MENCARI REZEKI YANG HALAL UNTUK MENCAPAI KEJAYAAN DUNIA DAN AKHIRAT ...
Untuk mencapai kekayaan sememangnya mempunyai pelbagai cara untuk digunakan. Malah ia terpulang kepada diri kita sendiri samada ingin mencari rezeki melalui cara yang haram ataupun halal. Berikut adalah antara tips untuk mencari rezeki yang halal untuk mencapai kekayaan. Pertama,kita perlu berusaha dan bekerja dengan istiqamah. Bagi mencari rezeki yang halal, kita perlu berusaha gigih dan tekun yang luar biasa.Usaha kita mencari kegemilangan mesti sentiasa berterusan dan tidak hanya sekerat jalan. Tekad dan usaha sebeginilah yang kita namakan istiqamah. Perkataan istiqamah dirujuk daripada perkataan arab yang bermaksud berterusan dan berkekalan. Ada juga yang menyebutnya istimrar yang bermaksud sebagai istiqamah. Umpamanya, sesuatu amalan itu dianggap sebagai istiqamah jika dilakukan dengan cara berpanjangan, tekun, ikhlas dan sabar. Nabi Muhammad SAW pernah berpesan bahawa amalan yang dianggap sebagai amalan terpuji ialah amalan yang dilakukan secara istiqamah. Ini kerana istiqamah adalah wasilah yang akan membawa kita kepada kejayaan di dunia dan akhirat..
Kedua, kita juga perlu bekerja dengan ikhlas dan jujur. Gerak kerja yang dilakukan secara berterusan akan diberi pahala oleh Allah SWT dan dianggap sebagai amal soleh jika dikerjakan dengan penuh tanggungjawab ikhlas dan jujur. Dalam al-quran ada menyebut perkara ini sebagai solihat atau amal soleh, iaitu kerja yang baik yang ditunaikan atas nama dasar iman. Ia meliputi segala kegiatan yang membawa kepada kebaikan duniawi dan ukhrawi, kebendaan dan kerohanian. Manusia yang beriman akan menganggap bahawa setiap saat hidupnya di dunia ini amat berharga dan perlu diisi dengan dengan amal kebajikan kerana kecemerlangan di dunia dan kebahagiaan di akhirat dinilai melalui amal perbuatan kita. Sekiranya baik, maka baiklah pembalasannya, jika buruk maka buruklah balasannya.
Ketiga, kita perlu mewujudkan budaya kerja yang cemerlang dalam mencari rezeki yang halal. Islam menganjurkan umatnya supaya menekuni dan berusaha keras dalam mencapai kegemilangan di dunia dan kebahagiaan di akhirat. Tetapi ada juga sebilangan orang yang berpandangan bahawa kehidupan duniawi ini hanya sementara, akhirat yang kekal abadi. Jadi tidak perlu berusaha keras dan cukuplah hanya sekadar apa yang ada di hadapan kita dan rezeki yang diberikan kepada kita. Sememangnya kita setuju dengan pandangan itu, tetapi di sini kita ingin menekankan bahawa amal duniawi yang sementara itulah yang menjadi bekalan kita di akhirat kelak dan yang menentukan kehidupan ukhrawi yang abadi. Dunia ini adalah janbatan kepada akhirat. Kita perlu persiapkan diri dengan kelengkapan yang cukup untuk dijadikan bekalan kita pada hari akhirat. Bagi menjelaskan hujah ini, kita boleh merujuk perkara ini kepada agama islam yang menyeru umatnya supaya bekerja keras dengan ungkapan:
“Bekerjalah kamu untuk dunia seolah-olah kamu akan hidup selama-lamanya, dan bekerjalah kamu untuk akhirat seolah-olah kamu akan mati esoknya.” Ungkapan ini begitu bermakna sekali untuk sekali untuk kita jadikan pegangan dan pedoman demi untuk memantapkan dan mengukuhkan lagi konsep budaya kerja bermutu tinggi dan berintipati dalam kehidupan kita.
Keempat, kita juga perlu menafkahkan sebahagian daripada rezeki kita sebagai tanda bersyukur untuk mencari rezeki yang halal. Infak juga diertikan zakat. Ini kerana infak disandingkan dengan saudara kandungannya, yakni solat. Solat itu merupakan saudara kandung zakat kerana kedua-duanya jaminan bagi seluruh ibadat yang bersifat badan mahupun harta, dan kerana kedua-duanya(solat dan zakat atau infak) hamper selalu disebut dalam al-Quran. Tetapi pemaknaan infak ini juga boleh ditempuh dengan cara, seperti dilakukan Al-Khazin, membeza-bezakannya menjadi: infak wajib, seperti zakat, juga nazar, pembiayaan diri sendiri mahupun nafkah keluarga atau orang-orang yang kita tanggung, juga infaj jihad, kalau kewajipan perongkosannya jatuh pada kita. Lalu ada infak mandub(yang dianjurkan) atau tathauwu’(sukarela), termasuk pemberian pertolongan(harta) kepada sesame saudara. Dalam pada itu penggambaran mengenai infak tersebut, seperti dikatakan Muhammad Abduh, menyangkut bukti paling kuat dari iman kepada yang ghaib yang disebut sebelumnya di dalam ayat. Kerana, katanya, kebanyakan orang melaksanakan bentuk-bentuk ibadah badani seperti solat dan puasa, tetapi, manakala disondorkan kepada mereka tuntutan mengeluarkan sesuatu dari harta Allah Ta’ala, mereka mengenggam dan tidak membiarkan diri mereka menunaikannya. Kesimpulannya, kita perlu menafkahkan sebahagian daripada harta kita untuk melaksanakan tanggungjawab kita sebagai umat islam.
Kelima, kita perlu mengagih zakat secara adil untuk mencari rezeki yang halal. Yahya ibn Sa’id telah dilantik oleh Khalifah Umar Abdul Aziz untuk memungut zakat di afrika. Apabila zakat sudah dipungut, beliau mencari orang yang berhajat kepada zakat tetapi gagal bertemu seorangpun yang boleh diberikan zakat.Beliau tidak ada pilihan kecuali membeli beberapa hamba dan memerdekakan mereka. Juga semasa pemerintahan Khalifah Umar Abdul Aziz, orang ramai mengeluarkan jumlah zakat yang banyak kepada Perbendaraan Negara untuk diagihkan kepada fakir miskain tetapi zakat berkenaan terpaksa dipulangkan kerana tidak ada orang yang ditemui yang berhak menerima bantuan zakat. Semasa pemerintahan KhalifahUmar Abduh Aziz, penerima zakat tidak merasakan perlu menerima zakat walaupun terbukti wujud golongan yang berhak menerima zakat pada waktu itu. Mereka tidak begitu hajatkan kepada harta kekayaan sebaliknya mereka amat qana’ah dengan apa yang mereka ada.
Keenam, dalam mencari rezeki yang halal, kita perlu mengindari cara yang batil. Batil adalah bermaksud melakukan kegiatan ekonomi yang menyimpang, baik dari tuntutan syariat mahupun dari perundang-undangan. Jadi boleh dikatakan bahawa segala kegiatan perekonomian yang menyimpang dari tuntutan syariat dan perundang-undangan yang berlaku atau aturan-aturan yang telah ditetapkan termasuk dalam kategori batil. Al-Quran tidak melarang kegiatan ekonomi di antara sesama manusia, khususnya orang-orang yang beriman, kerana dalam kehidupan ini manusia membuntuhkan makan, minum, dan segala kebutuhan hidup lainnya. Kegiatan ekonomi ini tidak dilarang tetapi dianjurkan. Bahkan ada hadith yang mengecam orang yang bermalas-malasan. Islam mengajarkan bahawa dalam melaksanakan perekonomian harus didasarkan pada prinsip-prinsip seperti:
1.Suka sama suka, penjual merasa puas kerana barang-barang dagangannya laku terjual, begitu juga pembeli yang merasa puas kerana barang yang dibelinya berkualiti tinggi dan bermanfaat.
2.Usaha ekonomi harus mencerminkan unsur keadilan antara kedua-dua belah pihak. Jangan sampai salah satu pihak merasakan ketidakadilan.
3.Asas manfaat, tingkat laku dalam usaha perekonomian harus melahirkan manfaat bagi kehidupan manusia. Maka barang-barang yang membawa madharat dan nampak negative bagi kehidupan manusia dilarang diperjualbelikan oleh agama, seperti minuman keras, ubat-ubatan yang terlarang dan sebagainya, ini kerana ia tidak mempunyai nilai gunanya.
Jika ketiga-tiga prinsip diatas dijalankan, maka akan terjadi persaingan ekonomi yang sihat. Ketiga-tiga tersebut harus diketahui oleh para pelaku ekonomi, kerana hukum muamalah bukan hanya diketahui para ustad sahaja tetapi mesti diketahui oleh semua orang.
Ketujuh, kita juga digalakkan menjaga akhlak dalam mencari rezeki yang halal. Islam memandang ekonomi sebagai perkara serius kerana Islam menilai bahawa harta itu sendiri merupakan salah satu daripada lima keperluan asas dalam kehidupan. Lima keperluan itu adalah: Agama, Jiwa, Akal, Nasab keturunan, dan Harta. Inilah lima perkara asas yang tidak boleh dilengahkan oleh manusia. Islam merupakan risalah akhlaqiyah dan tamadun Islam merupakan tamadun akhlaqiyah. Seluruh misi dan risalah Nabi Muhammad s.a.w. mengandungi unsur akhlak. Bahkan baginda telah mendefinisikan risalahnya dalam sabdanya: “Sesungguhnya (tujuan) saya diutus hanyalah untuk menyempurnakan akhlak dan budi pekerti yang mulia.”
Allah s.w.t. mengesahkan sabda baginda tersebut dengan menurunkan ayat al-Quran yang memuji keluhuran budi pekerti baginda s.a.w. “Sesungguhnya engkau (Muhammad) memiliki budi pekerti yang agung.” (Surah al-Mulk 68:4). Islam mengajar kita bagaimana cara bermuamalah antara manusia dengan tuhan dan antara manusia dengan manusia. Islam juga mengajar kita kaedah berinteraksi antara muslim dengan orang kafir dan sikap kita kepada mereka samada dalam peperangan atau dalam keadaan damai. Jadi jagalah akhlak kita dalam mencari rezeki yang halal. Insyaallah akan mendapat rezeki yang murah daripada Allah s.w.t.
Kelapan, dalam mencari rezeki yang halal kita juga perlu benyak bersabar. Ketahuilah semua saudaraku bahawa bersikap sabar dan berpuas hati di atas rezeki yang secukup ada sememangnya dipuji oleh syarak. Orang-orang yang seperti ini, di kala kematianya tidak mempunyai sebarang harta yang boleh diwarisi oleh orang. Bahakn seumur hidupnya di dalam keadaan ala kadar, iaitu dari segi makanan, pakaian, dan tempat tinggalnya hanyalah pada pada kadar yang cukup ada sahaja. Sehinggakan tempat kediaman ia juga cuma sekadar sederhana sahaja. Iaitu tidak terlalu luas atau terlalu sempit hingga memudaratkan diri-sendiri, isteri, anak, atau orang yang di bawah tanggungannya. Maka orang yang mengutamakan kehidupan rezeki sekadar cukup ada ini, tidak pula akan menuntut untuk mendapatkan lebih daripada apa yang biasa ia terima. Andai kata apabila apa yang diperolehinya itu hanya cukup untuk satu hari sahaja pun, Ia akan terimanya dengan penuh kesabaran. Hinggakan hari-hari yang yang berlalu itu masih juga ia tinggal di dalam kesabaran yang tetap utuh tanpa merungut. Di dalam hal ini, sesetengah ulamak berpendapat bahawa rezeki yang secukupnya untuk seseorang itu adalah apa jua yang diperolehi pada kadar yang mencukupi untuk hidup dirinya sahaja. Dalil yang mana syarak memberi pujian kepada kesabaran di atas rezeki yang mencukupi itu adalah hadis yang dikeluarkan oleh Imam Abu Isa At-Termizi. Ia telah diriwayatkan daripada seorang sahabat Nabi SAW yang bernama Abi Umamah r.a. daripada Nabi SAW yang bersabda : “Sehabis-habis iri hati kekasihku dan penolong pada jalan agamaku yang hendak serupa dengan orang yang lebih daripadanya pada sisiku adalah seorang Mukmin yang ringan daripada tanggungannya dan mendapat habuan (fadhilat) daripada sembahyangnya serta memperelokkan ibadat kepada Tuhannya.” Kesimpulannya kita perlu bersabar untuk mendapatkan rezeki yang halal.
Kesembilan, untuk mencari rezeki yang halal kita perlu mengetahui rezeki yang mana dimurkai Allah atau tidak. Jika ditinjau dari segi zahirnya, harta dan pangkat dianggap satu kebaikan bagi semua orang. Namun yang sebenarnya ia adalah khilaf. Harta dan pangkat ada kalanya tidak mendatangkan kebaikan. Bertakwa kepada Allah dan mengetahui akan sebab-sebab rahmatNya adalah rezeki yang sebenarnya. Oleh yang demikian, Rasulullah SAW tidak mengibaratkan banyak harta itu adalah kaya, akan tetapi kesucian itu adalah diiktibarkan kaya yang sebenarnya. Baginda pernah bersabda dalam hadisnya yang bermaksud: Bukanlah kekayaan itu adalah kekayaan jiwa. Bukanlah nikmat Allah yang zahir yang dilimpahkan kepada manusia dengan harta yang banyak dan sebagainya menunjukkan kebaikan dan keredhaan Allah. Bukanlah dugaan Allah ke atas hambaNya satu dalil yamg menunjukkan kemurkaan Allah. Perkara ini adalah sebaliknya. Rasulullah ada menegaskan dalam sebuah hadis yang mksudnya: “Apabila kamu melihat seseorang itu dikurniakan atasnya rezeki dan masih bermaksiat kepada Allah, maka ketahuilah kamu bahawa ini sesungguhnya adalah satu pujukan atau umpan. Oleh yang demikian, janganlah kamu sangka bahawa sedikit harta itu adalah jauh daripada rezeki Allah. Berkemungkinan bahawa orang-orang yang diberi nikmat rezeki itu adalah sebagai nikmat yang negatif seperti menjauhkan daripada penyakit dan dosa-dosa sehingga dia meninggalkan dunia ini dengan penuh kesucian dan beroleh kemenangan denga syurga yang abadi. Sesungguhnya Allah telah menetapkan kuasa ketakdiranNya sebelum dijadikan langit dan bumi dalam lima puluh ribu tahun. Di sini ternyata kepada kita bahawa seorang Mukmin yang sempurna imannya tidak khuatir pada rezekinya kerana yang mengurniakannya adalah Allah S.W.T.
Kesepuluh, kita juga perlu bersyukur kepada Allah kerana bersyukur akan menambahkan rezeki. Sebahagian besar orang masa kini hanya inginkan kemewahan dan nikmat dunia sahaja tanpa bersyukur kepada Allah SWT diatas pemberianNya itu. Itulah sebabnya hidup mereka selalu menjadi tak bahagia, takut, cemas, gelisah, bingung, dan sebagainya. Mereka ini adalah orang yang tidak tahu cara untuk mensyukuri nikmat hidup ini dengan betul, maka tipislah harapan dapat menikmati hidup ini dengan benar pula. Memiliki kemampuan bersyukur beerti pula akan mengikat nikmat yang ada dan mengundang nikmat yang lebih besar yang belum ada sesuai dengan janji Allah,
“Dan ingatlah tatkala Tuhanmu memaklumkan sesungguhnya jika kami bersyukur pasti kami akan menambah nikmat kepadamu dan jika kamu mengingkari (nikmatKu) maka sesungguhnya azabKu sangat pedih” (QS.Ibrahim[14]:7)
Dengan demikian maka wajiblah bagi semua sesiapapun yang merindukan hidup bahagia menikmati dengan baik dan mesti selalu bersyukur.
Kesebelas, setiap perbuatan kita perlu kita mulakan dengan membaca al-fatihah bagi memudahkan rezeki. Ummu Salamah r.a berkata, “Rasulullah saw telah membaca Bismillahirrahmanirrahim ketika membaca Fatihah dalam solat. (Hadis da’if Riwayat Ibnu Khuzaimah). Abu Hurairah r.a ketika memberi contoh solat Nabi saw membaca keras-keras bismillahirrahmanirrahim. Imam Syafii dan al Hakim meriwayatkan dari Anas r.a. bahawa Muawiyah ketika sembahyang lagi ia membaca Bismillahirrahmanirrahim. Adapun dalam mazhab Imam Malik tidak membaca Basmalah berdasarkan hadis Aisyah r.a. yang berkata, “Biasa Rasulullah saw. Memulakan solat dengan takbir dan bacaannya dengan Alhamdulillahrabbilalamin.”(Hr. Muslim).
Anas r.a. berkata, “ Saya sembahyang di belakang Nabi saw., Abu baker, Umar, Uthman dan mereka semuanya memulai bacaannya dengan Alhamdu lillahi rabbil alamin”. (Bukhari, Muslim). Dan sunat membaca Basmalah pada setiap perkataan dan perkataan kerana sabda Nabi saw. Yang berbunyi: “Tiap urusan (perbuatan) yang tisak dimulai dengan Basmalah maka akan terputus berkatnya.” Juga sunat membaca basmalah ketika wuduk kerana sabda Nabi saw.
: “Tiada sempurna wuduk orang yang tidak membaca basmalah”. Dan sunat juga dibaca ketika menyembelih binatang, juga sunat ketika makan, kerana sabda Nabi saw. “bacalah Bismillah, dan makanlah dengan tangan kananmu, dan makanlah dari yang dekat-dekat kepadamu”.
(Hadis Riwayat Muslim)
. Juga disunatkan membaca basmalah ketika hendak melakukan jima’(bersetubuh) sebagaimana riwayat Ibn Abbas r.a. Rasulullah bersabda:
Andaikan salah satu kamu jika akan bersetubuh(jima’) dengan isterinya membaca, “dengan nama Allah, ya Allah jauhkan kami dari setan, dan jauhkan setan dari rezeki yang Tuhan berikan kepada kami. Mka jika ditakdirkan mendapat anak dari jima’ tidak mudah diganggu oleh setan untuk selamanya”.(Hadis Riwayat Bukhari, Muslim)
. Jad kita perlu sentiasa mengamalkan membaca basmalah setiap kali ingin melakukan sesuatu yang baik walaupun untuk melakukan perkara yang kecil.
Yang terakhir, Kita perlu menjauhkan diri dari hasad dan dengki kerana ia akan menjauhkan kita sari rahmat Allah SWT. Hasad dan dengki adalah seperti obor api yang sedang membakar dan menghancurkan masyarakat sedikit demi sedikit. Hasad dan dengki lahir dari perasaan cinta pada dunia dan lupa akn kebesaran Allah. Hasad dan dengki tidak kenal pertalian keluarga. Berapa banyak keluarga yang runtuh kerana sifat hasad dan dengki di antara ahli keluarga tersebut. Seorang yang mendapat bahagian yang lebih dari harta pusaka, maka mereka yang mendapat kurang dari bahagian tersebut akan timbul perasaan hasad dan dengki dalam jiwa mereka. Tidakkah mereka sedar bahawa manusia hakikatnya tidak memiliki apa-apa. Hatta jantung yang berdegup dalam dada kita bukanlah milik kita. Bolehkah kita menentukan jantung tersebut bagaimana ia hendak berdegup?Kita tidak mampu untuk menentukannya.Jika jantung yang begitu rapat dengan diri kita tidak dapat kita miliki dan kuasai, apatah lagi segala benda yang wujud di sekeliling kita.
Kesimpulannya, kita jangan ada sedikit pun hasad dan dengki di dalam hati kita kerana sesungguhnya kita akan berada jauh dari rahmat Allah dalam mencari rezeki yang halal untuk mencapai kekayaan di dunia dan di akhirat.
Kesimpulannya, kita boleh mengamalkan semua cara diatas dalam mencari rezeki yang halal untuk mencapai kekayaan. Kalau nak diterangkan semuanya memang terlalu banyak cara yang halal tetapi semua yang ada di atas hanyalah sebahagian daripadanya sahaja. Yang terakhir sekali, sesungguhnya semua yang baik itu semuanya datang dari Allah SWT. dan yang buruk itu datang dari diri kita sendiri. Semuanya terpulang pada kita untuk memilih yang baik ataupun buruk.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan