Rabu, 15 Disember 2010

BETUL KE LELAKI MALAYSIA KURANG ROMANTIS...


Lelaki Malaysia tidak romantik?

Setiap wanita sering kali mengidamkan pasangan berjiwa romantik yang kononnya dapat membahagiakan mereka. Tetapi adakah semua lelaki tergolong dalam kategori itu? Satu kajian antarabangsa yang dijalankan beberapa tahun lalu mendapati lelaki Asia tidak romantik dan sukar menunjukkan sifat penyayang kepada pasangannya.

Pendapat umum secara rambang mengatakan kebanyakan lelaki hanya bersikap romantik ketika di awal percintaan tetapi berubah selepas mendirikan rumah tangga. Namun ada yang tidak sedar, kadang kala sifat itu adalah semula jadi dan biasanya dilakukan secara spontan dan bukan dirancang.

Kebanyakan lelaki pula tidak menafikan sifat romantik mereka akan membuatkan pasangannya bahagia dan wanita terasa lebih disayangi, tetapi tidak kurang juga yang berpendapat sifat itu ada kala merimaskan. Bagi lelaki, sifat romantik hanya boleh dilakukan pada waktu tertentu, mengikut keadaan dan tempat sesuai serta hari sambutan yang diraikan pasangan masing-masing.

Malangnya ada wanita tidak memahami perasaan lelaki yang kebanyakannya sukar menunjukkan sifat romantis dan timbul perkara negatif seperti pergaduhan, krisis, menjalinkan hubungan dengan orang lain dan sebagainya.

Bagi wanita pula hari paling istimewa adalah seperti sambutan hari lahir, ulang tahun perkenalan dan hari kekasih. Mereka selalunya menanti sesuatu yang boleh menjadi kejutan daripada suami atau teman lelaki seperti hadiah, bunga, coklat dan sebagainya.

Pensyarah Pusat Pengajian Psikologi dan Pembangunan Manusia, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Suzana Mohd Hoesni, berkata dari sudut psikologi, terdapat banyak teori yang menerangkan mengenai cinta romantik.

Teori itu yang menggunakan pendekatan intimasi pelbagai dimensi dikenali sebagai Teori Tipologi Cinta yang mana setiap individu lelaki mahupun wanita, dikategorikan kepada enam cara gaya cinta. Cinta itu adalah Storge (Kawan Karib), Agape (Pengorbanan), Mania (Kepunyaan), Pragma (Logikal), Ludus (Permainan) dan Eros (Romantis).

“Cinta romantis diklasifikasikan sebagai cinta utama yang ada daya tarikan fizikal. Individu yang mempunyai cinta Eros juga obses dengan pasangannya. Mereka selalu menginginkan perpaduan dalam perhubungan cinta termasuk minat dan identiti. Perhubungan cinta Eros itu juga penuh dengan keindahan dan kemesraan yang ditunjuk sepenuhnya dengan membabitkan perasaan menyeluruh, mantap dan termaktub.

“Antara lain, individu berkenaan juga mahukan pasangan menikmati kegemilangan cinta dengan mengingati semua peristiwa dan aktiviti yang dilakukan, memberi hadiah dan mempamerkan kemesraan kepada pasangannya,” katanya ketika dihubungi di sini, baru-baru ini.

Hasil kajian terdahulu mendapati bahawa gaya cinta yang cenderung dimiliki wanita adalah Storge, Pragma dan Agape, manakala jenis cinta yang sering dimiliki lelaki adalah Ludus yang kebanyakannya terdiri daripada mereka yang berada dalam lingkungan akhir remaja sehingga dewasa awal.

Suzana berkata, satu kajian dijalankan untuk memahami mengenai kewujudan cinta di kalangan pasangan berkahwin mendapati gaya cinta yang cenderung dimiliki mereka mempunyai kepuasan perkahwinan tinggi terdiri daripada golongan Storge dan Eros, manakala mereka yang mempunyai kepuasan perkahwinan yang rendah berkait rapat dengan gaya cinta Ludus.

Bagi seorang pekerja sebuah syarikat permotoran, Mohd Syaiful Zainol, 23, yang berasal dari Bayan Lepas, Pulau Pinang, berpendapat romantik adalah sesuatu yang subjektif. Sifat ini bukan ada pada semua lelaki tetapi ia datang dari hati seorang yang mahu memberikan kasih kepada insan tercinta.

“Romantik itu bukan sekadar memberi patung beruang (teddy bear), kad yang penuh dengan kata cinta, bunga pada hari teristimewa, berpegangan tangan ketika berjalan bersama dan makan dengan bercahayakan lilin di hotel mewah atau restoran. Tetapi lebih romantik sekiranya lelaki itu membelai kekasihnya, mengesat air mata ketika dia dalam keadaan sedih serta memberi kata-kata yang romantis mengikut waktu yang bersesuaian.

“Romantis tidak boleh dibuat-buat atau berlakon kerana itu seperti tidak ikhlas, bagaimanapun romantis datang dari hati dan naluri yang inginkan wanita itu mengingati ketika saat genting seperti pergaduhan dan sebagainya. Sifat romantik perlu dihargai oleh wanita kerana ia adalah masa yang sukar dikecapi oleh mereka,” katanya.

Ada lelaki yang secara zahirnya dilahirkan dengan sikap yang sangat diidamkan setiap wanita. Selalunya lelaki seperti itu, akan melayan kerenah wanita tanpa mengeluarkan perkataan yang menyinggung. Mereka juga menghargai seorang wanita seperti 'menatang minyak yang penuh serta tidak akan membiarkannya tumpah walaupun setitik'.

Lelaki seperti itu sering melayan kekasih dengan lembut di mana cara itu, akan membuatkan wanita yang mendampinginya berasa seperti dimanjakan dan selamat. Bagaimanapun, awas lelaki seperti itu, bukan semuanya boleh dipercayai. Mereka juga ada kala akan mengambil kesempatan tanpa disedari.

FAKTA MENGENAI PERCINTAAN

* Storge (Kawan Karib)
Berasal daripada perkataan Greek yang bermaksud ketenangan dan cinta yang penuh dengan kasih sayang. Cinta itu timbul dan berkembang secara perlahan-lahan daripada perhubungan karib yang lama. Selalunya, pasangan Storge mempunyai minat dan keinginan yang sama.

Mereka gemar berkongsi harapan secara terbuka dan tidak berupaya untuk bercinta tanpa mengenali pasangan mereka dengan lebih mendalam. Mereka juga jarang memaparkan kemesraan tetapi lebih logikal dan tenteram. Sifat yang jarang merajuk atau merasa cemburu. Perpisahan atau berjauhan tidak menimbulkan kerisauan. Jika mereka bercerai, mereka masih boleh berkawan.

* Agape (Pengorbanan)

Bermaksud altruistik. Individu ini mengambil berat mengenai pasangan mereka. Lazimnya mereka mesra dan berhati mulia. Cinta jenis ini juga tidak mengharap apa-apa balasan daripada orang yang dicintainya itu. Akan tetapi mereka yang memiliki cara cinta Agape mudah dipermainkan oleh orang yang dicintainya dan sekiranya mereka sedar penindasan berlaku, ia dianggap sebagai satu tindakan yang tidak disengajakan.

* Mania (Kepunyaan)

Sangat hebat dan obses. Kebanyakan individu yang memiliki cinta jenis ini sentiasa memikirkan mengenai pasangan mereka, memerlukan kasih sayang, perhatian, kepastian dan ketulusan yang berterusan daripada pasangan mereka.

Mereka juga suka mengawal dan mengongkong pasangannya, cemburu buta, sentiasa perlukan kepastian cinta, mencurigai kejujuran serta keutuhan cinta, bimbang penolakan dan kehilangan cinta serta sentiasa peka terhadap sebarang tanda kekurangan cinta. Selain itu mereka sentiasa menagihkan janji daripada pasangan mereka yang menyebabkan mereka terumbang-ambing di antara keghairahan dan kekecewaan.

* Pragma (Logikal)

Bermakna praktikal dan realistik. Cinta jenis ini dicirikan sebagai logik dan munasabah. Individu itu lebih mengutamakan praktikaliti daripada hubungan cinta. Mereka lebih memerhatikan keuntungan peribadi dalam perhubungan.

Ini dicapai dengan mengadakan senarai sifat yang diperlukan daripada objek cinta dan mengikut taraf serta kemampuan peribadi individu berkenaan.

* Ludus (Permainan)

Cinta permainan yang sering dicirikan dengan kepentingan diri sendiri. Individu yang memiliki cinta itu menganggap cinta sebagai satu permainan dan pertandingan yang harus dimenangi. Ia membabitkan cinta yang tiada komitmen, kurang kemesraan, berahsia, tiada rancangan jangka masa panjang dalam perhubungan dan suka kepada perhubungan yang mendadak serta tidak teratur. Selain itu, mereka selalunya suka mempermainkan perasaan pasangan dengan mempunyai lebih dari seorang individu yang dicintai.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan