█▓┼┼┼┼┼┼┼┼┼┼┼┼┼┼┼┼┼┼┼┼┼┼┼┼┼┼▓█ █▓┼┼┼┼┼┼┼▄██▄┼┼┼▄██▄┼┼┼┼┼┼┼┼▓█ █▓┼┼┼┼┼┼██████┼██████┼┼┼┼┼┼┼▓█ █▓┼┼┼┼┼┼█████████████┼┼┼┼┼┼┼▓█ █▓┼┼┼┼┼┼█████████████┼┼┼┼┼┼┼▓█ █▓┼┼┼┼┼┼┼┼█████████┼┼┼┼┼┼┼┼┼▓█ █▓┼┼┼┼┼┼┼┼┼┼█████┼┼┼┼┼┼┼┼┼┼┼▓█ █▓┼┼┼┼┼┼┼┼┼┼┼███┼┼┼┼┼┼┼┼┼┼┼┼▓█ █▓┼┼┼┼┼┼┼┼┼┼┼┼█┼┼┼┼┼┼┼┼┼┼┼┼┼▓█ Cinta Dan Kasih Sayang MOHD SYAIFUL AZLAN dan Buat Semua ❤●•٠·
Isnin, 27 Disember 2010
MILIKKI LAH SIFAT MALU...
Zaman mutaakhir telah menampakkan kita akan banyak kepincangan perilaku, merosotnya akhlaq dan tersebarnya kemaksiatan. Sebahagian manusia telah hilang rasa malunya kepada orang lain. Disebabkan hilangnya perasaan malu, pelbagai tingkah laku tidak senonoh telah ditonjolkan ke tengah-tengah masyarakat.
Malu adalah sebahagian daripada iman. Sifat malu sangat penting untuk dimiliki oleh setiap muslim. Malah Nabi sallAllahu ‘alaihi wasallam sendiri merupakan insan yang sangat pemalu. Diriwayatkan oleh Bukhari bahawa Nabi sallAllahu ‘alaihi wasallam lebih malu sifatnya dari seorang gadis yang di dalam pingitannya.
Pentingnya memiliki sifat malu. Kerana dengan perasaan malu yang terdapat pada diri, seseorang muslim akan mencegah dirinya dari membuat perkara yang dilarang. Dia akan malu untuk melakukan perkara tidak senonoh dan bermaksiat. Dia akan malu untuk pergi ke tempat yang tidak sepatutnya. Dia akan malu untuk cuba-cuba sesuatu yang mungkar. Dia akan malu menzahirkan perilaku buruknya. Kerana malu telah menjadi perisai dirinya.
Dari Abu Mas’ud Uqbah bin Amr Al-Anshari Al-Badri rodhiyallohu ‘anhu Dia berkata: Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam pernah bersabda:
“Sesungguhnya sebahagian ajaran yang masih dikenal umat manusia dari perkataan para nabi terdahulu adalah: ‘Bila kamu tidak malu, berbuatlah sesukamu.”
(HR Bukhari)
Ajaran para nabi sejak dulu hingga nabi terakhir, Nabi Muhammad sallAllahu ‘alaihi wasallam ada sebahagiannya telah luput. Namun, malu adalah antara ajaran yang tidak luput hingga sekarang. Ini menunjukkan bahawa malu mempunyai nilai yang tinggi di dalam agama.
“Bila kamu tidak malu, berbuatlah sesukamu” bukanlah kata-kata galakan untuk manusia berbuat sesuka hati. Tetapi ia bermaksud ancaman buat manusia yang tidak mempunyai perasaan malu untuk berbuat kerosakan dan kemaksiatan. Maksud ayat tersebut juga adalah ingin memberitahu bahawa malu adalah perisai kepada diri seseorang. Tanpa malu, seseorang akan terdedah untuk melakukan kemaksiatan.
Pernah diriwayatkan bahawa terdapat seorang Ansar yang memberikan nasihat kepada sahabatnya tentang malu. Beliau menyalahkan sahabatnya yang selalu malu dalam banyak hal. Kebetulan ketika itu Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam sedang lalu dan terdengar perbualan mereka berdua. Baginda sallAllahu ‘alaihi wasallam telah memberi pesan kepada orang yang memberi pesan kepada sahabatnya, dengan berkata: “Biarkanlah dia, kerana malu itu sebahagian daripada iman.”
Malah Nabi sallAllahu ‘alaihi wasallam pernah bersabda tentang malu yang mafhumnya:
Hadis riwayat Abu Hurairah ra., ia berkata: Rasulullah saw. bersabda: “Iman itu ada tujuh puluh cabang lebih. Dan malu adalah salah satu cabang iman.”
(Shahih Muslim No.50)
Hadis riwayat Imran bin Husaini ra., ia berkata: Nabi saw. pernah bersabda: “Malu itu tidak datang kecuali dengan membawa kebaikan.”
(Shahih Muslim No.53)
Muslimin-muslimat sekalian,
Antara faktor kepincangan nilai di dalam masyarakat adalah hilangnya rasa malu dari dalam diri. Anak akan mula mengangkat suara dan kurang ajar terhadap ibubapa akibat lunturnya malu. Pelajar mula tidak hormat kepada gurunya apabila sudah hilang malu. Lelaki mula melangkah ke tempat maksiat akibat dia membuang perasaan malu. Perempuan mula tidak sopan di khalayak ramai kerana pudarnya malu. Si gadis mula mempamerkan diri di khalayak ramai apabila kendurnya malu. Pasangan bercinta mula berjumpa dan bercanda kerana mereka sudah tidak malu. Orang ramai mula meminta-minta jawatan apabila cairnya malu. Pengguna jalan raya mula melanggar peraturan jalan raya dan bersikap tidak beradab apabila kurang rasa malu. Masyarakat mula dihinggapi perasaan ingin popular seperti artis dan menyanyi melalak terlolong akibat tidak malu. Pemimpin mula menganggap jawatan dan amanah sebagai batu loncatan mengaut keuntungan apabila pudarnya malu. Pemerintah mula melakukan kezaliman, juga akibat dari hilangnya rasa malu. Dan macam-macam lagi.
Pendek kata, apabila rasa malu mula sedikit demi sedikit hilang dari seseorang, maka terbukalah pintu kemaksiatan dan fitnah bakal bermaharajalela. Sebab itu sifat malu penting untuk seseorang jaga dan pelihara. Jangan terpengaruh dengan sistem pendidikan barat yang mengajar anak-anak mereka agar tidak malu. “Just Do It” antara kata-kata popular di kalangan remaja dan masyarakat. Walaupun ada kebaikannya kepada diri dan masyarakat akan kata-kata itu, namun ia perlu diperhalusi. Agar kaum muslimin tidak lari dari nilai agama yang diajar Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam.
Walaupun kita ummat ISLAM disuruh untuk memiliki sifat malu, namun dalam bab menuntut ilmu dan menyatakan yang haq kita seharusnya tidak terlalu dikongkong malu. Malah, wanita-wanita ketika zaman Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam tidak menghalangi diri mereka dari bertanya dan mendalami ilmu pengetahuan. Mereka tidak malu dalam menuntut ilmu. Sifat ini wajar kita contohi.
Malah dalam pepatah Melayu juga ada mengatakan bahawa “Malu bertanya sesat jalan”. Ini menunjukkan bahawa dalam mengeluarkan diri dari kejahilan dan kekaburan, jangan kita malu untuk bertanya dan menimba ilmu. Selain itu, rasa malu untuk melakukan kebaikan juga tidak patut ada di dalam diri manusia. Kerana ALLAH subhanahu wata’ala menyuruh hamba-hambaNYA agar berlumba-lumba membuat kebaikan.
Letaklah rasa malu di tempat yang sepatutnya. Malulah dalam kebanyakan hal, namun dalam bab ilmu, menyatakan kebenaran dan mengejar ganjaran untuk berbuat kebaikan jangan pula malu menghalangi diri kita. Namun, sifat malu tidak boleh juga dibuang apabila membuat ketiga-tiga perkara kebaikan tersebut. Ini kerana malu akan menjadi sempadan diri agar tidak melampaui batas, walaupun dalam hal membuat kebaikan.
Menurut Sirah, Saidina Ali Karramallahuwajhah tidak pernah melihat auratnya sendiri, apatah lagi melihat aurat manusia lain. Diriwayatkan dalam sebuah kisah ketika peperangan Uhud, sebagaimana tradisi peperangan dahulu mereka akan berlawan secara berdepan. Biasanya akan dimulai dengan perlawanan satu lawan satu di antara panglima kedua-dua belah pihak.
Maka dalam peperangan Uhud itu, pihak musuh telah menghantar wakilnya Talhah bin Uthman sebagai panglima yang akan mara kehadapan. Mankala pihak Islam pula diwakili oleh Sadina Ali KWH. Di awal perlawanan panglima kafir Quraisy telah mencabar tentera Islam.
“Wahai pengikut-pengikut Muhammad, kamu mendakwa bahawa pedang kamu akan membawa kami semua ke neraka, manakala pedang kami akan membawa kamu ke syurga. Adakah ada dari kalangan kamu yang mahu mencabar aku sehingga pedangku ini akan membawanya ke syurga atau pedangnya yang akan membawa aku ke neraka?!” Laung panglima itu.
Tanpa berlengah Saidina Ali KWH dengan berani menyahut cabaran itu.
“Demi Allah, aku tidak akan melepaskan kau sehinggalah pedangku ini menghantarmu ke neraka atau pedangmu menghantarku ke syurga!” Balas Saidina Ali KWH dengan lantang.
Sejurus kemudian, maka berlakulah pertempuran sengit di antara kedua panglima gagah yang mewakili kedua belah pihak. Jika mahu menilai dari segi usia, Saidina Ali KWH ketika itu masih muda berbanding panglima si Kafir. Namun, berkat kesungguhan dan semangat beliau untuk membela agama tercinta, dia akhirnya berjaya menumpaskan Talhah bin Uthman dengan memancung kakinya.
Serentak itu, Rasulullah SAW serta para sahabat bertakbir apabila melihat Talhah bin Uthman tersungkur ke bumi bersama keangkuhannya.
Akan tetapi, Saidina Ali KWH tidak jadi membunah panglima Quraisy yang menyembah bumi itu. Beliau lantas bertemu Rasulullah SAW. Maka berlakulah dialog antara baginda Rasulullah SAW dan Saidina Ali KHW.
“Kenapa engkau tidak membunuhnya wahai Ali?” Tanya Rasulullah SAW.
“Ya Rasulullah SAW, sewaktu aku ingin membunuhnya, aku ternampak auratnya terbuka. Lantas aku berpaling darinya dan aku malu untuk mendatanginya buat kali kedua.” Jawab Saidina Ali KHW merungkai persoalan.
Terpaku sejenak saya membaca kisah itu. Diam membisu.
Betapa hebatnya tarbiyyah yang Rasulullah SAW ajarkan kepada para sahabat dalam melahirkan generasi yang mempunyai akhlak yang mulia sehinggakan ketika bertempur di medan perang juga masih faham harga diri dan erti apa itu rasa malu. Mereka itu lebih berani dari kita dan lebih malu dari kita bagai langit dengan bumi jaraknya!
Turut tercatat dalam kanvas sirah, ketika mana musuh mahu menyelamatkan diri daripada dilibas mudah oleh Saidina Ali KHW, mereka akan menyelak aurat masing-masing agar tidak jadi dibunuh. Begitu juga kisah mengenai Amru bin Al-‘As r.a membuka auratnya semasa berlaku peperangan Siffin untuk mengelak dirinya daripada dibunuh oleh Saidina Ali KHW.
Ibnu Ishak menceritakan bahawa ketika mana Saidina Ali KHW memandikan jenazah baginda Rasulullah SAW, dia meletakkan jenazah baginda di atas ribaanya tanpa menanggalkan pakaian Rasulullah SAW. Kemudian Saidina Ali KWH mengosok tubuh badan jenazah Rasulullah SAW melalui bahagian luar pakaian tanpa menyentuhnya dengan menggunakan tangan. Saidina Ali KHW juga dibantu oleh Al-Abbas r.a, Al-Fadhal r.a dan Qasam r.a untuk mengangkat jenazah baginda SAW. Manakalah Usamah bin Zaid r.a dan Syaqran r.a ditugaskan untuk menjirus air.
Sifat Malu Sudah Terhakis
Mari kita terbalikkan kisah di atas dengan realiti semasa. Maksud saya begini, jika Saidina Ali KHW sangat malu melihat aurat manusia, umat Islam kini pula tidaklah sangat malu untuk mendedahkan aurat merata-rata.
“Eh, tolong sikit ye.. sapa cakap saya tak tutup aurat ni?” Marah seorang gadis bila ditegur tidak menutup aurat.
“Tutup aurat itu hanya dengan sehelai tudung sahajakah? Badan kamu itu bukan aurat ya?” Balas pula rakannya spontan.
Cuba kita renung sejenak di atas kerusi masing-masing. Hadirkan rasa insaf dan sedih dalam merenungi penulisan ini. Bagaimana kini kita begitu mudah tanpa rasa bersalah walau secubit pun melondehkan seluar baju semata-mata ingin mendedahkan khazanah tubuh badan?
Tepuklah minda yang tepu itu. Apakah kita mahu menjadi insan yang rendah maruah diri? Yang rela tubuh dibakar api Jahannam? Jangankan api neraka, api mancis juga sudah menggelupur kesakitan. Nauzubillahhi minzalik.
Di sana sini gadis-gadis seronok membogelkan diri. Mereka merasa megah untuk menayangkan tubuh badan sambil melenggokkan pinggul umpama itik pulang petang. Bahkan ramai menyangka sudah menutup aurat dengan sehelai tudung nipis lagi jarang.
Apakah lengan dan bahu wanita itu bukan aurat untuk ditutupi dengan kain?Apakah pakaian ketat dan nipis itu sangat dianjurkan oleh agama?
“Alaa, rilexlah Broo… kubur masing-masingkan..” Beralasan mudah mahu lari daripada dipersalah.
“Kamu lompatlah sendiri masuk dalam kubur tu kalau dah mati nanti ya..” Jawab saya mudah.
Bukan sahaja golongan hawa, malah golongan lelaki juga tidak terlepas dari dihujum sama. Lihat saja setiap kali tiupan wisel permainan bola sepak dibunyikan. Berduyun-duyun lelaki dengan bangganya mempamerkan betis dan peha masing-masing. Sudah menjadi trend berseluar pendek. Mungkin kerana masih mengharapkan supaya Allah SWT menurunkan bala kepanasan global tahap maksimum agaknya.
Bila hilang rasa MALU, apa sahaja kemaksiatan ‘boleh’ dilakukan tanpa perlu berselindung lagi.
Jauh lagi kita rupanya dengan sifat MALU yang dipraktikkan oleh Rasulullah SAW
Mudah-mudahan ALLAH subhanahu wata’ala memberikan hidayah dan taufiqNYA kepada kita semua, amin.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan