Khamis, 16 Disember 2010

SUDAHKAH ANDA BERSEDIA DIPANGGIL ILAHI....


Bersihkanlah dirimu sebelum kamu dimandikan!
Berwudhu'lah kamu sebelum kamu diwudhu'kan!
Bersolatlah kamu sebelum kamu disolatkan!



Tutuplah rambutmu sebelum rambutmu ditutupkan!
Dengan kain kafan yang serba putih!
Pada waktu itu tidak guna lagi bersedih
Walaupun orang yang hadir itu merintih

Selepas itu kamu akan diletak di atas lantai
Lalu dilaksanakanlah solat Jenazah
Dengan empat kali takbir dan satu salam
Berserta Fatihah, Selawat dan doa
Sebagai memenuhi tuntutan Fardhu Kifayah

Tapi apakah empat kali takbir itu dapat menebus
Segala dosa meninggalkan solat sepanjang hidup?
Apakah solat Jenazah yang tanpa rukuk dan sujud
Dapat membayar hutang rukuk dan sujudmu yang telah luput?

Sungguh tertipulah dirimu jika beranggapan demikian
Justeru wahai sekelian Muslimin dan Muslimat
Usunglah dirimu ke tikar Solat
Sebelum kamu diusung ke liang lahad
Menjadi makanan cacing dan mamahan ulat!

Iringilah dirimu ke masjid
Sebelum kamu diiringi ke Pusara!
Tangisilah dosa-dosamu di dunia
Kerana tangisan tidak berguna lagi di alam baqa'!

Sucikanlah dirimu sebelum kamu disucikan!
Sedarlah kamu sebelum kamu disedarkan
Dengan panggilan 'Izrail yang menakutkan!
Berimanlah kamu sebelum kamu ditalkinkan!
Kerana ianya berguna untuk yang tinggal
Bukan yang pergi!

~Beristighfarlah kamu sebelum kamu diistighfarkan!
Namun ketika itu istighfar tidak menyelamatkan!
Ingatlah di mana saja kamu berada
Kamu tetap memijak bumi Tuhan!
Dan dibumbungi dengan langit Tuhan!
Serta menikmati rezeki Tuhan!

Justeru bila Dia menyeru
Sambutlah seruan-Nya
Sebelum Dia memanggilmu
buat kali yang terakhirnya!

Ingatlah kamu dahulu hanya
setitis air yang tidak bererti!
Lalu menjadi segumpal darah!
Lalu menjadi seketul daging!
Lalu daging itu membaluti tulang!
Lalu jadilah kamu insan yang mempunyai erti

Ingatlah asal usulmu yang tidak bernilai itu
Yang kalau jatuh ke tanah ayam tak patuk itik tak sudu!
Tapi Allah mengangkatmu ke suatu mercu
Yang lebih agung dari malaikat!

Lahirmu bukan untuk dunia....
Tapi gunakanlah ia buat melayar bahtera akhirat!
Sambutlah seruan 'Hayya 'alas Solaah'
Dengan penuh rela dan bersedia!
Sambutlah seruan 'Hayya 'alal Falaah'
Jalan kemenangan akhirat dan dunia!

Ingatlah yang kekal ialah amal
Menjadi bekal sepanjang jalan!
Menjadi teman di perjalanan
Guna kembali ke pangkuan Tuhan!
Pada hari itu tiada berguna
Harta, tahta dan putera
Isteri, kad kredit dan kereta
Kondominium, saham dan niaga
Kalau dahi tak mencecah sejadah di dunia!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan