Selasa, 28 Disember 2010

KEMANA PERGINYA ROH YANG MEMBUNUH DIRI...


SERAM bulu roma bila mendengar cerita dari seorang rakan. Kisahnya bermula apabila seorang wanita di kampungnya mengambil keputusan untuk membunuh diri akibat tekanan hidup. Pagi itu, setelah menyiapkan anak-anaknya untuk ke sekolah, dia akhirnya nekad untuk menggantung dirinya. Dan apabila anak-anaknya pulang ke rumah, maka dilihat oleh si anak mayat ibu mereka yang tergantung. Apa lagi kecohlah satu kampung perihal si polan bt si polan membunuh diri. Paling mengejutkan, ketika mayat tersebut diselenggarakan untuk dikebumikan, wanita terbabit disahkan hamil.

Selesai pengebumian dan bermula dari saat itu, setiap hari ada sahaja cerita tentang wanita yang membunuh diri tersebut. Ada yang kata terserempak dengan wanita berkenaan sambil menggendong bayrnya. Malah tidak kurang juga, wanita tersebut sering terpacul di hadapan rumah penduduk kampung sebaik pintu rumah dibuka bila diketuk. Paiing tidak sedap didengar, penduduk kampung menceritakan, sentiasa terdengar suara tangisan dan rintihan wanita itu di kuburnya. Kerana tidak tahan dengan gangguan-gangguan sedemikian, maka kubur wanita terbabit digali semula dan dikebumikan di kawasan yang tidak diketahui oleh pihak berkuasa. Maka berakhirlah episod seram yang menghantui penduduk kampung yang resah dengan peristiwa-peristiwa yang menyentap degup jantung.

Percaya atau tidak, penulis teringat keratan akhbar yang melaporkan tentang penafian yang dibuat oleh Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar berhubung dakwaan kononnya, anggota polis yang bertugas di Ladang Gadong, Tanjung Sepat, Banting, lokasi pembunuhan Datuk Sosilawati dan tiga lagi rakannya, diganggu makhluk halus. Khalid dalam sidang medianya menegaskan, "Mana ada hantu, saya pergi siang dan malam tak ada apa pun, semua itu hanya untuk mensensasikan cerita saja."

Dua cerita di atas, menceritakan dua keadaan. Satu, membunuh diri dan kedua, dibunuh. Apa pun bukan itu yang menjadi fokus. Sebaliknya, apa yang hendak disiarkan di dalam majalah ini ialah persoalan ke mana roh selepas kematian. Hal ini tercetus ekoran terdapat pelbagai andaian yang dibuat yang mengatakan, roh terawang-awang selagi mana mayatnya tidak disempurnakan secara betul. Betulkah?

Menjawab persoalan ini, pensyarah di Jabatan Usuluddin dan Falsafah, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia, Dr. Abdul Rahman Mahmood menjelaskan, hakikat roh termasuk di dalam perkara-perkara ghaib dan pegeetahuan mengenainya terlalu sedikit/ Bagaimanapun, kepercayaan mengenai kewujudannya bersandarkan keimanan seseorang kepada Allah. Ini jelas sebagaimana firman Allah yang bermaksud, "Dan mereka bertanya kepadamu (Muhammad) tentang roh. Katakanlah, roh itu urusan Tuhanku (Allah) dan tidaklah kamu diberi pengetahuan melainkan sedikit."

Pun begitu jelas Dr. Abdul Rahman, terdapat empat peringkat pergantungan roh dengan jasad. Peringkat pertama dikenali sebagai alam arham atau alam rahim ibu. Manakala peringkat kedua ialah alam dunia. Seterusnya, alam barzakh dan terakhir ialah alam akhirat.

Kemana roh selepas mati?

Menjawab persoalan ini, Dr. Abdul Rahman menjelaskan, hal ini diterangkan sebagaimana yang difirmankan Allah di dalam surah as-Sajadah ayat 11 yang bermaksud, "Katakanlah, kamu akan dimatikan oleh malaikat maut, yang diwakilkan kepadanya, kemudian kamu dikembalikan kepada Tuhanmu." Manakala surah Al-Fajr ayat 30 cukup jelas menerangkan tatkala roh berpisah dari jasad

"Wahai jiwa yang tenang! kembalilah kepada Tuhanmu dalam keadaan redha dan diredhai. Maka masuklah ke dalam golongan hamba-hambaKu. Dan masuklah ke dalam syurgaKu."

Ujar Dr. Abdul Rahman, terdapat dua situasi tatkala roh dipisahkan dari jasad sebagaimana yang diceritakan oleh Nabi Muhammad s.a.w. Menurut baginda, tatkala malaikat maut mengambil nyawa manusia yang beriman, diambilnya dari tangannya roh tersebut dan diletakkan di atas kain sutera putih, maka akan diciumi bauan yang wangi seperti bauan kasturi. Atau situasi kedua ialah diciumi bauan yang paling busuk seperti bauan bangkai dan didatangi oleh malaikat berserta kain guni yang kasar. Roh yang terpisah dari jasad lalu naik ke langit dan dirahmati oleh setiap malaikat yang berada di antara langit dan bumi. Dan dibukakan pintu langit kepadanya. Roh terbabit akan terus naik dari satu tingkat langit ke satu langit yang lain sehinggalah sampai ke langit di mana Allah berada. Lalu diperintahkan Allah untuk dituliskan namanya di Ar-Rafiq Al-A'laa di kemuncak syurga Illiyin.

Manakala bagi roh orang yang melakukan maksiat, maka ia akan dibawa ke pintu langit. Bagaimanapun roh tersebut tidak diizinkan untuk memasukinya lalu dicampak ke diwan Sijjin (neraka). Hal ini jelas sebagaimana firman Allah di dalam surah al-A'raf ayat 40 yang bermaksud, "Tidak akan dibukakan bagi mereka pintu-pintu langit itu, dan tidak dibenarkan mereka memasuki syurga, sehinggalah unta dapat memasuki lubang jarum." Allah berfirman lagi di dalam surah al-Hajj ayat 31 yang bermaksud, "Barang siapa yang mempersekutukan Allah maka seolah-olah dia jatuh dari langit, lalu disambar oleh burung ataupun dia akan menjunam dibawa angin ke tempat yang paling jauh."

Apa pun kedua-dua keadaan roh tersebut akan dikembalikan ke tempat perbaringannya (di dalam kubur) setelah diberitahu tempat yang selayak baginya berdasarkan amalan-amalan yang telah dilakukan sepanjang hidup di muka bumi.

Hal ini jelas sebagaimana janji Allah (surah Taha ayat 55) untuk mengembalikan asal kejadian manusia itu dari tanah. Dan di situlah akan bermulanya persoalan daripada malaikat Munkar dan Nakir. Berkaitan persoalan roh dikembalikan kepada jasad untuk tujuan disoaljawab, Ibnul Qayyim dalam kitabnya Ar-Ruh menjelaskan, perkembalian ini tiada sangkut pautnya dengan jasadnya dahulu sebagaimana di dunia kerana sifatnya berlainan dan tidak sama. Sebaliknya perkembalian ini adalah khusus bertujuan melalui persoalan Munkar dan Nakir.

Bagaimana kedudukan roh orang yang bunuh diri?

Menurut Dr. Abdul Rahman, tiada pendapat yang jelas mengenainya. Bagaimanapun ujarnya, terdapat dua keadaan bagi menentukan keadaan orang yang membunuh diri tersebut. Katanya, jika yang membunuh diri itu mengakui bahawa perbuatan itu tidak dihalalkan oleh Allah tetapi dia masih melakukannya, maka dia termasuk di dalam golongan roh orang yang melakukan maksiat dan berdosa besar. Ini kerana menurut Dr. Abdul Rahman, jiwa raga seseorang manusia itu adalah hak milik Allah. Justeru hanya Allah yang layak menentukan ajal seseorang.

Sebaliknya jika orang yang membunuh diri itu mengakui bahawa perbuatan bunuh diri itu adalah perbuatan yang dihalalkan, maka dia samalah kedudukannya dengan orang yang tidak beriman kepada Allah atau menafikan kewujudan Allah. Maka dia akan tergolong di kalangan roh orang kafir. Dalam hal ini, ujar Dr. Abdul Rahman, mayat orang yang membunuh diri tersebut, tidak perlu dimandikan, tidak perlu disembahyangkan dan tidak boleh ditanamkan di perkuburan orang Islam.

Kebiasaannya, masyarakat tidak tahu apa yang terlintas di hati seseorang ketika keputusan membunuh diri itu diambil. Maka dalam hal ini, semua mayat yang membunuh diri yang berstatuskan Islam di kad pengenalannya, akan diselenggarakan mengikut cara Islam.

Benarkah roh orang bunuh diri tidak diterima bumi dan terawang-awang?

Menjawab persoalan ini, Dr. Abdul Rahman menjelaskan, tiada nas yang sahih membincangkannya. Sebaliknya ia berbalik berdasarkan pada amalan seseorang. Soal roh tidak diterima bumi atau terawang-awang sehingga hari kiamat, tiada penjelasan mengenainya. Sebaliknya, apa yang pasti, seorang Muslim yang melakukan maksiat, mereka akan diletakkan di golongan yang paling bawah dan terdedah pada seksaan kubur. Dengan kata lain, roh golongan tersebut akan berada di kalangan orang yang terseksa melainkan jika mereka mendapat keampunan Allah.

"Kita harus berpegang kepada nas yang jelas. Sekiranya sesuatu perkara itu tidak jelas, maka lebih baik ditinggalkan sahaja daripada terus membincangkannya," katanya.

3 ulasan:

  1. Ulasan ini telah dialihkan keluar oleh pengarang.

    BalasPadam
  2. Orang Yang mati bunuh diri adakah rohnya Akan balas demdan?

    BalasPadam
    Balasan
    1. Dlm islam ada kata roh dijaga disuatu tempat oleh allah hingga hari kiamat,klau ada jin yg rasuk mnusia dn mnyatakan dia bnuh diri smasa dia hdup dulu tu smua pmbohongan,sbb syaitan ada di tmpt kejadian sbb tu jin boleh mnyamar orang yg dh mati konon mmbalas dendam lah,mati kubur xda la mcm2 jin syaitan ni menipu untuk melemahkan aqidah kita,so bnda halus yg merasuk tu smuanya jin bkn roh

      Padam