█▓┼┼┼┼┼┼┼┼┼┼┼┼┼┼┼┼┼┼┼┼┼┼┼┼┼┼▓█ █▓┼┼┼┼┼┼┼▄██▄┼┼┼▄██▄┼┼┼┼┼┼┼┼▓█ █▓┼┼┼┼┼┼██████┼██████┼┼┼┼┼┼┼▓█ █▓┼┼┼┼┼┼█████████████┼┼┼┼┼┼┼▓█ █▓┼┼┼┼┼┼█████████████┼┼┼┼┼┼┼▓█ █▓┼┼┼┼┼┼┼┼█████████┼┼┼┼┼┼┼┼┼▓█ █▓┼┼┼┼┼┼┼┼┼┼█████┼┼┼┼┼┼┼┼┼┼┼▓█ █▓┼┼┼┼┼┼┼┼┼┼┼███┼┼┼┼┼┼┼┼┼┼┼┼▓█ █▓┼┼┼┼┼┼┼┼┼┼┼┼█┼┼┼┼┼┼┼┼┼┼┼┼┼▓█ Cinta Dan Kasih Sayang MOHD SYAIFUL AZLAN dan Buat Semua ❤●•٠·
Khamis, 16 Disember 2010
KESABARAN DAKWAH RASULULLAH SAW...
Kesabaran Rasulullah sebar risalah suci perlu dicontohi sepanjang zaman
DAKWAH kepada Islam adalah antara kewajipan yang dituntut kepada ummah dalam usaha menegakkan kalimah Allah di muka bumi. Kewajipan berdakwah adalah seruan kepada melakukan kebaikan dan mencegah kemungkaran. Firman Allah yang bermaksud: "Serulah ke jalan Tuhanmu dengan hikmah dan memberi peringatan yang baik dan berhujahlah dengan mereka melalui kata-kata yang baik." (Surah al-Nahl, ayat 125)
Kewajipan berdakwah satu kewajipan yang besar lagi getir serta menjadi tonggak utama kepada agama, menjadi tiang atau paksi menegakkan binaan Islam, menyempurnakan segala peraturannya serta mengangkat martabat Islam hingga ke puncaknya.
Oleh itu, Allah memerintahkan umat Islam menyampaikan mesej Islam dengan penuh berhikmah. Hikmah adalah pendekatan terbaik dalam menyampaikan ajaran Islam di samping mempunyai kaitan dengan kesenian berdakwah.
Sheikh al-Sabuni ketika menafsirkan ayat itu, menjelaskan pengertian berdakwah dengan hikmah bermaksud menyeru dan mengajak manusia kepada agama Allah dan syariat-Nya yang suci secara bijaksana, berlemah-lembut dan beradab, sehingga dapat memberi kesan seterusnya diterima dengan sukarela. Ulama dakwah mengklasifikasikan hikmah kepada beberapa jenis, iaitu hikmah mengenal status manusia, memilih masa sesuai, mencari titik pertemuan sebagai tempat bermula untuk maju secara sistematik.
Pendakwah terbabit dalam medan dakwah sudah pasti akan berdepan pelbagai ragam serta perangai manusia seperti mereka yang kuat berpegang dengan tradisi, mereka yang bersifat konservatif, kumpulan jahil dan bodoh dan yang masih ragu kerana salah faham.
Dalam konteks ini, pendakwah hendaklah berdepan sasaran masing-masing melalui cara yang sesuai dengan tahap keilmuan dan kecerdasan di samping mengambil kira aspek pemikiran, perasaan serta sahsiah peribadi mereka.
Pendakwah yang berjaya mampu menyampaikan mesej dakwah dan buah fikirannya kepada sekalian manusia sekalipun berbeza daripada segi pemikirannya, sahsiah peribadinya dan darjat serta dapat menarik seterusnya mengubah pemikiran mereka.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Kami diperintah supaya berbicara dengan manusia menurut kadar akal (kecerdasan mereka masing-masing)." (Hadis riwayat Muslim)
Pendakwah juga mesti bijak memilih waktu dan suasana sesuai seperti bilakah masanya dia perlu diam, bilakah pula waktunya dia mesti berbicara dan begitulah seterusnya sehingga dia dapat memperoleh hasil yang baik daripada strateginya itu.
Jika ditinjau dalam sirah Rasulullah SAW pada permulaan Islam, Baginda menerima perintah Ilahi seperti firman Allah bermaksud: "Berilah peringatan kepada keluargamu yang terdekat." (Surah al-Syu'ara', ayat 214) Bertolak daripada itu, Rasulullah SAW memulakan misi dakwah secara rahsia terutama pada tiga tahun pertama melalui hubungan individu.
Baginda mendekati individu yang hampir dengannya dan juga kaum kerabat terdekat untuk sama-sama berkumpul dan bernaung di bawah lembayung Islam.
Kemudian, Rasulullah SAW berhasrat menyampaikan Islam kepada khalayak, tetapi dihalang Abu Lahab dengan membangkitkan isu yang menimbulkan fitnah. Apakah reaksi Baginda?
Rasulullah SAW hanya diam dengan tidak membalas, bahkan tetap tenang dan itu adalah jawapan sebenar, bahkan itulah jawapan paling tepat dalam suasana sedemikian.
Di samping itu, Rasulullah SAW mempunyai kesenian dalam berbicara. Baginda berbicara buat pertama kalinya kepada kaum kerabat dengan ringkas kerana mereka baru mendengar mengenai Islam.
Jika bicara terlalu panjang lebar, mereka pasti menjauhi Baginda. Bicara Rasulullah SAW pada asasnya sangat padat dengan hikmah dan amat rapi susunan bahasanya.
Rasulullah SAW berbicara ibarat seorang yang membangun atau mendirikan rumah, menyusun batu-bata selapis demi selapis sehingga menjadi bangunan kuat, kukuh dan indah.
Seorang manusia pada hakikatnya susah menerima buah fikiran baru yang dirasakan asing sama sekali. Justeru, pendakwah mesti pandai atau berhikmah memulakan perbicaraan yang sudah tentu menuntut tafsiran mendalam berpandukan ilmu yang sahih.
Pendakwah perlu berhikmah dalam mencari titik pertemuan sebagai tempat bertolak dan dari sana dia maju secara perlahan, selangkah demi selangkah dengan istiqamah ke arah matlamatnya.
Ajaran Islam cukup daya tarikan, pendakwah mesti pandai memilih cara tepat dan kaedah unik untuk menyampaikannya dengan pendekatan menarik bagi mengajak khalayak mendampingi Islam.
Ini jelas menerusi surat perutusan Rasulullah SAW kepada Raja Heraklius di Rom dan Muqauqis di Mesir yang beragama Nasrani. Rasulullah SAW memanggil mereka dengan gelaran Ahlul Kitab yang bermaksud tuan punya kitab suci.
Ini dirakamkan Allah dalam ayat 64, surah Ali-Imran bermaksud: "Wahai ahli kitab marilah kepada kalimah yang sama antara kami dan kamu, iaitu janganlah kita menyembah melainkan Allah dan janganlah kita mempersekutukan sesuatu apapun dengan Dia, dan janganlah sebahagian daripada kita menjadikan sebahagian lainnya sebagai tuhan selain Allah dan jika mereka berpaling katakanlah: Saksikanlah bahawa kami ini adalah orang Islam." Pendakwah mesti pandai memulakan dan mengakhiri perbicaraannya. Ketika mengakhiri perbicaraan gunakan perkataan yang boleh menusuk ke lubuk hati, bukan kata pahit dan kesat yang meninggalkan kesan buruk.
Satu lagi saluran berkesan menyampaikan dakwah teladan yang baik dan bahasa bersesuaian dengan keadaan. Rasulullah SAW semasa pertama kali menjejakkan kaki di Madinah al-Munawwarah dan sebelum masuk kota, Baginda SAW mendirikan Masjid Quba iaitu masjid pertama dalam sejarah Islam.
Rasulullah SAW berhenti di tempat itu, tanpa banyak berbicara Baginda terus memulakan kerja. Diriwayatkan seorang wanita bernama Syamus Nu'man yang hadir pada waktu itu berkata: "Aku melihat Rasulullah SAW waktu mula sampai, Baginda turun dan berhenti, lalu mengajak sahabat mendirikan masjid itu, aku melihat Baginda mengangkat batu besar sehingga terhuyung-hayang kerana beratnya batu itu, seorang sahabat datang dan berkata kepada Baginda: Ya Rasulullah biarkanlah! Serahkanlah kepadaku untuk mengangkatnya. Rasulullah SAW menjawab: Tidak, ambil saja batu lain yang seperti ini." Demikianlah Rasulullah SAW mempamerkan teladan berkesan kepada sahabatnya iaitu turut bersama kaum Muhajirin sehingga masjid itu disempurnakan. Rasulullah SAW bukan saja pandai mengarah dan banyak bercakap tetapi juga banyak membuat kerja.
Begitulah antara pengertian hikmah berdakwah yang menjadi aset terpenting dalam menjamin kelangsungan serta kejayaan dakwah Islam kepada umat manusia sejagat. Manusia hari ini bukan setakat mendengar apa diperkatakan tetapi melihat bagaimanakah tingkah laku pendakwah di rumahnya dan dalam lingkungan masyarakat.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan