di sebelah kiri. “Ampunkanlah dia wahai Tuhan yang Maha Pemurah dan kepada Engkau tempat kembali”.

Ketika mencurah air kapur barus (diakhir mandi jenazah). “Ampunkanlah dia wahai Tuhan yang Maha Pemurah dan kepada Engkau tempat kembali”.

Sunat orang yang telah selesai memandikan jenazah, mandi sunat dengan niat “Sahaja aku mandi sunat selepas memandikan mayat kerana Allah Taala”. Begitu juga dengan orang yang mengangkatkan jenazah, sunat berwuduk untuk dirinya.

Doa untuk mengelakkan dari badi mayat. “Dengan nama Allah yang tidak memberikan kemudharatan oleh sesuatu di bumi dan di langit. Sesungguhnya Dialah yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui”.


Permasalahan yang selalu berlaku

Mayat lelaki atau perempuan dalam keadaan janabah (Berhadas besar) tidak dituntut mandi lagi kerana mandi mayat sudah memadai.

Jika di dapati keluar najis atau darah setelah sempurna dimandikan memadai dibersihkan sahaja darah atau najis tersebut. Jika berlarutan keluarnya diikat dan dibalut dengan kapas atau kain.

Jika rambut, kulit atau lainnya yang tanggal dari anggota badannya, wajib diambil dan dibasuh kemudian kapankan bersama-sama jasadnya.

Jika didapati mayat di dalam sungai atau lombong yang sudah berubah atau reput, maka boleh kita selamkan semula mayat itu dalam 1 atau 2 minit dengan niat memandikan mayat (kira-kira meratakan air di seluruh anggotanya, nescaya sahlah mandinya jika tidak ada najis di badannya.

Keguguran mengikut Imam Syafie, bayi cukup bulan ialah berumur dalam kandungan 6 bulan lahzah. Manakala bayi yang tidak cukup bulan ialah berumur 6 bulan lahzah ke bawah.

Keguguran bayi cukup bulan, wajib disempurnakan empat perkara sepertimana jenazah orang dewasa iaitu mandi, kafan, sembahyang dan kebumikan.

Keguguran bayi yang tidak cukup bulan : Jika keguguran itu ada tanda-tanda hidup seperti bersuara atau bergerak wajib disempurnakan sepertimana jenazah orang-orang dewasa (mandi, kafan, sembahyang dan di kebumikan). Jika keguguran itu tidak ada tanda-tanda hidup wajib disempurnakan tiga perkara sahaja iaitu mandi kafan dan kebumikan dengan tidak perlu disembahyangkan. Jika keguguran itu seketol darah dan belum bersifat manusia, sunat dibungkuskandengan kain lalu ditanamkan sahaja.

Mayat kanak-kanak yang lahir, mati sebelum dipotong urinya. Sebelum dimandikan hendaklah dipotong urinya terlebih dahulu, kerana uri itu bukan anggota kanak-kanak tersebut dan bukan dari anggota ibunya. Uri itu najis, jika tidak dipotong, tidak sah sembahyang keatas kanak-kanak tersebut. Potong uri tidak dinamakan menyiksa mayat. Haram dimandikan, disembahyangkan dan ditanam uri bersama kanak-kanak tersebut. Uri perlu dibungkus dan ditanam begitu sahaja.

Mengkebumikan mayat wanita mengandung. Diakui oleh doktor perubatan atau bidan yang anak dalam kandungan itu telah mati, baru boleh dikebumikan. Haram membelah perut ibu untuk mengeluarkan mayat anaknya di dalam kandungan. Sekiranya disahkan oleh doktor perubatan atau bidan, anak dalam kandungan masih hidup hendaklah dibelahkan perut ibunya untuk menyelamatkan anaknya.


Tayammum Dari Aspek Keadaan Mayat

Tayammum ialah menggunakan debu tanah yang suci lagi kering sebagai ganti daripada mandi mayat dan anggota yang tidak dapat kena air.

Mayat yang harus ditayammum : Kerana ketiadaan air, mayat harus ditayammum berdasarkan firman Allah swt yang bermaksud : “Jika kamu tidak mendapat air (untuk mandi atau berwuduk), maka hendaklah kamu bertayamum”. (An-Nisa  ayat 43).Mayat yang terlalu uzur (mati terbakar) kalau dimandikan hancur dagingnya. Mayat lelaki atau perempuan yang meninggal tempat yang terpencil yang susah mendapatkan air mutlak. Rasulullah saw bersabda mafhumnya : “Jika seorang wanita meninggal di lingkungan lelaki hingga tidak ada wanita lain, atau lelaki di lingkungan wanita-wanita di mana tidak ada lelaki lain, maka hendaklah mayat tersebut ditayammumkan lalu dimakamkan kedua mereka itu sama halnya dengan yang tidak mendapatkan air”. Kanak-kanak lelaki yang belum berkhatan. Mayat yang reput atau hancur.

Niat Tayammum “Sahaja aku tayammumkan ke atas jenazah ini kerana Allah taala”.


Jenazah Yang Tidak Perlu dimandikan Atau Ditayammumkan 

Orang yang mati di medan pertempuran kerana menegakkan agama Allah dari musuh yang bukan Islam.

Dari Jabir Bin Abdullah berkata mafhumnya :

“Sesungguhnya Nabi saw memerintah untuk menanamkan mereka yang terbunuh di medan perang Uhud dengan darah serta pakaian mereka dan tidak perlu dimandikan dan tidak perlu disembahyangkan”. (Riwayat Al-Bukhari)

Perkara Yang Haram Di Waktu Mandi

Meniarapkan mayat.

Menyentuh kemaluan dengan tidak berlapik.

Melihat aurat antara pusat ke lutut dengan tidak ada sesuatu hajat.

Menceritakan kepada orang lain apa yang dilihat sewaktu memandikan jenazah, seperti hitam mukanya, lebam, berubah baunya dan sebagainya.

SEDIKIT CEBISAN PETIKAN DARIPADA KHUTBAH JUMAAT 

Setiap manusia yang pernah hidup di dunia ini pasti akan menemui kematian.

Firman Allah dalam surah Yunus ayat 49:

"Bagi setiap umat ada tempoh (ajal) yang ditetapkan; maka apabila tiba tempohnya, mereka tidak dapat melambatkan sesaatpun, dan juga tidak dapat mereka menyegerakan".

Bagi mereka telah meninggal dunia, berakhirlah semua urusan mereka di dunia ini sebaik sahaja mereka menghembuskan nafas yang terakhir. Namun bagi kita yang masih hidup, berkewajipan untuk menguruskan jenazah mereka, iaitu dengan memandikannya, mengkafan, menyembahyangkan dan seterusnya mengebumikan.

         Namun, majoriti di kalangan ahli kariah mengambil sikap tidak ambil tahu, tidak peduli, atau tidak merasa terpanggil untuk membantu menguruskan jenazah dalam kariah mereka. Mereka menganggap tugas menguruskan jenazah adalah tugas dan tanggungjawab imam, bilal dan siak melaksanakan tuntutan fardhu kifayah dan mereka fikir mereka tidak perlu melibatkan diri dalam perkara tersebut.

         Sebenarnya memang begitulah realitinya. Tidak semua orang mampu, sanggtup atau mempunyai pengetahuan atau mungkin tidak berani untuk menguruskan jenazah. Ada juga yang takut melihat jenazah. Bila berlaku kematian, ramai ahli keluarga, saudara-mara, jiran tetangga dan sahabat-handai dating menziarahi jenazah. Di kalangan mereka, ada yang membaca surah yasin dan bertahlil. Tetapi ramai yang hanya duduk dan menunggu, sambil berbual-bual, tetapi alangkah baiknya kalau kita sama-sama membaca Al-Fatihah, membaca Al-Quran dan lain-lain lagi ataupun sama-sama membantu menguruskan jenazah, dari tugas memandi, mengkafan, menyembahyang, menggali lubang kubur serta lain-lain tugas yang berkaitan.

Dari Ibnu Abbas R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda;

Tidak seorang lelaki muslim yang mati yang disembahyangkan oleh empat puluh orang lelaki yang tidak mensyirikkan Allah melainkan Allah Ta'ala memberi syafaat kepadanya."
(Riwayat Muslim)

Bertolong-tolonglah kalian semua dalam melakukan kebaikan .... seperti firman Allah dalam Surah Al Maidah ayat ke  2

"Bertolong-tolonglah kamu dalam (mengerjakan) kebaikan dan taqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan dalam berbuat dosa dan melampaui batas; dan bertaqwalah kepada Allah".

FirmanNYA lagi dalam Surah Al Baqarah ayat 148 

"Dan bagi tiap-tiap umat ada arah (kiblat) yang masing-masing menujunya, oleh itu berlumba-lumbalah kamu mengerjakan kebaikan, kerana di mana sahaja kamu berada, maka Allah tetap akan membawa kamu sekalian (berhimpun pada hari kiamat untuk menerima balasan), sesungguhnya Allah amat berkuasa atas tiap-tiap sesuatu".     

Ya Ayyuhal Ladzhii Na Amaanu ..... Ittaqullaha Haqqa Tuqatihii Walaa Tamutunna Wa Antum Muslimuun ....

Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa, dan jangan sekali-kali kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.

Surah Ali Imran ayat 102 ....

Barakallahu fikuum ..... 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan