THOUSANDS OF FREE BLOGGER TEMPLATES

Isnin, 13 Disember 2010

MEKAH AL MUKARRAMAH


Makkah (ataupun Mekah dengan nama penuhnya Makkah al-Mukarramah; Arab: مكة المكرمة) terletak lebih kurang 73km daripada timur Jeddah, ibu kota Arab Saudi. Makkah merupakan tempat lahirnya Islam dan Nabi Muhammad s.a.w. dan juga tempat baginda menerima wahyu daripada Allah s.w.t.

Makkah ialah kota paling suci bagi umat Islam. Lima kali sehari, lebih kurang 1.5 bilion muslim tak kira di mana mereka berada, pasti akan menghadap Kota Makkah untuk bersembahyang. Sekurang-kurangnya sekali dalam seumur hidup seseorang Muslim akan mengerjakan haji pada bulan Zulhijjah setiap tahun.

Di sini juga terletaknya Al Masjid Al Haram yang mana terdapatnya Kaabah.

SEJARAH

Sejarah Makkah bermula apabila Nabi Ibrahim a.s. menerima perintah daripada Allah s.w.t. supaya meninggalkan anaknya Nabi Ismail a.s. dan isterinya Siti Hajar di sebuah gurun yang kering kontang. Selepas Nabi Ibrahim a.s. meninggalkan isteri dan anaknya itu di sebuah gurun beliau kembali ke tempat asalnya.

Apabila air yang dibawa oleh Siti Hajar habis, Nabi Ismail a.s. yang ketika itu masih lagi seorang bayi mula menangis meminta susu. Siti Hajar yang mula gelisah mula mencari air di antara Bukit Safa, daripada Jabal Qubais hinggalah ke Bukit Marwa. Dalam suasana yang kelam kabut itu Nabi Ismail a.s. yang sedang menangis, menghentakkan kakinya di atas tanah. Dengan izin Allah s.w.t., air keluar daripada tanah yang dihentak Nabi Ismail a.s. tadi. Sebuah telaga dibina kemudian dan dikenali sebagai Telaga Zamzam. Akibat daripada peristiwa tadi maka selamatlah Siti Hajar dan anaknya.

Dengan kemunculan Telaga Zamzam itu, pedagang-pedagang dan kabilah-kabilah perdagangan mula muncul. Mereka mula tinggal di situ dan membuka penempatan baru. Dengan itu terlahirlah Kota Makkah. Nabi Ibrahim a.s. melawat tempat di mana dia meninggalkan anak dan isterinya tadi. Nabi Ibrahim a.s. dan Nabi Ismail a.s. kemudiannya membina Kaabah.

Pada tahun kelahiran Nabi Muhammad s.a.w., Makkah hendak diserang oleh tentera Abrahah yang cemburu dengan kemajuan Makkah sebagai pusat keagamaan Semenanjung Arab. Mujur dengan kuasa Allah s.w.t., tentera Abrahah ditewaskan. Tahun kejadian itu digelar Tahun Gajah.

Makkah juga merupakan tanah kelahiran Nabi Muhammad s.a.w.. Nabi Muhammad s.a.w. hidup di kalangan masyarakat yang menyembah berhala tetapi Nabi Muhammad s.a.w. tetap tidak lupa akan ajaran Nabi Ibrahim a.s.
Lokasi Makkah, Madinah dan bandar-bandar lain di Arab Saudi.

Satu hari sewaktu Rasulullah s.a.w. (berumur 40 tahun) sedang berada di dalam sebuah gua yang bernama Gua Hira, baginda didatangi oleh Malaikat Jibril yang menyampaikan wahyu daripada Allah s.w.t. Wahyu itu memerintahkan supaya Nabi Muhammad s.a.w. menyampaikan ajaran Islam kepada seluruh penduduk Makkah. Nabi Muhammad s.a.w. menyampaikan ajaran Islam kepada penduduk Makkah tetapi kebanyakkan mereka menentangnya. Rasulullah s.a.w. kemudiannya berhijrah ke Madinah pada tahun 622 masihi.

Ajaran Islam kemudiannya berkembang ke seluruh Semenanjung Arab. Nabi Muhammad s.a.w. kemudiannya kembali ke Makkah pada tahun 628 masihi bersama-sama ribuan pengikut baginda. Mereka memasuki Makkah tanpa mengalirkan darah. Penduduk Makkah akhirnya menganuti ajaran Islam dan ini menjadikan Makkah pusat perkembangan Islam.

DERMOGRAFI

Makkah terletak di ketinggian 277 meter (910 kaki.) daripada paras laut. Bandar raya ini terletak di antara gunung-ganang, yang telah ditakrifkan pengembangan kontemporari bandar raya ini. Bandar raya ini berpusat di sekitar Masjid al-Haram (tempat paling suci). Sekitar kawasan masjid mengandungi bandar lama. Jalan-jalan utama adalah Al-Mudda'ah dan Sūq al Layl ke utara masjid, dan As-Sūg as Saghīr ke selatan. Rumah-rumah berdekatan dengan kawasan masjid telah dimusnahkan dan digantikan dengan tempat-tempat terbuka dan jalan-jalan yang diperluaskan. Kompleks kediaman adalah lebih padat dalam kawasan bandar lama daripada di kawasan perumahan. Rumah-rumah tradisional dibina menggunakan batu-batu tempatan dan setinggi dua hingga tiga tingkat. kota ini mempunyai beberapa kawasan sesak di mana jemaah-jemaah miskin yang tidak dapat membiayai bayaran perjalanan pulang selepas menunaikan fardhu haji, tinggal.

Orang bukan Islam adalah dilarang daripada memasuki Makkah. Sekatan jalanraya diadakan pada setiap pintu masuk Kota Makkah. Hal ini bagi memelihara kesucian Kota Makkah.

0 ulasan: