Selasa, 28 Disember 2010

CERPEN .....NAK KAHWIN LAGI BOLEH...??? LELAKI CUKUP GAH KALAU NAK KAHWIN LAGI....


“Aku nak kahwin lagilah San.”

“Hah kau nak kahwin lagi? Apa yang tidak kena dengan bini kau sekarang Din?”

“Tiada apa-apa yang kurang pun ok jer, tapi aku dah berkenan sorang budak perempuan lah San.”

“Budak mana pulak?”

“Aku kenal dalam internet aku dah jumpa budaknya, terus terang aku katakan yang aku dah suka sangat dengan budak perempuan ni.”

“Fikir banyak kali Din, tak kesian dekat bini dan anak-anak kau?”

“Kenapa San, salahkah aku nak berbini lagi, aku mampu.”

“Tak salah, cuma banyak sudut kau nak kena fikirkan. Yelah, keputusan nak kahwin lagi ni bukannya keputusan kecil. Ini soal hati dan perasaan.”

“Hati dan perasaan? Hati dan perasaan siapa, bini aku?“

“Ha’ah.”

“Sepatutnya bini aku tahu, agama kita membenarkan lelaki berkahwin empat. Benda halal bukan haram dan bukannya aku buat maksiat, sepatutnya dia rasa bersyukur aku mengambil keputusan berkahwin lagi. Kalau aku buat yang tidak elok kan ke lagi haru.”

“Ye betul, aku tidak nafikan soal tu dan aku rasa bini engkau pun tahu tentang perkara ni. Memang kita orang lelaki dibolehkan mengahwini lebih daripada seorang. Tapi mampukah kau berlaku adil?”

“San, engkaukan tahu apa pekerjaan aku. Dari segi kewangan insyaAllah, aku mampu beri bini baru aku seperti mana yang telah aku berikan pada bini aku sekarang. Rumah, kereta, dan macam-macam lagi, insyaAllah tidak pula aku akan abaikan bini yang sekarang. Aku memang mampu sangat-sangat, aku tak fikir aku tidak boleh berlaku adil”

“Jangan silap Din, adil bukan dipandang dari sudut kewangan saja. Tapi dari sudut perasaannya.”

“Perasaannya? Kenapa pula, aku masih sayangkan bini aku. Bukan bermakna aku kahwin lagi aku sudah tidak sayangkan dia.”

“Baiklah, aku nak tanya engkau Din. Engkau dah beritahu hasrat kau nak berbini lagi dengan bini kau?”

“Sudah.”

“Apa reaksinya?”

“Tidak bersetuju.”

“Agak-agak engkaulah, jika kau tetap teruskan hasrat kau untuk berkahwin lagi bagaimana agaknya perasaan sayang dia terhadap engkau selepas tu?”

“Emm… entahlah.”

“Agaknyalah dia sayang lagi tak dekat engkau.”

“Entahlah san. Mungkin berkurang sayangnya pada aku sebab tindakan aku tu”

“Dan mungkin bertukar benci. Itu yang aku maksudkan tadi Din soal hati dan perasaan. Bila dia sudah mula merasa benci atau tidak suka dengan tindakan kau, adakah engkau dapat menyayangi dia seperti mana engkau berkahwin dengan dia masa mula-mula dulu?”

“Emm… yelah, nak sayang macamana kalau orang dah benci. Tapi sepatutnya dia harus faham naluri seorang lelaki.”

“Kenapa? Kerana layanannya terhadap engkau tidak seperti baru-baru kahwin dulu? Aku rasa baik engkau cuba faham dia dulu sebelum engkau nak dia faham engkau.”

“Inilah perkara yang aku nak engkau fikir dan renungkan. Sepatutnya kau memikirkan perasaan bini engkau juga, kerana bini engkau yang sekarang ini terlalu banyak pengorbanannya, pengorbanannya terhadap keluarga yang terbina atas dasar kasih sayang. Dan juga pada jasa dan budi yang selama ini dicurahkan demi membina sebuah keluarga. Dan lihatlah pada kesetiaannya yang tak pernah pudar. Dia tidak pernah berkira tentang penat lelahnya dalam menguruskan rumahtangga dan melayani engkau… Ya semuanya itu kerana kasih sayang Din. Kasih kepada engkau dan keluarga yang telah terbina. Dapat tak engkau bayangkan perasaannya setelah mengetahui engkau hendak berbini lagi? Seolah-olah pengorbanannya yang dibina atas dasar kasih sayang telah hancur dan sia-sia. Bagaimana pula suasana keluarga kau yang bakal engkau lalui selepas engkau berbini lagi. Bagaimana pandangan dan kasih sayang anak-anak engkau terhadap engkau pula nanti. Lainlah kalau engkau didik mereka dengan mendalam tentang kefahaman Islam dan cara hidup yang betul-betul ‘islamic’ mungkin mereka boleh menerima kehadiran ibu baru mereka. Aku bimbang suasana kasih sayang kekeluargaan yang telah terbina akan bertukar menjadi suram, dan ditakuti persepsi anak-anak engkau terhadap engkau akan berubah. Apakah itu yang engkau mahukan Din? Mampukah engkau menyayangi mereka dalam keadaan mereka seperti itu, atau kasih sayang mereka pudar kerana menganggap engkau seorang yang tidak bertanggungjawab kerana menyakiti hati ibunya? Ketika itu dapatkah lagi engkau berlaku adil dalam memberikan kasih sayang? Dan mungkin juga kasih sayang engkau akan beralih arah kepada bini yang barukan? Sudahnya penceraian sebagai jawapan.”

“Engkau ni San, buat aku rasa serba salah pula.”

“Bukan begitu Din, seperti yang aku katakan tadi ini soal hati dan perasaan. Jika isteri engkau dapat memahami dan menghayati hukum poligami tidak mengapa. Cuba engkau tengok sendiri, dia pun tidak bersetuju atas keinginan engkau nak berkahwin lagi. Disitu telah menunjukkan bahawa dia belum dapat menghayati dan memahami dengan sepenuhnya tentang poligami tu.”

“Aku rasa Din, baik engkau tumpukan pada kecantikan isteri engkau iaitu 'kecantikan sejati' isteri engkau selama ini.”

“Kecantikan sejati, kecantikan apa pula tu?”

“Ya kecantikan sejati, iaitu kecantikan hati mereka. Pada jasa dan budi yang selama ini dicurahkan untuk kita demi membina sebuah keluarga. Jangan tengok pada kulit wajah yang luntur tetapi pada jasa yang ditabur. Bukan pada matanya yang sudah kehilangan sinar, tetapi lihat pada kesetiaan yang tidak pernah pudar. Itulah kecantikan seorang isteri walaupun mungkin dia bukan isteri yang cantik.”

Tiada ulasan:

Catat Ulasan