Selasa, 3 September 2013


PERSEDIAAN PERKAHWINAN VS PERSEDIAAN KEMATIAN


PERSEDIAAN PERKAHWINAN

Tidak kiralah kita sudah ada calon ataupun tidak, kita seharusnya membuat persiapan sebelum berkahwin. Maksud saya, persiapan dari pelbagai aspek termasuklah, rohani, jasmani, duit dan fikiran.

ROHANI

Jika lelaki, bagaimana kalian mahu memimpin bahtera keluarga sekiranya kalian sendiri sering meninggalkan solat? Isteri pula, bagaimana mahu mendidik anak dengan acuan agama sekiranya kalian sendiri tidak menggariskan hukum islam dalam diri kalian? Bapa dan mak borek, anak rintik. Jika mahu anak yang soleh dan solehah, maka kita perlu jadi soleh dan solehah terlebih dahulu. Mahu anak menjaga aurat, kita juga harus menjaga aurat. Mahu anak rajin solat, maka kita juga haruslah rajin solat. Selain itu, sukalah saya ingatkan di sini, doa itu juga penting. Suami yang soleh, isteri yang solehah, rumahtangga yang damai, anak yang soleh dan solehah, kebahagian hingga ke syurga Allah dan macam-macam lagi yang kita idamkan. Jangan biarkan itu hanya kekal sebagai mimpi nan indah yang boleh lenyap apabila kita sudah terjaga. Cuba untuk realisikan. Bagaimana caranya? Dengan doa… Yakinlah dengan Allah.. Doa itu senjata muslim.

FIKIRAN

Kita seharusnya menimba ilmu perkahwinan yang dibincangkan dalam landasan syariat islam. Sebelum berkahwin, kita perlu faham dengan apa itu adat dan agama. Janganlah pula adat melebihi agama. Jika budget anda besar, dan adat itu masih tidak menyalahi agama, maka masih boleh kita mengikut adat. Segala macam pertimbangan sebelum kahwin itu perlu terutamanya adat dan agama. Seterusnya, Ilmu munakahat (perkahwinan) juga sangat luas termasuklah ilmu mengurus rumah tangga, seks, pendidikan anak-anak, pengurusan kewangan, pengurusan emosi, ibadat dan macam-macam lagi. Maklumlah, semua mahukan yang terbaik. Jadi perlu ada persediaan ini. Saya juga syorkan kalian mencari ilmu mengenai permasalahan rumah tangga. Memang benar kita takut dan tidak mahu perkara itu berlaku, tetapi kita haruslah bersedia. Bila tahu punca, kita tahu solusinya..Allah pasti akan menguji rumah tangga kita. Kita tak perlu risau. Dari masalah yang timbullah kita dapat mengenali pasangan kita. Saya cadangkan kalian membaca buku Men Are From Mars And Women Are From Venus. Buku ini banyak mengupas tentang perbezaan personality lelaki dan perempuan. InsyaAllah akan mengurangkan salah faham sesama sendiri.

JASMANI

Kenapa perlunya kesihatan jasmani? Kesihatan jasmani juga amat penting. Dengan kesihatan yang baik, kita lebih bersemangat untuk menimba ilmu seterusnya menghasilkan cas-cas positif mengalir dalam darah seterusnya ke otak. Apabila kita sihat, tumpuan kita akan jadi lebih baik terutamanya bagi membentuk keluarga baru. Mencegah lebih baik dari merawat. Suka saya memberikan satu contoh di sini. Jika seorang wanita tidak suka makan sayur-sayuran, maka ferum (iron) akan kurang dalam darah.Seperti yang kita faham, wanita akan mengalami pusingan haid setiap bulan. Dari situ, banyak darah yang hilang, jadi banyak sel darah merah yang perlu digantikan. Ferum ini amat penting dalam membantu sel darah membawa oksigen. Kekurangan ferum boleh menyebabkan anemia. Anemia boleh menjejaskan kesihatanan bayi dalam kandungan.  Jika kita menjaga pemakanan sebelum berkahwin lagi, jadi masalah ini boleh dielakkan. Banyak lagi perkara lain yang boleh disentuh terutamanya merokok, pengambilan pil dan banyak lagi. Mungkin saya akan bincangkan dalam entry yang lain. InsyaAllah.

DUIT

Duit bukanlah segala-galanya, tapi segala-galanya perlukan duit. Jadi perlulah kita mula kumpul duit walaupun masih belum ada calon. Allah akan menghantar calon itu kepada kita sekiranya dua-dua pasangan itu sudah bersedia. Jika perkahwinan yang kalian inginkan adalah melaksanakan apa yang wajib dalam tuntutan agama, maka duit itu bukanlah bebanan utama. Tetapi jika kalian mahu merakamkan perkahwinan dalam majlis yang agak besar, maka duitnya juga, agak besar… ^__^ Semuanya bergantung kepada diri masing-masing.

PERSEDIAAN  KEMATIAN

Alhamdulillah, kita sudah sentuh mengenai persediaan perkahwinan. Tetapi kita harus ingat juga, tentang preparation kematian. Hal ini paling besar sekali. Kita tidak tahu sama ada sempat atau tidak kita merasai alam perkahwinan itu ataupun kita terus ke alam kematian. Alam perkahwinan adalah satu perkara yang diibaratkan biji sawi yang ada dalam alam dunia. Tetapi perkara ini akan disoal oleh Allah Azza Wa Jalla. Kematian merupakan alam yang membawa kita kepada matlamat sebenar kehidupan di dunia. Kematian memisahkan kita antara dunia dan akhirat. Kematian yang baik itu adalah tanda hidup kita juga akan berakhir dengan kebaikan di akhirat nanti. Begitu juga dengan kematian yang buruk akan membawa kita kepada pengakhiran yang buruk. Lalu bagaimana preparation kita untuk kematian?

Saat nafas terhenti, roh ditarik Malaikat Izrail, jasad terbujur kaku. Bagaimana persediaan kita? Daripada Abu Hurairah bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: “Apabila seseorang itu meninggal dunia maka terputuslah amalannya kecuali dari tiga perkara, sedekah jariah, ilmu yang dimanfaatkan dan anak yang soleh mendoakan untuknya.” Jadi, selain kita terus beribadat kepada Allahu Rabbul a’lamin, kita juga harus memastikan agar tiga perkara ini masih boleh membantu bila kita sudah meninggal dunia. Kerana inilah saham yang berterusan buat kita walaupun kita sudah tiada lagi di bumi Allah ini.

SEDEKAH JARIAH

Jika kita ada duit yang banyak, mungkin kita boleh bina sebuah masjid, sekolah atau apa-apa yang boleh digunakan masyarakat umum. Jika kurang berkemampuan, kita boleh juga sedekahkan sejadah, Al-Quran, telekung, buku-buku agama di masjid atau surau agar boleh digunakan berterusan oleh orang yang memerlukan. Jika kita ini tidak mempunyai harta, maka cukuplah dengan niat kita untuk bersedekah itu kerana Allah. Bila kita berniat sedekah, apabila kita sudah meninggal dunia, ada pula waris yang bersedekah atas nama kita, maka kita tetap akan peroleh imbalan pahala dari bahagian sedekah tersebut.

ILMU YANG DIMANFAATKAN

Ilmu yang dimanfaatkan bermaksud, ilmu yang kita sampaikan kepada orang yang memerlukan, dan kemudiannya orang itu amalkan dan disampaikan pula kepada orang lain. Sebanyak mana orang yang mengamalkan ilmu itu, maka kita akan turut peroleh imbalannya. Contohnya, kita mengajar adik kita solat, kemudian adik kita laksanakan, kemudian dia mengajar pula kepada anaknya dan begitulah seterusnya. Sedang kita berehat dikubur sendiri, saham (pahala) pula masuk tidak berhenti…Jika niat ikhlas kerana Allah, insyaAllah hidup kita tidaklah sia-sia..

DOA ANAK YANG SOLEH

Di sinilah pentingnya cara kita mendidik anak-anak. Jika anak-anak soleh dan solehah dengan didikan agama oleh ibu bapanya, pasti mereka tidak lupa mendoakan kedua ibu bapa yang tercinta walaupun sudah tiada di depan mata. Zaman kini adalah zaman yang paling mencabar bagi mendidik anak-anak. Mudah-mudahan kita bisa mendidik anak dengan cara yang penuh hikmah.. InsyaAllah.. Rasulullah teladan terbaik…

Tiada ulasan:

Catat Ulasan